Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

KJ SEBAGAI PRESIDEN UMNO? NANTI DULU….

Barangkali ramai yang teruja dan terpesona apabila Khairy Jamaluddin yang sebelumnya sudah mendaftarkan diri bertanding jawatan Naib Presiden UMNO, tiba-tiba mengubah fikiran dengan turut bersaing bagi jawatan tertinggi iaitu Presiden UMNO.

Sebelum itu, Zahid Hamidi, Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden dan kemudian dilonjakkan setakuk lagi sebagai Pemangku Presiden UMNO apabila Najib Razak mengumumkan perletakan jawatan dan Tengku Razaleigh Hamzah, lebih awal mengumumkan kesediaan merebut jawatan tertinggi itu.

Dengan itu, persaingan kini adalah pertembungan tiga penjuru  antara Zahid Hamidi, Ku Li dan KJ.

Hakikatnya, walaupun ada persaingan, perebutan jawatan Presiden UMNO sebenarnya adalah untuk mengisi kekosongan jawatan itu dan bukannya Ku Li dan KJ mahu mengambil alih atau cuba menjatuhkan Zahid Hamidi.

Zahid Hamidi ketika ini hanyalah memangku jawatan Presiden UMNO sehingga pemilihan pada 30 Jun ini.

Dengan penyertaan KJ itu, ramai yang melihat beliau adalah simbol pembaharuan dan pemulihan semula parti  selepas UMNO kalah dan kehilangan kuasanya.

Tetapi, persoalan paling asas yang para perwakilan harus fikirkan ialah sesuai dan mampukah KJ menjadi Presiden UMNO?

KJ sebenarnya bermula sebagai watak hitam dalam UMNO. Dengan menjadi menantu Tun Abdullah Badawi, beliau kemudian mengetuai apa yang dipanggil geng tingkat 4 yang akhirnya menjadi beban dan menyebabkan BN buat pertama kalinya hilang majoriti 2/3 pada pilihanraya 2008.

Jika diimbas kembali, hilangnya kuasa UMNO hari ini adalah berpunca daripada onar dan karenah yang dimulakan KJ sewaktu era kepimpinan Tun Abdullah yang kemudian bermula daripada situlah menyebabkan Tun Mahathir Mohamad keluar dari dunia persaraannya selepas meletakkan jawatan pada 2003.

Mungkin jika KJ tiada dalam hidup Tun Abdullah Badawi dan kepimpinan Pak Lah tidak dirosakkan oleh menantunya itu, bukan saja Tun Mahathir kekal dengan persaraannya sehingga sekarang, malah apa yang berlaku kepada UMNO pada hari ini juga dapat dielakkan.

Maka, apabila KJ menawarkan diri bertanding sebagai Presiden UMNO, mampukah seorang yang pernah membawa kerosakan kepada parti mahu menjadi peneraju untuk memulihkan UMNO?

Berupayakah beliau mengikis imej buruk geng tingkat 4 yang masih melekat pada dirinya?

Selepas UMNO hilang kuasa juga, KJ terlihat lantang menyalahkan Najib dengan mengatakan skandal berkaitan bekas Perdana Menteri itu sebagai punca utama kekalahan parti dalam pilihanraya lalu.

Kenapa KJ berani bersuara hanya selepas UMNO hilang kuasa?

Mengapa sebelum pilihanraya lalu, beliau sibuk membodek dan mengampu Najib, malah bersama barisan kepimpinan Exco Pemuda UMNO sampai tergamak menjulang dan memberi tabik hormat kepada bekas Perdana Menteri itu, meskipun ketika itu berita mengenai skandal 1MDB bukan lagi rahsia di seluruh dunia?

Bolehkah diyakini manusia sebegini dipilih untuk menerajui dan memulihkan UMNO?

Selain itu, KJ juga adalah pemimpin yang masih terlalu muda dan mentah untuk menerajui UMNO. Beliau bukan saja muda dan mentah berbanding Zahid Hamidi, malah terlalu muda dan mentah jika dibandingkan dengan Ku Li.

Dalam UMNO, jawatan tertinggi yang pernah disandangnya hanyalah Ketua Pemuda UMNO, sementara dalam kerajaan pula sekadar menerajui kementerian paling junior, Kementerian Belia dan Sukan selama lima tahun sejak 2013 yang lalu.

Apakah dengan pengalaman secetek itu, KJ mampu berdepan dengan Pakatan Harapan yang diketuai oleh Tun Mahathir dan Anwar Ibrahim, jika akhirnya beliau dipilih sebagai Presiden UMNO?

Selebihnya, majoriti barisan Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan calon-calon pemilihan kali ini ramai yang lebih tua daripadanya, malah sebahagian besar Ketua Bahagian, Ketua Cawangan dan perwakilan akar umbi juga lebih berusia berbandingnya.

Dengan hanya berusia 42 tahun, apakah mereka yang tua-tua ini sedia berketuakan pemimpin yang lebih muda dan mentah seperti KJ?

Apakah calon-calon Timbalan Presiden, Naib Presiden dan Ahli Majlis Tertinggi kali ini sanggup berketuakan KJ yang bukan saja lebih muda, bahkan junior dari segi pengalaman dan penglibatan dalam UMNO berbanding mereka?

Mahukah mereka membiarkan diri mereka menerima arahan daripada KJ selaku Presiden UMNO?

Sebenarnya KJ bukan tidak ada bakat kepimpinan, cuma usia dan pengalamannya terlalu mentah serta belum cukup matang untuk menerajui UMNO bagi menghadapi cabaran semasa.

Lagi pula, berdasarkan keputusan pilihanraya lalu, KJ turut dianggap gagal menarik undi anak-anak muda untuk memihak kepada BN di mana majoritinya lebih cenderung mengundi Pakatan Harapan.

KJ sepatutnya merangkak daripada bawah dengan meniti kerusi Naib Presiden terlebih dahulu, kemudian Timbalan Presiden dan akhirnya barulah memuktamadkan cita-cita politiknya sebagai Presiden UMNO.

Tetapi, oleh kerana KJ nampaknya terlampau gopoh dan ingin terus melonjak ke hadapan tanpa menilai keseluruhan isu yang membelenggu dirinya, para perwakilan pada 30 Jun ini boleh memberi kata putus “nanti dulu” kepadanya serta memberi laluan kepada tokoh lain yang lebih berwibawa, matang dan mampu berhadapan dengan Tun Mahathir dalam pilihanraya akan datang. (ShahbudinHusin 27/06/2018)

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

135 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
135
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x