Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

DOA UNTUK MUHYIDDIN

Sejak menjalani pembedahan dan kini dalam proses pemulihan di sebuah hospital di Singapura, Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin tidak putus-putus menerima kunjungan mereka yang mengambil berat tentang kesihatannya.

Sehingga ini, antara yang melawat beliau ialah Sultan Johor, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar, Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Siti Hasmah Mohd Ali, Timbalan Perdana Menteri, Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, beberapa menteri kabinet dan timbalan menteri serta sebilangan pemimpin Bersatu.

Sementara Muhyiddin sendiri dilihat semakin sihat dan menunjukkan proses pemulihan yang baik, semua yang melawat beliau tentunya berharap serta mendoakannya agar cepat pulih dan dapat  segera kembali menjalankan tugasnya seperti biasa demi negara.

Sebagai menteri kanan dan yang paling berpengalaman, selain Tun Mahathir dalam kabinet sekarang, ketiadaan Muhyiddin tentu saja amat dirasakan serta kembalinya beliau untuk menjalankan tugas sangat-sangat diharapkan.

Selain itu, sesuai dengan Bersatu yang akan mengadakan mesyuarat dan pemilihan buat kali pertama sebelum hujung tahun ini, tentu juga keberadaan beliau tidak kurang pentingnya demi memastikan segala-gala urusan parti berjalan dengan lancar.

Selain Tun Mahathir sebagai Pengerusi Bersatu yang dilihat tunjang utama, tunjang lain bagi Bersatu pasti saja Muhyiddin selaku Presiden dan salah seorang pengasasnya.

Di bahu beliaulah sebenarnya terletak banyak beban dan tanggungjawab mengenai perjalanan parti yang harus diurus dan diselesaikan dengan sebaik-baiknya.

Tambahan lagi dengan Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri yang sibuk dengan pelbagai urusan negara,  pada Muhyiddinlah  harus diberikan kepercayaan serta sokongan yang sebaik-baiknya jika ingin melihat Bersatu benar-benar berjaya dan mampu menjadi parti untuk masa depan dalam negara ini.

Untuk itu, meskipun dalam keadaan kesihatannya yang tidak begitu mengizinkan sekarang, Muhyiddin tetap menzahirkan keprihatinan serta mengambil berat mengenai urusan parti.

Kepada beberapa pemimpin Bersatu yang melawatnya, beliau tetap tidak lupa bertanyakan mengenai hal-hal tertentu berkaitan parti kerana di hatinya tidak lain ialah mahu terus melihat Bersatu ini mampu berperanan dengan sebaiknya demi agama, bangsa dan negara.

Apa pun, sama-sama kita mendoakan agar Muhyiddin segera pulih seperti sediakala dan dapat kembali bertugas demi parti dan negara. (ShahbudinHusin 06/08/2018)

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x