Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

BERANIKAH NAJIB TUNJUKKAN BUKTI SLIP BANK KEPADA SIAPA WANG DERMA DIPULANGKANNYA?

Walaupun kenyataannya sebelum ini mengenai wang RM2,600 juta telah disanggah oleh bekas Gabenor Bank Negara, Zeti Akhtar Aziz, Najib Razak nampaknya tetap berpegang kepada pendirian asalnya.

Pendirian asal Najib ialah kemasukan wang ke dalam akaun peribadinya itu diketahui oleh Zeti menjelang pilihanraya umum 2013 yang lalu.

Bagaimanapun, Zeti dalam kenyataannya kemudian menafikan beliau mengetahui mengenai kemasukan wang itu, sebaliknya mendakwa Najib telah memanggilnya pada 3 Julai 2015 dan meminta mengeluarkan kenyataan tiada sebarang kesalahan dilakukan berhubung akaun bank itu.

Dalam waktu yang sama, bekas Perdana Menteri yang telah dituduh atas tiga kesalahan pecah amanah dan satu pertuduhan rasuah Rabu lalu serta mungkin berpuluh tuduhan lagi bakal menantinya, juga tetap mengatakan sebahagian besar wang itu dipulangkannya kepada sumber yang sama.

“Saya hormat kerja cemelang Zeti sebagai Gabenor Bank Negara sebelum ini.

“Terpulang kepada beliau jika mahu mengatakan sebagai Gabenor Bank Negara ketika itu, beliau tidak tahu tentang wang dari luar negara yang didepositkan ke dalam akaun saya pada 2013, yang mana sebahagian besar daripadanya saya pulangkan beberapa bulan kemudian kepada sumber yang sama,” kata Najib lagi.

Isu mengenai kemasukan wang tersebut barangkali tidak menjadi isu lagi kerana selain bukti-bukti telah banyak  ditunjukkan, Najib sendiri turut mengakui mengenainya, meskipun pada awalnya beliau bermati-matian menafikannya.

Yang menjadi persoalan hanyalah siapa pemberi wang tersebut – adakah benar ia derma daripada keluarga Diraja Arab Saudi atau wang lencongan daripada 1MDB?

Di sebalik Najib mengatakan ia sebagai derma, penyiasat antarabangsa dan DOJ mendapati wang tersebut berasal daripada 1MDB yang dimasukkan ke akaunnya melalui Tanore Finance Corporation, kepunyaan Jho Low.

Tun Mahathir Mohamad pula berkali-kali menolak wang itu sebagai derma dengan mengatakan  “hanya orang Arab gila saja sanggup menderma wang sebanyak itu”.

Dalam hal ini, tidak kurang “gilanya” ialah bagaimana dan pernahkah seseorang yang diberikan derma sebanyak itu, tetapi kemudian memulangka sebahagian besar daripadanya kepada penyumbang asalnya?

Terlanjur Najib tetap dengan pendirian bahawa wang RM2,600 itu sebagai derma serta telah memulangkan sebahagian besar daripadanya, isu berkenaan mungkin boleh dirungkaikan jika bekas Perdana Menteri itu berani bersikap jujur dan berkata benar mengenainya.

Kalau Najib mengatakan ia adalah derma dan telah memulangkannya, bolehkah beliau menunjukkan bukti kepada siapa wang tersebut dipulangkannya?

Beranikah beliau menunjukkan bukti slip bank mengenai sumber asal wang itu dipulangkan?

Hanya dengan keberanian mendedahkan bukti kepada siapa wang itu dipulangkan, barulah dapat diketahui sumber asal atau penderma sebenar wang yang dikatakan derma itu.

Siapakah nama kerabat Diraja Arab Saudi yang tercatat dalam slip bank pemulangan wang itu atau ia sebenarnya dipulangkan kepada Tanore Finance Corporation yang dalam dapatan penyiasatan antarabangsa dan DOJ adalah penyumbang asal wang tersebut?

Najib boleh saja mendedahkan bukti slip bank itu melalui laman facebook, twitter atau menerusi peguamnya.

Sebelum ini, bekas Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi juga turut disiasat SPRM berhubung kenyataannya mengenai wakil keluarga Diraja Arab Saudi yang dikatakan pemberi derma kepada Najib yang didakwa pernah ditemuinya.

Adakah nama wakil yang disebut Zahid Hamidi kepada SPRM itu sama dengan sumber asal di mana wang derma itu telah dipulangkan oleh Najib?

Mudah saja untuk Najib menghentikan semua pertikaian mengenai wang tersebut, segala-galanya terserah kepada sama ada beliau berani bersikap jujur dan berkata benar atau sebaliknya?

Atau, jika tidak, lebih baik beliau diam saja dan tunggu pertuduhan seterusnya di mahkamah yang pasti akan merungkai kebenaran akhirnya? (ShahbudinHusin 06/07/2018)

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x