Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

BUAT SEMENTARA INI, KERAJAAN MESTI SEKAT MUSA SAFRI DAN RAZAK BAGINDA DARIPADA MENINGGALKAN NEGARA

Harapan kita untuk melihat kes pembunuhan Altantuya Sharibuu dibuka atau dibicarakan semula nampaknya semakin cerah dan hanya selangkah saja lagi menuju kebenaran dan keadilan.

Setelah bapa Altantuya bersama peguamnya, Ramkarpal Singh berjumpa dengan Peguam Negara, kemudian membuat laporan polis dan semalam bertemu dengan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad yang bersetuju kes itu dibuka semula, hakikatnya hanya masa saja yang menjadi penantian bilakah segala-galanya akan bermula.

Selepas ini, sebaik saja Peguam Negara mengarahkan kes dibuka semula, maka siasatan dan seterusnya perbicaraan akan segera berjalan. 

Di akhirnya, yang diharapkan ialah keadilan dapat ditegakkan dan siapa yang mengarahkan pembunuhan itu dapat dihukum dengan sewajarnya.

Dalam laporan polis yang dibuat oleh bapa Altantuya bersama Ramkarpal, mereka jelas menamakan Musa Safri, bekas ketua pengiring Najib Razak yang merupakan pegawai atasan kepada Azilah Hadri Umar dan Sirul Azhar, sebagai individu yang harus disiasat dan diambil keterangannya.

Dalam pembicaraan sebelum ini, pihak pendakwa mengatakan tiada keperluan untuk memanggil Musa Safri sebagai saksi, lantaran itu motif Altantuya dibunuh jadi tergantung dan misteri, meskipun kedua-dua anggota UTK yang menjadi pengawal Najib itu sudah dijatuhkan hukuman mati.

Hanya dengan memanggil Musa Safri ke kandang saksi saja dapat diketahui mengapa Azilah dan Sirul melakukan pembunuhan tersebut.

Adakah mereka diarahkan oleh Musa Safri untuk melakukan pembunuhan itu atau sebaliknya?

Jika arahan itu wujud, siapakah pula yang mengarahkan Musa Safri berbuat demikian?

Dalam kes berkaitan, Razak Baginda yang pernah dituduh bersubahat dan kemudian dibebaskan juga mesti dipanggil semula ke kandang saksi atau perbicaraan semula dilakukan terhadapnya.
Sebelum ini, apabila Razak Baginda dibebaskan, pihak pendakwa tidak mengemukakan rayuan sama sekali yang memberi gambaran pendakwa seolah-olah setuju dan berpuas hati dengan keputusan mahkamah itu.

Apakah sebenarnya hubungan Razak Baginda dengan Altantuya?

Mengapakah pada malam sebelum kematiannya, Altantuya didapati datang mahu berjumpa Razak Baginda dan membuat kecoh di pintu pagar rumahnya?

Apakah yang dicarinya daripada Razak Baginda?

Untuk memastikan keadilan dan sama ada Najib atau sesiapa yang lain terlibat atau tidak dalam pembunuhan Altantuya atau apakah motif wanita Mongolia itu diletupkan dengan bom C4, Musa Safri dan Razak Baginda adalah dua individu sangat penting yang mesti dipastikan diambil keterangannya serta dibawa ke mahkamah.

Oleh kerana hanya faktor masa yang akan menentukan bilakah kes ini akan dibuka semula, buat sementara waktu ini pihak berkuasa seharusnya segera menyekat Musa Safri dan Razak Baginda daripada meninggalkan negara ini.

Mereka mesti dihalang daripada ke luar negara sepertimana langkah yang sudah diambil terhadap Najib, Rosmah, Arul Kanda, Irwan Siregar dan sederetan nama yang lain lagi.

Jangan sampai Musa Safri dan Razak Baginda lebih dulu lari ke luar negara sehingga akhirnya tak dapat dikesan seperti Musa Aman dan Jamal Md Yunos yang masih hilang sampai hari ini di mana akhirnya keadilan yang ingin dicari tergendala sekali lagi. (ShahbudinHusin 21/06/2018)

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

33 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
33
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x