Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

KUKUHKAN PARTI AGAR TERUS MAJU SEPANJANG MASA, SERU SEORANG AHLI MPT BERSATU

Menyokong bahawa isu pemilihan dan perebutan jawatan tidak harus menjadi agenda utama bagi sesetengah pemimpin dan ahli menjelang pemilihan pucuk pimpinan Bersatu tidak lama lagi, sebaliknya mereka diseru lebih mengutamakan agenda memperkukuhkan parti terlebih dahulu.

Sehubungan itu,mereka juga disarankan agar tidak gopoh dengan membuat saranan tertentu yang menghendaki perlu diadakan pindaan perlembagaan melalui mesyuarat agung luar biasa.

Seorang Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Aziz Yassin berkata, Bersatu pimpinan Tun Mahathir Mohamad baru saja diberi mandat untuk mentadbir negara ini bersama dengan PKR, DAP dan Amanah melalui gabungan Pakatan Harapan.

Katanya, kemenangan itu memberi isyarat bahawa rakyat mahukan perubahan dan menunaikan janji kepada rakyat mesti diberi keutamaan berbanding lain-lain perkara.

Tambah beliau, proses pemilihan seharusnya digunakan untuk memperkukuhkan parti agar Bersatu terus dapat hidup dan menabur bakti bukan saja semasa keberadaan Tun Mahathir, tetapi juga setelah sesiapa juga yang dipilih untuk menggantikannya sebagai Perdana Menteri selepas ini.

“Untuk itu, Bersatu tidak saja perlu ahli yang ramai, bahkan juga ahli yang sanggup berjuang serta berkorban membela bangsa Melayu, kaum pribumi serta seluruh rakyat,” ujar beliau.

Beliau yang juga Pengerusi Biro Ekonomi Bersatu menegaskan, fasa selepas diberi mandat mentadbir negara memerlukan ahli parti bekerja dengan lebih kuat, jujur serta ikhlas agar Bersatu terus maju dan diyakini oleh rakyat.

Aziz Yassin yang merupakan bekas Ahli Parlimen Muar seterusnya bersetuju bahawa untuk tujuan itu, Bersatu tidak perlu merubah apa-apa berkaitan sistem pemilihan, sekurang-kurangnya menjelang pemilihannya hujung tahun ini, yang memerlukan suatu mesyuarat agung luar biasa perlu diadakan bagi tujuan tersebut.

“Kita tiada masa untuk itu. Masa terlalu suntuk dan di luar sana pula rakyat sedang memerhati segala gerak geri kita,” tambahnya lagi.

Kata beliau, tidak harus ada mana-mana pihak merasakan Bersatu ini milik kelompok tertentu atau menganggap hanya kumpulan tertentu saja yang memberi sumbangan dan faktor kejayaannya dalam pilihanraya umum yang lalu.

“Parti ini adalah milik semua, tetapi tanpa Tun Mahathir yang merupakan tunjang kekuatannya, kita juga tidak mungkin mencapai kejayaan tersebut,” tegas Aziz Yassin.  (ShahbudinHusin 22/07/2018)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *