Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

PENULIS YANG MEMUJI-MUJI ZAHID HAMIDI MUNGKIN ZAHID HAMIDI SENDIRI

Menjelang 17 Jun ini di mana ia merupakan tarikh akhir untuk mendaftarkan diri bagi merebut jawatan MT UMNO dan pemilihan akan diadakan pada 30 Jun, Tengku Razaleigh Hamzah dilihat mula menunjukkan kesungguhan untuk bertanding jawatan Presiden UMNO.

Jika akhirnya Ku Li mendaftarkan dirinya untuk bertanding jawatan tersebut, bermakna beliau akan berhadapan dengan Pemangku Presiden UMNO, Zahid Hamidi.

Ketika ini juga Ku Li mula mendapat sokongan yang kian memberangsangkan  di mana setiap hari – pagi, petang dan malam – ada saja rombongan pemimpin UMNO daripada seluruh negara yang datang menemuinya.

Hasrat mereka hanya satu, mahu Ku Li menjadi Presiden UMNO untuk menghadapi cabaran PRU15 lima tahun datang kerana hanya imej bersih beliau yang dirasakan mampu menjana kemenangan bagi parti yang baru ditimpa kekalahan itu.

Sokongan yang makin melebar terhadap Ku Li itu sekaligus menggambarkan ramai pimpinan UMNO seluruh negara tiada keyakinan terhadap Zahid Hamidi.

Zahid Hamidi yang dilihat tebal dengan DNA Najib Razak di tubuh dan pembuluh darahnya dianggap hanya menyukarkan usaha untuk menggembalikan kemenangan jika beliau dipilih sebagai Presiden UMNO.

Ramai juga yang beranggapan, setelah Najib meletak jawatan dan Hishammuddin Hussein tidak bertanding apa-apa jawatan, Zahid Hamidi juga sepatutnya mengundurkan diri sebagai tindakan bertanggungjawab bersama terhadap kekalahan UMNO dan BN dalam pilihanraya 9 Mei lalu.

Namun demikian, menghadapi kemungkinan besar dicabar oleh Ku Li itu, dalam sehari dua ini tiba-tiba muncul dua artikel atau rencana berturut-turut yang memuji-muji Zahid Hamidi dan memperlekeh bekas Menteri Kewangan itu.

Tulisan pertama yang disiarkan di portal Malaysiakini semalam  bertajuk “Zahid Hamidi ada kelebihan” yang ditulis oleh Johan Iskandar.

Mengikut catatan di penghujung rencana, Johan Iskandar kononnya ialah penganalisis politik tempatan yang mengikuti perkembangan politik Malaysia sejak tahun 1970an.

Oleh kerana saya sendiri adalah penulis, sejujurnya saya tidak pernah mendengar ada penulis bernama Johan Iskandar atau pernah terbaca  tulisannya  di mana-mana media sebelum ini.

Kemudian, carian di google dan wikipedia juga tidak terdapat sebarang maklumat mengenai Johan Iskandar atau ada tulisan-tulisan lamanya yang kononnya beliau adalah penganalisis politik sejak 1970an lagi.
Jika benar Johan Iskandar adalah penganalisis politik sejak tahun 70an, mengapa rencana lama atau namanya tiada kedapatan dalam google dan wikipedia? 

Jadi, siapa Johan Iskandar itu?

Hari ini, juga di portal Malaysiakini, muncul satu lagi tulisan yang memuji-muji Zahid Hamidi dan sekali lagi memperlekeh Ku Li untuk merebut jawatan Presiden UMNO.

Artikel kali ini yang bertajuk “Zahid waris tiga zaman” ditulis oleh penulis yang kononnya bernama Halimah Basiron.

Berdasarkan catatan di hujung rencana, Halimah Basiron dikatakan seorang pemimpin NGO dan kini pemerhati politik tempatan.

Sama seperti Johan Iskandar, carian di google dan wikipedia juga tidak menemui sebarang maklumat mengenai manusia bernama Halimah Basiron itu.

Siapakah beliau sebenarnya?

Ketika saya masih mempunyai hubungan baik dengan Zahid Hamidi dan kerap berkunjung ke pejabatnya suatu ketika dahulu, bekas Timbalan Perdana Menteri itu pernah memberitahu, beliau sebenarnya kerap menulis di beberapa akhbar tempatan mengenai perkembangan politik semasa (ketika itu belum ada internet lagi) tetapi dengan menggunakan pelbagai nama samaran.

Katanya, beliau menulis itu untuk menzahirkan pandangannya mengenai sesuatu perkara, tetapi tidak sesuai menggunakan nama sebenar berikutan dirinya mempunyai jawatan dalam parti dan juga kerajaan.

Berkaitan itu dan kebetulan sehari dua ini tiba-tiba muncul dua nama yang agak asing dalam dunia penulisan – Johan Iskandar dan Halimah Basiron – tetapi seolah-olah macam banyak tahu tentang perkembangan politik negara masa lalu dan subjeknya pula memuji-muji Zahid Zahid serta memperlekeh Ku Li yang mungkin mencabarnya bagi merebut jawatan Presiden UMNO, tidak mustahil penulis sebenar kedua-dua artikel itu ialah Zahid Hamidi sendiri.

Zahid Hamidi nampaknya mula rasa kepanasan dengan kemunculan Ku Li, lalu terpaksa menggunakan “Johan Iskandar dan Halimah Basiron” untuk memuji-muji Zahid Hamidi.

Mungkinkah sehingga 30 Jun ini lebih banyak nama samaran lain akan muncul, tetapi isinya semua sama – memuji dan memuja Zahid Hamidi? (ShahbudinHusin 15/06/2018)

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

27 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
27
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x