Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

UMNO TAK UBAH UMPAMA "JANTAN KABARET"

Dulu ramai yang percaya UMNO adalah parti keramat dan kerana kekeramatannya itu, ia dipercayai tidak akan kalah pilihanraya dan tetap kekal berkuasa buat selama-lamanya.

Najib Razak sendiri pun mungkin ada kepercayaan yang sama. Jika dalam hatinya ada kepercayaan bahawa UMNO boleh ditolak pengundi, tentu lebih awal beliau sudah melarikan wang tunai, barang kemas, intan permata, jam-jam mewah, jongkong emas dan 284 kotak mengandungi beg tangan mahal milik isterinya, Rosmah Mansor sebelum keputusan pilihanraya diumumkan.

Ternampak ganjil beliau mahu membiarkan semua itu ditemui oleh pihak polis bersama hilangnya jawatan Perdana Menteri yang disandangnya dan kemudian menjadi bahan utama media serta tontonan ramai di media sosial.

Meski diserang hebat oleh Tun Mahathir Mohamad, barangkali kerana percaya UMNO masih keramat dan tidak mungkin ditolak pengundi, maka itulah yang menyebabkan beliau terus menyimpan semua kekayaan itu di rumahnya sehinggalah beliau sendiri turut disekat daripada meninggalkan negara.

Tetapi, dengan kalahnya UMNO dan hilangnya kuasa BN buat pertama kali dalam sejarah pemerintahan negara, semua sedar parti itu tidak ada keramatnya sama sekali.

UMNO kekal berkuasa hanyalah kerana bersama kuasa pemerintahan yang ada padanya ia memiliki wang tanpa had yang menjadikan semua orang terpana dan melihatnya sebagai mulia.

Sebab itu, sebaik saja BN kalah pilihanraya dan UMNO hilang kuasa, satu demi rakan-rakan yang selama ini setia mula menjauhkan diri dan meninggalkannya.

Sementara semua parti di Sabah dan Sarawak sudah menjauhkan diri daripada UMNO dan keluar BN, rakan-rakan komponen lain seperti MCA dan Gerakan pula mula menampakkan sikap kritikal mereka, malah ada yang berkata mereka yang sepatutnya mengusir UMNO keluar BN.

Hakikatnya, UMNO tanpa kuasa langsung tidak bernilai apa-apa dan bagi sesiapa.

Sebagai perbandingan, UMNO sebenarnya tidak ubah seperti “jantan kabaret”  yang ketika ia sihat, muda, berharta dan banyak wang, semua orang mahu mendekati dan memujanya.

Namun, sebaik saja tidak lagi popular, usia menginjak tua dan tiada wang serta harta, bukan saja kekasih dan kawan-kawan menjauhkan diri, malah isteri yang dinikahi atas dasar kekayaannya juga akan  meninggalkannya.

Itulah realiti UMNO sebenarnya. (ShahbudinHusin 14/06/2018)

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

67 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
67
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x