Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

PERWAKILAN UMNO TOLAK KESINAMBUNGAN?

Selepas Pemuda UMNO, Wanita UMNO juga nampaknya menolak kesinambungan dalam memilih peneraju masing-masing.

Dalam pemilihan jawatan Ketua Pemuda UMNO, Naib Ketuanya, Khairul Azwan Harun atau Azwan Bro gagal dalam percubaannya untuk menjadi Ketua Pemuda UMNO.

Beliau tewas kepada Asyraf Wajdi Dusuki, bekas timbalan menteri yang tidak pernah aktif atau memegang jawatan dalam Pemuda UMNO.

Terpilihnya Asyraf memperlihatkan perwakilan Pemuda menolak elemen kesinambungan kepimpinan dalam pergerakan itu, sebaliknya mahukan pemimpin baru yang datang daripada di luar lingkungannya.

Kemudian, Pergerakan Wanita UMNO dalam pemilihan pemimpinnya turut menolak elemen kesinambungan apabila Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia, Azizah Mohd Dun kecundang kepada Noraini Ahmad.

Noraini Ahmad bukan daripada kalangan Exco Wanita UMNO, tetapi adalah bekas Ketua Puteri UMNO dan sekarang merupakan Ahli Parlimen Parit Sulong.

Bagaimana dengan perwakilan UMNO 30 Jun nanti?

Jika perwakilan Pemuda dan Wanita UMNO berani menolak kesinambungan kepimpinan dalam kedua-dua sayap penting itu, tidak ada sebab perwakilan UMNO juga tidak mampu melakukannya.

Mereka harus sedar bahawa dalam keadaan parti yang baru kalah pilihanraya dan sudah kehilangan kuasa, mengekalkan kesinambungan samalah seperti mengekalkan kemudaratan terus bersarang dalam UMNO.

UMNO realitinya adalah parti yang sakit dan memerlukan perubahan yang lebih besar dalam struktur kepimpinannya.

Dengan Pemuda dan Wanita UMNO telah menunjukkan mereka berani berubah serta menolak kesinambungan, parti itu tidak akan mampu bergerak jauh dan diyakini rakyat sekiranya kepimpinan induknya masih merupakan kesinambungan daripada era Najib Razak yang diketahui umum adalah punca utama kerosakan dan penolakan rakyat dalam pilihanraya umum yang lalu.

Dalam keadaan parti masih berkuasa, mengekalkan kesinambungan kepimpinan mungkin merupakan pilihan terbaik, tetapi setelah kehilangan kuasa, kesinambungan adalah suatu bebanan.
Tiada pilihan, perwakilan UMNO mesti berani menolak kesinambungan, kecuali jika mereka ingin terus kalah, lemah, bermasalah dan menjadi pembangkang dalam tempoh yang lebih lama. (ShahbudinHusin 25/06/2018).

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

85 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
85
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x