Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

SEDIALAH CEPAT WUJUDKAN TABUNG KEDUA?

Dalam satu perkembangan yang tidak kurang menariknya selepas Najib Razak dituduh di mahkamah, kini isterinya Rosmah Mansor pula disaman sebanyak hampir RM60 juta oleh seorang tukang emas terkenal dari Beirut atas penghantaran 44 barangan kemas yang dihantar kepadanya pada Februari lalu.

Tukang emas terbabit melalui syarikatnya, Global Royalty Trading SAL dalam tuntutannya mendakwa, pada 10 Februari lalu, telah menghantar 44 unit barangan kemas berupa  kalung berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara yang setiap satunya bernilai antara AS$124 ribu hingga AS$925 ribu kepada Rosmah.

Rosmah didakwa dalam surat bertarikh 22 Mei kemudiannya, mengakui telah menerima semua barangan kemas yang dihantar itu, tetapi menjelaskan semuanya tidak lagi dalam jagaannya kerana sudah dirampas oleh pihak polis dalam serbuan di kediaman dan tiga kondo mewah yang dikaitkan dengan Najib selepas kejatuhannya dalam pilihanraya lalu.

Global Royalty dalam tuntutannya memohon perisytiharan mahkamah bahawa semua barangan itu adalah milik sah mereka serta perlu dikembalikan atau alternatifnya, Rosmah wajar membayar kembali keseluruhan nilai barangan kemas tersebut.

Polis sebelum ini merampas 72 beg di mana 25 daripadanya adalah mengandungi barangan kemas berjumlah 12 ribu jenis di kediaman dan kondo yang dikaitkan dengan  Najib yang berjumlah RM440 juta.

Nilai semasa semua rampasan dalam 72 beg berkenaan, termasuk wang tunai sebanyak RM116 juta, 567 beg tangan mewah, 423 utas jam tangan berjenama dan 234 cermin mata,  adalah dianggarkan antara RM900 juta hingga RM1.1 bilion.

Rabu lalu, Najib dituduh di mahkamah atas empat pertuduhan rasuah serta pecah amanah dan dibebaskan dengan ikat jamin RM1 juta sementara menunggu hari perbicaraan.

RM500 ribu daripada wang jaminannya adalah hasil kutipan yang digerakkan oleh sekumpulan pemimpin UMNO, termasuk ada Ketua Wanita UMNO yang sanggup menyerahkan gelang kesayangannya.

Kini, selepas Najib, giliran Rosmah pula berdepan tuntutan saman RM60 juta atas pembelian 44 jenis barangan kemas yang belum dibayar, tetapi sudah dirampas oleh pihak polis.

Apa usaha para pemimpin UMNO, termasuk Wanita UMNO di seluruh negara untuk membantu Rosmah jika kalah dalam saman ini di mahkamah?

Kenapa tidak dimulakan usaha menubuhkan tabung kedua dengan segera? (ShahbudinHusin 10/07/2018)

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x