Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

PENYEBARAN BERITA PALSU LEBIH MENGGILA SELEPAS UMNO TIADA LAGI KUASA

Ketika era pemerintahan BN, penyebaran berita palsu, adu domba, fitnah dan penyelewengan fakta boleh dikata dapat ditemui setiap hari melalui media-media arus perdana dan saluran televisyen tertentu.

Betapa meluatnya rakyat kepada perkembangan itu sehingga ramai yang akhirnya membuat keputusan tidak lagi mahu membeli akhbar-akhbar serta menonton televisyen.

Akbatnya jualah akhbar merosot dengan teruk dan siaran berita televisyen tidak lagi ditonton. Syarikat media rugi berjuta-juta dalam setahun, tetapi oleh sebab masih dipayungi oleh UMNO sebagai kerajaan, mereka terus dapat beroperasi seperti biasa.

Tetapi, dengan tumbangnya BN, akhbar arus perdana dan saluran televisyen tertentu tidak lagi berani menjadi penyebar berita palsu, adu domba, fitnah mahupun penyelewengan fakta seperti dahulunya.

Mereka tiba-tiba menjadi lunak dan mula memberi tempat kepada berita-berita baik mengenai apa yang diperkatakan oleh Tun Mahathir dan lain-lain pemimpin Pakatan Harapan.

Individu tertentu yang selama ini kerap menghiasi dada akhbar dan televisyen dengan fakta karut, syak wasangka dan firnah semberono menyerang Tun Mahathir juga turut tidak kelihatan lagi kemunculannya.

Kalau ada pun cubaan mengadu domba dan menyeleweng fakta, kadarnya hanya di tahap paling minima dan sipi-sipi saja. Berita-berita palsu dan fitnah hampir tiada lagi kerana pemilik akhbar dan televisyen berkenaan sedar risiko yang bakal dihadapi jika mereka terus berperangai buruk seperti dahulu.

Perubahan itu bukan saja seiring kerana media arus arus perdana dan saluran televisyen berkenaan sedar tauke mereka adalah UMNO, manakala kerajaan yang berkuasa adalah Pakatan Harapan, tetapi juga disebabkan peneraju media-media terbabit ramai yang sudah ditamatkan perkhidmatan atau diminta meletakkan jawatan.

Semua itu memberi erti bahawa media arus perdana dan saluran televisyen tertentu itu tahu dan sedar perangai buruk dan kesalahan mereka selama ini.

Kiranya tiada apa-apa yang ditakut atau dibimbangi, mereka seharusnya terus mengekalkan ketua pengarang atau pengawal bilik berita yang sama, meskipun kerajaan bertukar kerana hakikatnya pemilikan atau syarikat akhbar arus perdana atau saluran televisiyen itu tidak pun berubah dan kekal dipunyai oleh UMNO.

Walaupun demikian, penyebaran berita palsu oleh pemain media sosial pro UMNO dan BN yang kini sudah menjadi pembangkang sebenarnya tidaklah terhenti begitu saja.

Cuma, ia sudah bertukar daripada media arus perdana dan saluran televisyen kepada medium media sosial. Sebab itu, kebelakangan ini begitu kerap tersebar petikan berita atau tangkap layar yang kononnya merupakan kenyataan pemimpin-pemimpin tertentu Pakatan Harapan yang disebarkan secara meluas menggunakan logo portal-portal berita bebas tertentu.

Antaranya yang dikesan sebelum ini ialah mengenai isu Raja, Melayu dan Islam, kandungan manifesto, berkaitan cukai SST serta kadarnya, tempoh lupus kenderaan dan macam-macam lagi. 

Hampir saban hari, tatap saja media sosial, pasti terjumpa berita palsu yang pro kepada UMNO dan BN. Tahapnya makin rancak dan kerap. Ia hampir sama dengan dulu di mana selak saja akhbar atau buka televisyen, tidak lain akan kedapatan penuh dengan berita palsu, fitnah, adu domba dan menyeleweng fakta yang memburuk-burukkan Pakatan Harapan.

Semua berita palsu itu yang kononnya merupakan kenyataan pemimpin-pemimpin tertentu, tetapi tidak pernah diucapkan, disebarkan secara meluas melalui media sosial tidak lain dengan tujuan untuk mengelirukan rakyat dan mencambahkan kebencian terhadap kerajaan baru Pakatan Harapan.

Pengendali dan pemain media sosial pro UMNO dan BN kini sedar media arus perdana serta saluran televisyen tertentu tidak boleh lagi digunakan untuk perkara-perkara buruk seperti itu. Media tersebut seolah-olah sudah jadi baik, tetapi kejahatan menyebarkan berita palsu disandarkan pula kepada media sosial.

Petunjuknya cuma satu, menyebar berita palsu, fitnah, adu domba dan menyeleweng fakta bukan saja tidak dapat dipisahkan daripada UMNO dan BN, malah tahapnya makin menggila setelah mereka menjadi pembangkang sekarang ini.

Ia berbeza dengan pemain media pro Pakatan Harapan yang dulu hanya menumpu kepada menyerang kredibiliti, mendedah penyelewengan, mengkritik dan mengapungkan kebenaran bagi kefahaman rakyat betapa buruknya cara pemimpin UMNO dan BN mentadbir negara selama ini.

Itulah yang akhirnya menyedarkan rakyat untuk berani membuat perubahan dan menumbangkan BN.

Malah hari ini, setelah menjadi kerajaan, pemain media sosial pro Pakatan Harapan terus berpaksikan  perjuangan kebenaran seperti dulu, bahkan sama sibuk menangkis berita-berita palsu yang disebarkan oleh mereka yang pro UMNO dan BN dengan tujuan rakyat tetap mengetahui kebenaran di penghujungnya. (ShahbudinHusin 19/07/2018)

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x