Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

NASIB SUDAH BERUBAH, TAPI ADAKAH UMNO JUGA SEDIA UNTUK BERUBAH?

Hari ini semua bahagian UMNO akan bermesyuarat untuk menentukan pucuk pimpinan tertinggi parti yang diadakan serentak dengan pemilihan kepimpinan di 191 bahagian seluruh negara.

Tetapi, pemilihan kali ini tentu saja berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya.

Tahun ini merupakan kali pertama sejak 1987, jawatan Presiden UMNO dipertandingkan. Sejak tahun itu di mana Tengku Razaleigh Hamzah tewas 43 undi kepada Tun Mahathir Mohamad, jawatan Presiden UMNO tidak pernah lagi dipertandingkan.

Bermakna, sudah 31 tahun jawatan Presiden UMNO tiada pertandingan. 

Pertandingan kali ini pula berlaku kerana UMNO sudah hilang kuasa dan bukan lagi parti yang menunjangi kerajaan.

Jika hari ini UMNO masih lagi sebagai kerajaan, sudah pasti juga tidak ada pertandingan dan berbondong-bondonglah pemimpinnya terus mendewa dan memuja Najib Razak.

Malah, Khairy Jamaluddin yang waktu ini dilihat paling lantang menyalahkan Najib sebagai punca kekalahan UMNO, jika parti itu masih berkuasa, pastilah juga merupakan antara pemimpin yang paling kuat membodek dan mengampu Najib.

Tidak keterlaluan kalau beliau juga sanggup memberi tabik dengan kedua-dua belah tangannya andai kata hari ini Najib masih lagi berjawatan Perdana Menteri.

Namun, nasib UMNO sudah berubah. Daripada parti kerajaan, ia kini sudah pun rebah.

Persoalannya, adakah UMNO juga sedia berubah sama dalam pemilihannya kali ini?

Adakah UMNO mengambil iktibar daripada kekalahan dan kehilangan kuasanya dan sanggup sama-sama berubah seiring dengan nasibnya yang sudah berubah itu?

Sedianya UMNO berubah hanya akan dapat dilihat jika perwakilan kali ini sedia memberi kemenangan kepada calon yang selama ini berada di luar hireaki kepimpinan parti iaitu Ku Li untuk menerajui UMNO.

Ku Li bukan saja bersih dan tiada isu, malah pengalaman dan kewibawaannya dalam banyak sektor sebelum ini sudah tentu amat berguna  dan mampu untuk memulihkan semula UMNO yang sudah kehilangan kuasanya itu.

Lagi pula, cabaran di hadapan UMNO ialah Tun Mahathir dan Anwar Ibrahim dan hanya Ku Li mampu seiring serta setanding dengan kedua-dua pemimpin tersebut.

Sebaliknya, jika perwakilan memilih Zahid Hamidi, bermakna UMNO kekal tidak mahu berubah kerana beliau dan Najib adalah sama saja, malah mungkin lebih teruk lagi daya kepimpinannya.

Lagi pula Zahid Hamidi adalah juga sebahagian punca dan pewaris kerosakan UMNO sehingga ia kalah dan ditolak rakyat dalam pilihanraya yang lalu.

Begitu juga dengan KJ, beliau turut merupakan antara sebahagian barisan kepimpinan yang kuat mempertahankan Najib sebelum ini.

Sepatutnya apabila UMNO kalah dan Najib mengundurkan diri, Zahid Hamidi dan KJ patut berundur sama untuk berkongsi memikul beban tanggungjawab kekalahan itu.

Ini mereka pula mahu menawarkan diri menerajui UMNO untuk kononnya mahu memulihkan parti yang sudah kalah itu.

Tak ke ‘gila’ namanya perlakuan Zahid Hamidi dan KJ itu?

Lagi pula, pernahkah Zahid Hamidi dan KJ mengukur baju di badan sendiri untuk berhadapan dengan Tun Mahathir dan Anwar?

Dalam pada itu, selain UMNO bakal berdepan kemungkinan diharamkan kerana terbabit dalam kesalahan penggubahan wang haram yang dikaitkan dengan Najib, usaha berterusan Pakatan Harapan membersihkan pentadbiran kerajaan daripada amalan rasuah dan penyelewengan juga mungkin membahayakan kedudukan Zahid Hamidi dan KJ kerana kedua-duanya adalah sebahagian anggota kabinet Najib yang dicemari dengan pelbagai kekotoran dan salah laku sebelum ini.

Bagaimana jika ditakdirkan, baik Zahid Hamidi atau KJ yang menang sebagai Presiden UMNO, tetapi mereka kemudian terpaksa berdepan siasatan dan pendakwaan di mahkamah?

Tidakkah nama UMNO akan tercemar sekali lagi?

Nasib UMNO sudah berubah, maka perwakilan yang memilih pucuk pimpinan juga mesti berani berubah sama serta tidak gentar membuat perubahan ke arah kebaikan dan masa depan parti itu.

Selain Ku Li, peneraju UMNO selepas ini hanya menjanjikan lebih banyak isu dan sekaligus memberi kegembiraan kepada Pakatan Harapan lantaran jaminan untuk memerintah negara dengan lebih lama sudah pun tersedia di depan mata. (ShahbudinHusin 30/06/2018)

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

51 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
51
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x