Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

BERSATU JANGAN TERLALU GHAIRAH NAK UBAH SISTEM PEMILIHAN ATAU BEREBUT JAWATAN, KUKUHKAN PARTI LEBIH DULU

PPBM atau Bersatu akan mengadakan pemilihan barisan kepimpinan buat kali pertama bagi peringkat cawangan, bahagian serta majlis tertinggi bermula September hingga hujung tahun ini.

Difahamkan tarikh 1 hingga 14 September adalah untuk mesyuarat cawangan-cawangan dan 30 September hingga 10 Oktober pula ditetapkan untuk mesyuarat bahagian-bahagian. 

Perhimpunan agung pula dijangka akan diadakan pada Disember nanti.

Apa yang menarik bagi Bersatu ini ialah pemilihan kali pertamanya diadakan dengan kedudukannya sudah pun menjadi kerajaan di peringkat Pusat hanya setelah kira-kira dua tahun ia ditubuhkan pada 2016 yang lalu.

Ini juga adalah kali pertama sebuah parti yang hanya bertaraf penaja dan kemudian menyertai Pakatan Harapan, lalu terus dapat menumbangkan UMNO dan BN yang sudah bertapak kukuh sejak lebih 61 tahun lamanya.

Lantaran itu, tidak menghairankan pemilihan pucuk pimpinan Bersatu yang akan buat julung kalinya ini mengundang ghairah dan tarikan yang bukan sedikit daripada ahli-ahli parti itu.

Ramai yang dilihat teruja untuk bertanding dan memegang pelbagai jawatan, tentulah ia dengan harapan apabila ada jawatan penting dipegang dalam parti yang sedang menguasai kerajaan, maka pelbagai nikmat dan habuan akan datang bergolek menyusul daripadanya.

Keghairahan kepada jawatan itu bukan saja menyebabkan ada yang mengungkit-ungkit sumbangan dan usaha mereka dalam pilihanraya lalu yang kononnya amat besar dan seolah-olah wajar dibalas dengan pemberian jawatan dalam parti, malah terdapat juga yang terlebih lajak daripada laju dengan mencadangkan sesuatu yang agak drastik bagi sebuah parti baru seperti Bersatu.

Sistem pemilihan yang digariskan dalam perlembagaan Bersatu ialah berasaskan perwakilan. Ia bukan saja sama seperti UMNO, malah kebanyakan parti di negara kita juga mengamalkan sistem yang sama.

Hanya PKR yang memperkenalkan sistem satu ahli satu undi, bahkan untuk pemilihan parti itu pada September nanti, parti itu juga dijangka memperkenalkan sistem pengundian secara elektronik.

Apa yang dilakukan oleh PKR ini lantas membuatkan sesetengah pihak dalam Bersatu turut terpesona dengan amalan keterbukaan itu, lalu mencadangkan agar sistem yang sama diamalkan oleh Bersatu, termasuk ada yang menulis panjang lebar mengenainya.

Hello…dah fikir panjang ke nak tiru PKR tu?

Harus diingat bahawa PKR hanya sedia berbuat demikian setelah 20 tahun kewujudannya.

Apakah Bersatu yang belum sampai usia dua tahun mampu berbuat demikian?

Sudahkah difikirkan dari segi logistik, tenaga manusia dan pelbagai masalah lain jika mahu memperkenalkan sistem satu ahli satu undi itu secara manual?

Jika mahu dilakukan undian secara elektronik pula, sudahkah diambil kira soal peralatan, perisian, pengendali sistem, jangkauan wifi dan kos besar bagi segala-galanya?

Lebih daripada itu, oleh kerana yang tertulis dalam perlembagaan Bersatu ketika ini ialah sistem perwakilan, jika mahu diubah kepada sistem satu ahli satu undi, bermakna satu mesyuarat agung luar biasa bagi meminda perlembagaan hendaklah diadakan terlebih dahulu.

Memandangkan tarikh antara September hingga Disember tahun ini sudah dipilih sebagai tempoh untuk mesyuarat cawangan, bahagian dan perhimpunan agung, apakah perlu diadakan satu lagi perhimpunan agung khas dalam tempoh yang sama semata-mata untuk tujuan meminda perlembagaan parti?

Mampukah parti mengadakan dua perhimpunan – satu untuk meminda perlembagaan dan satu lagi untuk pemilihan – dalam waktu yang hampir serentak?

Kepada yang ghairah dengan sistem pemilihan atau perebutan jawatan, mereka seharusnya perlu beristighfar sejenak dan merenung kembali tujuan Bersatu ditubuhkan.

Bersatu bukan saja ditubuhkan sebagai parti politik, tetapi juga sebagai “vehicle”  untuk menyelamatkan negara daripada kerakusan Najib, UMNO dan BN bersama-sama dengan Pakatan Harapan.

Dengan redha Allah dan sokongan rakyat, perjuangan itu kini sudah pun membuahkan kejayaan. Tetapi, mengisi perjuangan dan memenuhi janji-janji kepada rakyat sebenarnya adalah proses yang baru saja bermula. Masih lagi lagi kerja atau perkara yang hendak dilakukan di laluan mendatang.

Dalam hal ini, ahli dan pimpinan Bersatu tidak wajar terlalu ghairah dengan jawatan atau terpana dengan kerdipan harta rampasan perang yang mahu dibahagi-bahagikan, lantas cepat-cepat mahu mengubah sistem dan ingin menunjukkan keterbukaan.

Semua pihak seharusnya sama-sama menyumbang kepada kekukuhan Bersatu sebagai sebuah parti yang benar-benar stabil, berwibawa dan dipercayai terlebih dahulu. 

Bersatu hari ini lebih kelihatan gah hanyalah kerana adanya Tun Mahathir, Muhyiddin Yassin, Mukhriz Mahathir dan beberapa pemimpin yang lain dalam barisan kepimpinannya.

Jika tiada pemimpin seperti di atas, apakah Bersatu mampu terus wujud dan mendapat sokongan rakyat?

Makanya, semua pihak dalam Bersatu mesti lebih menumpukan usaha kepada mengukuhkan parti berbanding perkara-perkara lain. Bukan tidak boleh diubah peraturan atau perlembagaannya, tetapi bukanlah sekarang. Bila parti sudah kukuh, apa pun tidak jadi masalah lagi.
Biarlah Bersatu kekal dengan sistem perwakilan buat sementara waktu kerana yang lebih wajib bagi ahli dan pimpinan lakukan sekarang ini ialah membantu Tun Mahathir dan parti dalam memenuhi semua janji serta harapan rakyat dan kemudian sama-sama pula berusaha memastikan keselamatan dan kestabilan negara. (ShahbudinHusin 20/07/2018)

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x