Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

NAJIB SALAH, APA YANG BERLAKU KEPADA UMNO KINI ADALAH BALA TUHAN, BUKANNYA UJIAN

Apabila Najib Razak menyifatkan apa yang berlaku kepada UMNO ketika ini sebagai ujian dan menuntut semua anggota parti meneruskan perjuangan, walaupun sedang berhadapan dengan ujian getir, beliau sebenarnya telah memberi tafsiran yang salah dan mengelirukan.
Kedudukan UMNO ketika ini – jika diteliti – bukanlah suatu ujian, tetapi merupakan bala yang berpunca daripada kepimpinan Najib yang curang dan penuh skandal.
Selepas kalah pilihanraya dan ramai ahli UMNO keluar parti serta 9 parti komponen sudah meninggalkan BN, Najib dilihat cuba memujuk mereka dengan mengatakan, perjuangan tidak semuanya melalui jalan manis, sebaliknya sesekali akan berhadapan ujian berliku atau jalan yang buntu.
“Allah letakkan ujian sangat besar untuk melihat jika kita masih mempunyai kesungguhan untuk menghidupkan perjuangan asal UMNO,” kata beliau ketika berucap dalam sebuah majlis berbuka puasa di Pekan, semalam.
Najib oh Najib…tak usahlah terus berdrama lagi yang seolah-olah dirinya tidak bersalah di sebalik UMNO dan BN kalah pilihanraya serta kehilangan kuasa.
Lebih baik beliau mengaku saja bahawa sebahagian besar punca kekalahan UMNO dan BN dalam pilihanraya lalu adalah berpunca daripada masalah dirinya sebagai Perdana Menteri.
Najib juga hendaklah sedar bahawa ada perbezaan antara ujian dengan bala, walaupun kedua-duanya kelihatan hampir sama.
Perjuangan yang berasaskan kebenaran dan kebaikan, apabila datang halangan, cabaran atau dugaan, meskipun kadang-kadang sehingga menyebabkan kehilangan nyawa, ia adalah satu bentuk ujian daripada Tuhan.
Para Nabi dan Rasul misalnya, bukan sedikit cabaran yang mereka hadapi, tetapi dengan kecekalan dalam meneruskan perjuangan, mereka akhirnya akan mengecapi kejayaan di penghujungnya.
Tetapi, bagi kumpulan gangster, perompak, penyamun atau pengedar dadah misalnya, mereka juga menghadapi cabaran, halangan atau dugaan yang bukan saja biasanya menyebabkan kehilangan nyawa, bahkan kadangkala sehingga kumpulan itu berpecah dan berkubur akhirnya.
Meskipun mungkin mereka juga mengatakan ianya sebagai ujian, bolehkah akal kita menerimanya?
Begitu juga dalam konteks Najib dan UMNO sekarang ini.
Di mana logiknya apa yang dihadapi UMNO ketika ini sebagai ujian sedangkan dalam akaun peribadi Najib terbukti pernah ada wang sebanyak RM2,600 juta yang dipercayai berpunca daripada wang curi 1MDB?
Di mana logiknya apa yang dihadapi UMNO ketika ini sebagai ujian sedangkan di kondo anak Najib ditemui wang tunai dalam 26 jenis matawang sebanyak RM114 juta, 284 kotak beg tangan mewah, beratus kilo jongkong emas dan puluhan beg mengandungi barang kemas serta intan permata?
Di mana logiknya apa yang dihadapi UMNO ketika ini sebagai ujian jika di dalam  sebahagian 37 beg yang dirampas polis di kondo anaknya dikatakan turut ditemui 433 utas jam tangan mewah yang kesemuanya bernilai hampir RM80 juta?
Pernahkah ada memimpin yang berjuang atas kebenaran dan kebaikan mempunyai rekod kekayaan dan “kegilaan” seperti itu?
Dengan perlakuan Najib dan keluarganya yang sedemikian rupa ketika beliau diamanahkan memimpin UMNO dan menjaga negara ini yang sepatutnya dilakukan dengan jujur serta penuh tanggungjawab dan akhirnya, dengan izin Tuhan, rakyat memberi hukuman kepada UMNO dan BN dalam pilihanraya 9 Mei lalu sehingga hilang kuasa, masihkah beliau mahu menafikan ia bukan suatu bala?
Tanggapan Najib bahawa UMNO yang kalah pilihanraya dan hilang kuasa serta bergelut untuk bangkit semula sedang menghadapi ujian Tuhan barangkali boleh diterima jika semua kecurangan dan kekayaan luar biasa itu tidak pernah dilakukannya.
Atau tafsiran Najib itu lebih memperlihatkan beliau masih belum insaf atas segala salah laku dan kecurangannya selama ini?  (ShahbudinHusin 14/06/2018).

153 responses to “NAJIB SALAH, APA YANG BERLAKU KEPADA UMNO KINI ADALAH BALA TUHAN, BUKANNYA UJIAN”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *