RAFIZI TANDING TIMBALAN PRESIDEN, CUBAAN ANWAR SINGKIR AZMIN?

Sementara Azmin Ali masih menimbang-nimbang dan belum lagi membuat keputusan jawatan mana yang mahu ditandinginya, Rafizi Ramli sebaliknya lebih dulu mengumumkan pengesahannya akan bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR pada pemilihan September ini.

Dengan perkembangan ini, jika Azmin mahu mengekalkan jawatan Timbalan Presiden PKR yang sedang disandangnya, bermakna pertandingan akan menyaksikan pertembungannya dengan Rafizi yang sekarang merupakan Naib Presiden PKR.

Sebaliknya, kalau Azmin memutuskan untuk bertanding jawatan Presiden, beliau akan berhadapan dengan Anwar Ibrahim yang kini sudah sah mengumumkan bertanding jawatan tersebut.

Apakah pilihan Azmin? 

Walaupun Anwar masih merupakan tokoh yang dhormati dalam PKR, apatah lagi kedudukannya sebagai bakal Perdana Menteri menggantikan Tun Mahathir Mohamad, hasrat beliau untuk menduduki kerusi Presiden PKR yang selama ini dipegang oleh isterinya, Dr. Wan Azizah Wan Ismail ialah tidak lain untuk mengukuhkan lagi cengkamannya dalam parti itu.

Ikut logik, jika beliau kekal sebagai Ketua Umum PKR sekali pun dan dalam masa yang sama sebagai Ketua Umum Pakatan Harapan, ia sama sekali tidak menggugat kedudukannya sebagai bakal pengganti kepada Tun Mahathir untuk jawatan Perdana Menteri.

Namun, dengan tiba-tiba Anwar mahu mengisi kerusi Presiden PKR, gambarannya ialah beliau ada sedikit kecurigaan terhadap kesetiaan atau ketakutan kepada kemungkinan Azmin akan menggugatnya di masa-masa depan.

Lebih-lebih lagi Azmin kini adalah Menteri Hal Ehwal Ekonomi, suatu jawatan kanan dalam kerajaan dan bukan lagi sebagai Menteri Besar Selangor.

Diberitakan bahawa dalam susunan kabinet baru-baru ini, nama Azmin tidak disenaraikan langsung oleh PKR sebagai salah seorang calon menteri kabinet atas kefahaman beliau sudah pun memegang jawatan sebagai Menteri Besar Selangor.

Meskipun perlantikannya mengejutkan PKR, tetapi ia dalam waktu yang sama menunjukkan keyakinan Tun Mahathir terhadap kewibawaan Azmin dalam mentadbir Selangor selama ini serta mahu bakatnya diperluaskan lagi di perintkat Pusat.

Yang turut mengejutkan juga, Azmin difahamkan tidak berunding sama sekali mengenai perlantikan itu dengan Anwar, sebaliknya beliau terus saja menerima tawaran jawatan yang dibuat oleh Tun Mahathir itu.

Dengan itu, Anwar difahamkan ada berasa sedikit terguris hati dengan Azmin.

Dengan Anwar sudah sah bertanding jawatan Presiden PKR dan menyusul pula Rafizi mengumumkan akan bertanding jawatan Timbalan Presiden, Azmin kini seolah-olah sedang diasak untuk diketepikan berikutan kecurigaan yang kian bercambah terhadapnya.

Dalam hal ini, pilihan terbaik bagi Azmin ialah mengekalkan jawatan Timbalan Presiden yang sedang disandangnya kerana berdasarkan reputasi dan kedudukannya dalam kerajaan sekarang, peluangnya memenangi jawatan itu jauh lebih baik berbanding Rafizi.

Azmin hanya mungkin tergugat untuk mengekalkan jawatannya jika Anwar bersungguh-sungguh dan secara terbuka menyokong Rafizi. 

Tetapi, tindakan itu bukan saja merbahaya kepada Anwar, malah memungkinkan berlakunya perpecahan yang berpanjangan dalam PKR selepas ini.

Sebaliknya, jika dengan pengumuman lebih awal oleh Rafizi bertanding jawatan Timbalan Presiden itu membuatkan Azmin memutuskan bertanding jawatan Presiden PKR, sebenarnya itulah yang ditunggu-tunggu oleh Anwar dan kumpulannya.

Ia bukan saja akan menyaksikan serangan habisan-habisan  oleh Anwar dan kumpulannya untuk mengenepikan Azmin, malah mungkin  akan disusuli dengan pelbagai serangan lain yang lagi.

Logiknya juga, terlalu sukar buat Azmin untuk mencabar Anwar bagi kerusi Presiden PKR itu.

Namun, jika itu yang berlaku, yang pasti akhirnya Rafizi akan menang percuma sebagai Timbalan Presiden PKR.

Sudahnya nanti, Anwar dan kumpulannya akan menguasai sepenuhnya PKR.

Maka, bertahan di kedudukan nombor dua dalam parti adalah pilihan terbaik buat Azmin demi masa depannya. (ShahbudinHusin 27/07/2018)

Kongsikan artikel ini
No tags for this post.
Updated: 26 March 2019 — 2:06 pm

Leave a Reply

avatar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

  Subscribe  
Notify of