Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

HANYA KU LI TIADA BEBAN BAGASI, ZAHID HAMIDI ATAU KJ MASING2 ADA MASALAH TERSENDIRI

Walaupun ada tujuh orang yang dilaporkan telah menghantar borang pencalonan untuk bertanding jawatan Presiden UMNO pada pemilihan 30 Jun depan, persaingan sebenar adalah antara tiga calon saja.

Mereka ialah Zahid Hamidi, Tengku Razaleigh Hamzah dan Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Empat lagi calon yang turut menghantar borang pencalonan tidak lebih sekadar suka-suka saja berbuat demikian dan tidak pun mengharapkan lebih daripada itu. Bahkan, kemenangan adalah paling menakutkan mereka.

UMNO ketika ini bukan lagi parti yang ada kuasa dan sasarannya melalui pemilihan pucuk pimpinan kali ini ialah untuk memberi saingan yang sebaik-baiknya kepada Pakatan Harapan dalam pilihanraya umum akan datang, meskipun realitinya untuk menggapai kembali kuasa ternampak sangat sukar berikutan kekotoran parti itu sendiri dan tindakan semua parti di Sabah dan Sarawak sudah keluar meninggalkan BN.

Untuk itu, jawatan Presiden UMNO haruslah disandang oleh pemimpin yang betul dan tidak dipertikaikan oleh rakyat. Kalau tidak, kekalahan BN akan lebih buruk lagi.

Berbanding ketiga-tiga calon tersebut, mesti diakui bahawa hanya Tengku Razaleigh atau Ku Li merupakan pemimpin yang bersih, tiada beban bagasi dan boleh diterima oleh pelbagai lapisan masyarakat untuk berdepan dengan Pakatan Harapan.

Ku Li bukan saja ada pengalaman sebagai Presiden Semangat 46 antara 1988 hingga 1996, malah jua juga pernah mengetuai pakatan pembangkang dalam dua pilihanraya umum iaitu pada 1990 dan 1995.

Dengan yang demikian, dalam kedudukan UMNO sebagai pembangkang ketika itu, Ku Li tentu saja paling layak menerajui parti itu berbanding Zahid Hamidi atau KJ yang pengalamannya dalam UMNO hanya di waktu senang saja.

Penerimaan orang Melayu dan bukan Melayu terhadap Ku Li juga dipercayai adalah baik berdasarkan “track record”  beliau selama berada dalam kerajaan sebelum ini.

Meskipun sudah berusia, tetapi Ku Li masih muda hampir 12 tahun berbanding Tun Mahathir Mohamad yang kini menjadi Perdana Menteri.

Jika dalam PRU15 nanti, Pakatan Harapan akan dipimpin oleh Anwar Ibrahim yang akan mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Tun Mahathir, bermakna Ku Li hanya lebih tua 10 tahun saja berbanding Ketua Umum PKR itu.

Maka, tiada masalah sangat sebenarnya bagi Ku Li yang sudah berusia 81 tahun atau mencecah 85 tahun dalam PRU 15 nanti untuk melakar kejayaan sebagaimana yang dipernah dilakukan oleh Tun Mahathir pada usia 93 tahun.

Beban bagi UMNO jika memilih Zahid Hamidi ialah ia sama saja seperti memberi semula jawatan Presiden UMNO itu Najib Razak. UMNO jika dipimpin oleh Zahid Hamidi  hampir tiada beza dengan sewaktu ia diketuai oleh Najib, malah ketika UMNO kalah pada pilihanraya 9 Mei lalu, saham utama kekalahan itu adalah perkongsian antara kedua-dua mereka.

Dengan Najib bakal didakwa tidak lama lagi, Zahid Hamidi juga berisiko berdepan perkara yang sama. Beliau bukan saja mungkin disiasat atau didakwa atas hal-hal peribadi lama atau berkaitan urusan kementerian yang pernah diterajuinya, bahkan jika Najib didakwa berkaitan wang RM2,600 juta yang didakwanya merupakan derma daripada kerabat Diraja Arab Saudi, Zahid Hamidi pasti tidak akan terlepas kerana beliau pernah mengaku menemui waris keluarga penderma itu.

Berdasarkan bukti antarabangsa bahawa wang tersebut sebenarnya berasal daripada dana 1MDB yang dicuri, mampukah Zahid Hamidi membukti atau menampilkan siapa waris keluarga Diraja Arab Saudi yang ditemuinya itu?

Tidak mungkinkah beliau akan didakwa kerana berbohong atau bersubahat dengan Najib?

Jika Zahid Hamidi akhirnya disiasat dan didakwa, tidakkah ini merupakan malang ketiga bagi UMNO setelah ia hilang kuasa dan kemudian bekas Presidennya, Najib dihadapkan di mahkamah?

KJ juga ada beban bagasi di belakangnya kerana beliaulah punca bermulanya kemerosotan sokongan rakyat kepada UMNO melalui pelbagai karenah budak-budak tingkat 4 yang diketuainya ketika bapa mertuanya, Tun Abdullah Badawi menjadi Perdana Menteri dahulu.

Disebabkan karenah KJ dan budak-budak tingkat 4 itulah Tun Mahathir keluar daripada persaraan dan mendesak pengunduran Tun Abdullah Badawi sehingga buat pertama kalinya BN hilang majoriti dua pertiga pada 2008 dan beliau kemudian setuju mengadakan peralihan kuasa kepada Najib pada 2009.

Hakikatnya, jika KJ tidak menjadi menantu Tun Abdullah, bekas Perdana Menteri itu mungkin masih mampu menjadi pemimpin yang lebih stabil serta tidak menimbulkan kemarahan ramai, bahkan mungkin juga Tun Mahathir tidak keluar daripada persaraan dan menjadi penentangnya.

Selain itu, KJ juga terlalu muda dari segi usia dan mentah pengalamannya. Berbanding pemimpin-pemimpin UMNO lain di mana kebanyakannya terdiri daripada bekas menteri, bekas menteri besar dan bekas ketua menteri yang bertanding jawatan timbalan presiden, naib presiden dan MT, KJ adalah paling muda di antara mereka.

Sediakah “warlord-warlord”  itu berketuakan pemimpin yang lebih mudah dan mentah berbanding mereka?

Dengan usia hanya 42 tahun dan berpengalaman sekadar menerajui kementerian paling junior, Kementerian Belia dan Sukan, jika menjadi Presiden UMNO, KJ juga barangkali hanya akan jadi “budak belasahan” kepada Tun Mahathir dan Anwar di arena politik negara menjelang PRU15 akan datang.
Lebih penting yang harus difikirkan oleh perwakilan ialah bolehkah orang yang pernah menjadi punca bermulanya merosotnya imej UMNO di mata rakyat dijadikan pemimpin utamanya?

Secara kasarnya, antara ketiga-tiga calon itu, hanya Ku Li yang bukan saja berwibawa dan tiada beban bagasi yang menyulitkan UMNO untuk bangkit semula, manakala Zahid Hamidi dan KJ, masing-masing ada masalah mereka yang tersendiri yang memberi kelebihan kepada Pakatan Harapan untuk kekal memerintah negara dengan lebih lama. (ShahbudinHusin 18/06/2018)

54 responses to “HANYA KU LI TIADA BEBAN BAGASI, ZAHID HAMIDI ATAU KJ MASING2 ADA MASALAH TERSENDIRI”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *