AZMIN AKAN MENANG, KECUALI…..

Sehingga ini, meskipun masih berteka-teki, tidak ternampak tanda-tanda atau asas yang kukuh untuk Azmin Ali mahu mencabar Anwar Ibrahim bagi jawatan Presiden PKR.

Sebaliknya, dalam pengesahan yang akan dibuatnya selepas pilihanraya kecil Sungai Kandis 4 Ogos nanti, Azmin dipercayai akan hanya mempertahankan jawatan Timbalan Presiden PKR yang sedang disandangnya sekarang.

Di mata kasar, siapa pun dapat merasakan peluangnya adalah lebih cerah untuk mengekalkan jawatan tersebut berbanding pencabarnya, Rafizi Ramli.

Dengan kedudukannya sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi, suatu jawatan kanan dalam kabinet, ditambah dengan semalam dilantik pula sebagai Pengarah Khazanah, entiti pelaburan utama kerajaan, Azmin dilihat sedang dipupuk dan dilatih untuk ditonjolkan sebagai pemimpin negara pada masa depan.

Dengan yang demikian, orang-orang yang waras akan merasakan Azmin adalah aset yang baik untuk dikekalkan demi masa depan parti dan boleh menjadi Perdana Menteri suatu hari nanti.

Dalam hal ini, ia tidaklah bermakna Azmin mahu mendahului atau mencantas Anwar bagi jawatan tersebut.

Azmin tentunya lebih sedar bahawa  harapan rakyat, khususnya ahli serta pendokong PKR serta Pakatan Harapan amnya ialah untuk melihat Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri terlebih dahulu berbanding dirinya.

Sementelah dengan usianya yang jauh lebih muda berbanding Anwar, Azmin rasanya tiada masalah untuk sedikit bersabar dalam mengejar jangkauan karier politiknya itu.

Oleh itu, berbanding Rafizi yang agak terkebelakang dari segi kedudukan dalam kerajaan, Azmin nampaknya tidak ada masalah untuk memenangi pertandingan itu nanti.

Sementara Rafizi, walaupun turut diakui ada bakat kepimpinan yang tidak kurang baiknya, beliau dirasakan tidaklah lebih menyerlah kepimpinannya berbanding Azmin, meskipun gerakan kempen dan publisiti mengenainya lebih menonjol di peringkat awal ini.

Malah, ramai merasakan adalah lebih baik bagi Rafizi untuk berada di lapisan lain daripada cuba menandingi atau mahu menjatuhkan Azmin agar PKR sentiasa dilihat kukuh dengan barisan kepimpinan yang sentiasa ada kesinambungannya selepas Anwar.

Namun, tindakan Rafizi mencabar Azmin boleh juga menzahirkan pelbagai tafsiran lain, khususnya berkaitan pilihan atau kecenderungan Anwar berhubung kedua-dua pemimpin itu.

Adakah Anwar masih mempercayai Azmin?

Atau Anwar kini lebih mempercayai Rafizi berbanding Azmin?

Jika Anwar masih mempercayai kedua-dua bakat muda itu demi masa depan PKR, beliau semestinya tidak memihak atau mencampuri proses pemilihan kali ini, sebaliknya membiarkan sepenuhnya proses demokrasi berjalan dengan baik.

Dengan yang demikian, ahli-ahli PKR akan dapat membuat pertimbangan atau kewarasan sepenuhnya dalam membuat pilihan.

Tetapi, jika Anwar campurtangan dengan memihak kepada Rafizi atau merasakan Azmin kini adalah proksi Tun Mahathir untuk mengenepikannya daripada kerusi Perdana Menteri, kemungkinan untuk Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu dapat dijatuhkan adalah cerah sekali.

Meskipun Azmin turut mempunyai ramai pengikut dan penyokongnya dalam PKR, tetapi harus diakui bahawa Anwar adalah ibarat institusi dalam parti itu.

Hitam kata Anwar, maka hitamlah pilihan majoriti ahli dalam PKR.

Lantaran itu, kiranya Anwar benar-benar memihak dan tidak lagi mempercayai Azmin, Rafizi akan berjaya memenangi perebutan jawatan Itu nanti.

Namun, dengan Rafizi berjaya menumbangkan Azmin, PKR lebih berisiko akan terpecah dua dan tidak mustahil akan turut menipiskan sama peluang Anwar menjadi Perdana Menteri ke-8 menggantikan Tun Mahathir. (ShahbudinHusin 31/07/2018)

Kongsikan artikel ini
No tags for this post.
Updated: 26 March 2019 — 2:06 pm

Leave a Reply

avatar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

  Subscribe  
Notify of