Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

AKHIRNYA TANDA2 PARTI AGAMA DAN PARTI ASSABIYAH BAKAL 'MENIKAH' JADI SEMAKIN NYATA

Walaupun kita boleh memahami bahawa tujuan tersirat Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hassan cepat-cepat mengumumkan bahawa UMNO akan memberi laluan kepada Pas untuk bertanding di pilihanraya kecil DUN Seri Setia adalah dengam maksud untuk memastikan seluruh ahli dan penyokong Pas memberikan undi kepada calon BN, Lokman Noor Adam di Sungai Kandis esok, hakikat yang lain menunjukkan hubungan kedua-dua parti itu sedang memasuki fasa yang lebih mengikat hubungan mereka.

Setelah satu pihak hilang kuasa dan satu pihak lagi terus caca marba dengan kedudukan sendiri selepas pilihanraya, kedua-dua UMNO dan Pas kini bagai sudah menemui titik pertemuan dalam hubungan mereka.

Dengan Pas memberi laluan kepada UMNO bertanding di Sungai Kandis dan seterusnya UMNO pula membalasnya dengan memberi laluan kepada Pas di Seri Setia, adalah lebih baik hubungan kerjasama itu diikat saja secara rasmi dan sah selepas ini.

Dalam hal ini, adalah diharapkan agar UMNO benar-benar jujur serta ikhlas dengan keputusan memberi laluan itu dan tidak melakukan pusingan U sekiranya Lokman tiba-tiba kalah teruk di Sungai Kandis nanti.

Meskipun baru pagi tadi jenazah Adun Seri Setia, Prof. Dr. Shahruddin Badaruddin dikebumikan dan tarikh kekosongan kerusi itu juga belum dimaklumkan secara rasmi kepada SPR, apatah untuk diumuman bila tarikh pilihanraya kecil akan diadakan, kepantasan Mat Hassan mengumumkan kesediaan memberi laluan itu tentunya merupakan berita gembira buat Pas.

Pas kini tiada pilihan lain selain terpaksa memberikan sokongan dan undi sepenuhya kepada BN di Sungai Kandis kerana mereka kemudiannya tentulah mengharapkan UMNO akan membalasnya dengan memberi sokongan yang jitu juga kepada Pas di Seri Setia.

Dalam erti kata lain, cinta UMNO dan Pas kini sudah saling berbalas dan tiada masalah lagi untuk dikhabarkan ke seluruh dunia tentang “percintaan” mereka yang bukan lagi rahsia.

Jika sebelum ini UMNO dan Pas saling main sembunyi-sembunyi dan tidak mahu berterus-terang mengenai hubungan asmara mereka, terbukti kini parti agama dan parti assabiyah sudah tiada perbezaan lagi untuk bernikah dan hidup bahagia bersama.

Maka, sebaiknya hubungan ini segera “dicantum dan dikelaminkan”  selepas ini menjadi suatu hubungan pernikahan yang sah di mana sama ada Pas bergabung dengan UMNO menjadi satu atau Pas memohon menyertai BN.

Percantuman atau penggabungan itu tentunya akan memudahkan Pas dan UMNO menghadapi kemungkinan ada lagi pilihanraya kecil selepas ini, malah tidak lagi menimbulkan apa-apa kekeliruan kepada penyokong masing-masing.
Bermakna, di mana-mana pilihanraya kecil selepas ini, bahkan mungkin dalam PRU15 akan datang, yang ada hanyalah pertembungan satu lawan satu antara PH dengan BN.

Setelah pertandingan tiga penjuru atau percubaan menjadi “king maker” dalam pilihanraya umum lalu tidak berjaya membuahkan hasil yang membahagiakan, mana tahu dengan pernikahan rasmi Pas dengan UMNO nanti akan memberi lebih kejayaan yang diidam-idamkan buat kedua-duanya. 
Aminnnn….(ShahbudinHusin 03/08/2018)

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x