Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

JIKA LOGO UMNO DIGUNA DI SUNGAI KANDIS, BAGAIMANA DALAM PILIHANRAYA KECIL LAIN KALAU MCA, MIC ATAU GERAKAN YANG BERTANDING?

Calon UMNO dalam pilihanraya kecil Sungai Kandis, 4 Ogos depan dilaporkan akan menggunakan logo parti itu dan tidak lagi logo BN atau dacing sebagaimana lazimnya.  

Tindakan itu adalah berikutan kekalahan BN dalam PRU14 lalu yang menyaksikan gabungan itu buat pertama kali kehilangan kuasanya di peringkat Persekutuan.

Dengan kekalahan buruk itu, manakala UMNO masih mampu menang 54 kerusi Parlimen (tiga daripadanya kemudian mengisytiharkan keluar UMNO untuk menjadi Ahli Parlimen Bebas), beberapa pemimpinnya menganggap logo BN bukan lagi produk yang menarik dan sesuai untuk dipasarkan kepada rakyat.

Ada pula yang mengatakan, dengan kekalahan BN itu yang turut diikuti 10  komponennya mengumumkan keluar parti dan parti-parti utama seperti MCA, MIC serta Gerakan menunjukkan prestasi paling buruk, riwayat BN sebenarnya sudah pun berakhir.

Lantaran itu, kebanyakan pemimpin UMNO mahu nama BN diabaikan terus mulai sekarang, sebaliknya hanya nama dan logo UMNO saja yang harus dipasarkan.

Apabila berlaku kematian Adun Sungai Kandis, Shuhaimi Shafie dan pilihanraya kecil ditetapkan pada 4 Ogos depan, seruan kepada penggunaan logo UMNO itu semakin kuat kedengaran dan beberapa pemimpinnya menganggap inilah masa yang sesuai untuk UMNO melakukan percubaan itu.

Oleh kerana calon UMNO yang bertanding di Sungai Kandis, maka memang haknya untuk menggunakan logo sendiri dalam pilihanraya kecil kali ini.

MCA, sebuah parti komponen BN turut tiada bantahan terhadap hasrat UMNO itu.

Bermakna, hampir mungkin calon UMNO di Sungai Kandis nanti akan menggunakan logo parti itu sendiri dan tidak lagi logo BN seperti selalunya.

Demikian, pilihanraya kecil yang pertama diadakan setelah PRU14 ini bukan saja suatu ujian kepada kepimpinan Zahid Hamidi yang baru dipilih sebagai Presiden UMNO, tetapi juga ujian kepada penerimaan rakyat terhadap logo UMNO itu sendiri.

Adakah penerimaan rakyat kepada calon UMNO yang menggunakan logo UMNO akan lebih baik berbanding menggunakan logo BN atau sebaliknya?

Jika amalan tidak menggunakan logo BN itu menunjukkan reaksi yang positif, bagaimana jika berlaku pilihanraya kecil di masa akan datang di kawasan yang kouta kerusinya diperuntukkan kepada MCA, MIC atau Gerakan?

Adakah calon-calon parti itu akan menggunakan logo masing-masing juga atau mereka kembali menggunakan logo BN?

Atau mungkinkan MCA, MIC dan Gerakan akan dipaksa menggunakan logo UMNO dalam setiap pilihanraya kecil yang ditandingi oleh parti-parti itu?

Akhirnya, UMNO yang pening atau rakyat akan tambah pening untuk membuat pilihan? (ShahbudinHusin 13/07/2018)

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x