Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

BERANIKAH JHO LOW MENUNTUT KAPAL EQUANIMITY ATAU SELEPAS INI BELIAU AKAN MENYERAH DIRI?

Kapal layar mewah Equanimity milik Jho Low yang dipercayai dibeli dengan menggunakan dana 1MDB yang diselewengkan kini sudah pun diserahkan kepada negara kita.

Ia diserahkan oleh pihak berkuasa Indonesia kepada Malaysia dan menjelang  petang nanti, kapal itu dijangka akan berlabuh di Pelabuhan Kelang.

Buat sementara waktu, kapal bernilai RM1 bilion atau RM1,000 juta itu mungkin akan dipamerkan untuk tontotan rakyat sebelum tindakan seterusnya diambil.

Malah, jika Najib Razak dan Rosmah Mansor ada kelapangan, mereka berdua juga boleh meluangkan masa untuk melihat-lihat kapal yang pernah menjadi kebanggaan Jho Low itu.

Tidak dinafikan bahawa penyerahan kapal itu kepada negara kita merupakan satu kejayaan ‘Malaysia Baru’ pimpinan Tun Mahathir Mohamad hasil rundingan beliau dengan Presiden Indonesia, Jokowi sebelum ini serta bersandarkan keyakinan negara jiran tersebut terhadap kepimpinan negara kita sekarang.

Dengan kapal itu kini menjadi milik Malaysia, Tun Mahathir menegaskan, sesiapa juga termasuk Jho Low boleh menuntutnya jika dapat menunjukkan bukti tentang pembelian kapal itu dan daripada mana wang diperolehi untuk membelinya.

Beranikah Jho Low menuntut kapal tersebut?

Selain itu, dapatkah juga Jho Low menunjukkan bukti kapal itu dibeli bukan daripada wang seleweng 1MDB?

Bermakna, sementara Jho Low boleh berbangga dapat melarikan diri atau bersembunyi di mana-mana ketika ini, salah satu harta yang bernilai miliknya telah pun berjaya diambil atas kebijaksanaan Tun Mahathir menangani skandal 1MDB.
Atau adakah ini merupakan pancingan awal Tun Mahathir untuk Jho Low menyerah diri dan seterusnya bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi merungkai keseluruhan skandal 1MDB yang selama ini mencemar nama baik negara?

Dalam perkembangan lain, kerajaan juga dijangka akan menjual kapal tersebut kepada pembida yang tertinggi kerana terus menyimpannya juga memerlukan kos penyelenggaraan yang tinggi.

Setidak-tidaknya, apabila dijual nanti, wang jualan itu dapat juga digunakan untuk menampung pembayaran hutang 1MDB yang mana selama ini pun kerajaan juga tolong membayarnya.
Apa perasaan Najib ketika ini agaknya? (ShahbudinHusin 07/08/2018)

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x