MEMANG PATUT KJ TOLAK TIGA TAWARAN ZAHID HAMIDI…..

Semalam ada dilaporkan bahawa Khairy Jamaluddin atau KJ telah menolak tiga tawaran yang pernah dibuat oleh Zahid Hamidi kepadanya.

Tawaran pertama ialah agar beliau bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO untuk bergandingan dengan dengannya berikutan keputusan Hishammuddin Hussein tidak mahu bertanding sebarang jawatan dalam UMNO.

Namun, menurut kata Zahid Hamidi, KJ menolak tawaran itu dengan mengatakan dia hanya mahu bertanding jawatan Naib Presiden UMNO saja.

Sebaliknya, alih-alih kemudian, KJ mengumumkan bertanding jawatan Presiden UMNO menentang Zahid Hamidi dan seorang lagi calon, Tengku Razaleigh Hamzah.

Dalam pertandingan tersebut, jawatan Presiden UMNO dimenangi oleh Zahid Hamidi.

Tawaran kedua yang ditolak KJ ialah sebagai Setiausaha Agung BN yang ditawarkan oleh Zahid Hamidi sebaik saja beliau memenangi jawatan Presiden UMNO yang seterusnya secara automatik akan menjadikannya sebagai Pengerusi BN.

Tawaran ketiga ialah sebagai Ketua Penerangan UMNO yang juga ditolak oleh KJ.

Walaupun Zahid Hamidi tampaknya kecewa dengan penolakan itu, tetapi KJ memberi alasan beliau berbuat demikian ialah kerana ingin menjadi suara yang kritikal menegur parti daripada luar lingkungan kepimpinan.

Dari segi satu segi, tindakan KJ menolak tawaran itu mungkin dilihat merugikan masa depannya sendiri, tetapi jika diamat-amati, ia adalah keputusan yang terbaik buat dirinya.

Semua orang yang tahu dan kenal Zahid Hamidi  sedar serta mengakui Ahli Parlimen Bagan Datuk itu adalah pemimpin yang lemah, tiada wibawa dan terburuk dalam sejarah semua Presiden yang pernah UMNO miliki.

Apatah lagi dengan kedudukan UMNO sebagai pembangkang buat pertama kalinya sekarang ini, terlalu sukar dan suatu keajaiban yang betul-betul ajaib jika mengharapkan beliau mampu memulihkan UMNO serta membawa parti itu memenangi pilihanraya akan datang.

Tidak cukup dengan masalah dan kemelut UMNO yang bertimbun-timbun akibat peninggalan daripada Najib, beban dan masalah dirinya sendiri turut menyukarkan lagi tumbuh serta bercambahnya keyakinan rakyat terhadap parti yang sedang dipimpinnya ketika ini.

Malah, jika dibuat perbandingan dengan Najib yang hanya bermasalah setelah menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri, Zahid Hamidi sebaliknya sudah pun sedia bersarang dengan pelbagai isu dan masalah sebelum pun beliau memenangi jawatan Presiden UMNO lagi.

Untuk itu, tempoh tiga tahun akan datang sehingga 2021 adalah cabaran yang berat buat Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO. Kemungkinan beliau gagal memulihkan parti dan mendapat kepercayaan rakyat menjelang pilihanraya umum pada 2023 adalah amat tinggi sekali.

Apatah lagi, Zahid Hamidi terus dibayangi oleh wajah Najib Razak sepanjang masa yang seolah-olah beliau tidak lebih hanyalah proksi kepada bekas Perdana Menteri yang telah tumbang dan ditolak rakyat itu.

Jika Najib sendiri sudah ditolak rakyat, di manakah munasabahnya seorang yang hanya dilihat sebagai proksi Najib mampu mendapat sokongan yang lebih baik?

Oleh yang demikian, keputusan KJ berada di luar kepimpinan UMNO dan menjadi suara yang kritikal adalah tepat serta wajar sekali. Beliau kini bebas menegur salah dan silap kepimpinan UMNO, baik Zahid Hamidi atau sesiapa sekali pun.

Bahkan dengan keberanian KJ terus menegur, mengkritik serta berbeza pendapat seperti keputusannya tidak menyertai UMNO keluar Dewan ketika membantah perlantikan Speaker baru-baru ini, sokongan terhadapnya pasti akan sentiasa meningkat.

Dan dalam pemilihan UMNO yang akan diadakan sekali lagi pada tahun 2021 iaitu kira-kira dua tahun sebelum PRU15 yang dijangka pada 2023, kedudukan UMNO yang dijangka tidak berubah akibat daripada kepimpinan Zahid Hamidi yang lemah, ia adalah merupakan peluang terbaik untuk KJ sekali lagi bertanding jawatan Presiden UMNO.

Makna kata, keputusan menolak semua tawaran Zahid Hamidi baru-baru ini bukan saja suatu keputusan yang betul dan tepat, malah suatu kelebihan untuk KJ “menolak”  Presiden UMNO itu daripada kerusi yang sedang didudukinya.  (ShahbudinHusin 26/07/2018)

Kongsikan artikel ini
No tags for this post.
Updated: 26 March 2019 — 2:06 pm

Leave a Reply

avatar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

  Subscribe  
Notify of