Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

BEZA MANIFESTO PH DENGAN MANIFESTO PH

Secara umumnya, manifesto bermaksud suatu pernyataan bertulis, janji  atau perancangan masa depan yang dikemukakan oleh sesebuah parti bagi mendapat sokongan rakyat dalam sesuatu pilihanraya yang mana ia akan dilaksanakan setelah kemenangan dapat dicapai.

Sekali imbas, manifesto seolah-olah wajib dilaksanakan kerana ia merupakan janji yang dikemukakan kepada rakyat dan setelah rakyat memberi kemenangan, maka rakyat berhak menerima apa yang dijanjikan itu.

Meskipun begitu, seperti kata Tun Mahathir Mohamad, manifesto bukanlah kitab suci yang sesebuah parti terikat 100 peratus untuk melaksanakannya.

Ia, kata beliau, hanyalah sebagai panduan semata-mata yang bermakna perlaksanaannya boleh diubahsuai berdasarkan kesesuaian atau kemampuan sebuah parti itu.

Dalam konteks BN dan PH, pembentangan manifesto sebenarnya harus dilihat dalam sudut yang berbeza.

Ketika BN membentangkan manifestonya, mereka adalah kerajaan di mana ketika itu mereka mengetahui tahap kemampuan dan status kewangan negara sama ada sesuatu yang dijanjikan itu boleh dilaksanakan atau sebaliknya.

Misalnya, jika BN menjanjikan untuk menurunkan harga kereta, ia bermakna ketika janji itu dikemuka atau dibentangkan kepada rakyat, mereka tahu ia memang boleh dilaksanakan dengan cara menurunkan cukai-cukai tertentu yang diyakini tidak menjejaskan kewangan negara.

Dalam erti kata lain, jika BN yang merupakan kerajaan ketika manifesto dibentangkan, tetapi janji menurunkan harga kereta itu gagal ditunaikan setelah sokongan rakyat diperolehi, mereka boleh dianggap sebagai mungkir janji atau dalam bahasa kasar sikit – pembohong besar.

Apabila Najib Razak mengatakan manifesto adalah janji yang mesti ditunaikan, ia sebenarnya lebih tepat untuk merujuk kepada BN yang merupakan sebuah kerajaan ketika manifesto itu dirangka.

Sebalik itu, manifesto adalah berbeza bagi PH yang merupakan pembangkang ketika mereka menyertai pilihanraya pada 9 Mei lalu.

Ketika PH mengemukakan manifesto atau janjinya kepada rakyat, mereka tidak banyak tahu mengenai kedudukan kewangan negara atau tahap kemampuan sebenar untuk janji itu sama ada dapat dilaksanakan 100 peratus atau sebaliknya.

Apa yang dibentangkan lebih merupakan iltizam atau keyakinan bahawa apa yang dijanjikan itu adalah baik dan bermanfaat buat rakyat.

Hanya setelah mendapat sokongan rakyat dan menjadi kerajaan, barulah PH tahu tahap kemampuan dan kedudukan sebenar kewangan negara. Ketika itu jugalah, baru diketahui ada fail sulit, fail merah, fail tersembunyi dan sebagainya.

Setelah menjadi kerajaan juga, barulah PH tahu tahap sebenar hutang negara, kos sesuatu projek mega yang digembar-gemburkan BN sebelum ini, malah barulah juga diketahui bagaimana “kong kali kongnya”  pengurusan ekonomi dilakukan di mana ada projek yang baru 13 peratus siap pun sudah boleh dibayar sehingga 90 peratus.

Semua itu adalah halangan atau kekangan yang menimbulkan masalah kepada PH dalam menunaikan semua janji-janjinya kepada rakyat. 

Meskipun demikian, oleh kerana ia merupakan janji, PH tetap seboleh mungkin cuba melaksanakannya, tetapi oleh kerana adanya kekangan kewangan atau halangan tertentu, ia terpaksa diubahsuai atau memerlukan tempoh tertentu untuk dilaksanakan.
Dalam soal perlantikan speaker, meskipun PH berjanji untuk melantik daripada kalangan Ahli Parlimen, tetapi oleh kerana ada masalah tertentu, ia tidak dapat dilaksanakan.  Ini tidak boleh dianggap melanggar janji.mTetapi, penggantinya seorang bekas hakim nyata lebih berwibawa dan seharusnya memberikan rasa gembira kepada rakyat

Rakyat dalam hal ini harus faham dan tidak terburu-buru menuntut janji. PH sendiri sedar jika mereka gagal menunaikan janji yang terkandung dalam manifesto, hukuman dikalahkan dalam pilihanraya yang seterusnya memang sedia akan menanti.

Cuma, ruang masa dan pengubsuaian hendaklah juga diberikan kerana PH kerana mereka adalah kerajaan baru. Yang penting, janji utama seperti menghapuskan GST, menstabilkan harga minyak, menyiasat 1MDB, menangkap Najib dan lain-lain tetap dilaksanakan untuk kesejahteraan dan kebaikan rakyat.

Kita boleh lihat sendiri, BN yang berkuasa sejak sekian lama pun tidak dapat memenuhi semua janjinya dalam pilihanraya-pilihanraya sebelum ini, maka berilah sedikit masa juga untuk PH menunaikan sebaik mungkin apa yang telah dijanjikannya.

Jika tidak dapat penggal pertama ini, di penggal-penggal seterusnya pasti semua janji dalam manifesto itu akan ditunaikan juga akhirnya. (ShahbudinHusin 17/07/2018)

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x