Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

TIDAKKAH INI PENGKHIANATAN KEPADA NEGARA NAMANYA?

Munasabahkah Najib Razak tidak tahu menahu mengenai surat yang dihantar bahagian penyelidikan, Jabatan Perdana Menteri kepada Pengarah CIA lima hari sebelum pilihanraya 9 Mei lalu bagi tujuan memohon sokongan daripada pentadbiran Amerika Syarikat jika ditakdirkan BN menang cuma dengan majoriti mudah atau kelebihan hanya satu kerusi?

Logikkah juga Najib dilaporkan tidak mengarahkan Hasanah Ab. Hamid, selaku Ketua Pengarah Bahagian Penyelidikan, Jabatan Perdana Menteri ketika itu untuk menulis dan menghantar surat tersebut, seterusnya dikatakan terkejut dengan wujudnya surat itu?

Bukankah Hasanah merupakan orang bawahan dan kepercayaan Najib sendiri?
Kiranya bukan Najib, munasabah dan logikkah kalau Zahid Hamidi atau Ahmad Maslan yang mengarahkan surat itu ditulis dan dihantar kepada Pengarah CIA?

Dalam masa yang sama, dapatkah diterima akal bahawa Hasanah hanya pandai-pandai sendiri menulis dan menghantar surat berkenaan?

Siapa yang bertanding dalam pilihanraya dan perlu terus kekal berkuasa?

Apa pun jawapan Najib mengenai surat itu, beliau dan Hasanah wajib disiasat oleh pihak berkuasa kerana mereka dilihat mempunyai kecenderungan untuk meminta sokongan atau bantuan kuasa asing dalam hal-ehwal politik dalaman negara.

Bayangkan apa terjadi, jika keputusan pilihanraya 9 Mei lalu menzahirkan keputusan yang menunjukkan Najib benar-benar menang dengan cuma majoriti mudah atau hanya dengan kelebihan satu kerusi saja?

Tidakkah Amerika Syarikat sedang berada di belakang kepimpinan kerajaan yang diterajui Najib ketika ini?
Jika itu berlaku, apa seterusnya terjadi kepada negara kita?

Bukankah perbuatan meminta bantuan asing itu jelas merupakan suatu bentuk pengkhianatan kerana kita adalah sebuah negara merdeka, berdaulat dan mengamalkan sistem demokrasi berparlimen yang dilindungi oleh Raja Berperlembagaan? (ShahbudinHusin 20/07/2018)

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x