Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

JAMINAN YANG MELEGAKAN…..

Hari ini adalah hari pertama Peguam Negara yang baru, Tommy Thomas memulakan tugas dan memasuki pejabatnya.

Di sebalik kontroversi perlantikannya yang sudah pun reda ketika ini, ikrar beliau untuk menjadikan pengurusan prosiding jenayah terhadap dakwaan salah laku jenayah dalam skandal 1MDB sebagai keutamaannya, sudah tentu menambah kelegaan buat kita semua.

“Semua sama di sisi undang-undang dan tidak ada sesiapa akan terlepas.

“Tidak akan ada cubaan menutup kes,” tambahnya lagi.

Jaminan dan ikrar Tommy itu selaras dengan mandat yang rakyat berikan kepada Pakatan Harapan untuk mentadbir negara melalui keputusan pilihanraya pada 9 Mei lalu.

Pilihan rakyat memberi undi kepada Pakatan Harapan antaranya adalah kerana mereka sudah hilang keyakinan kepada BN dalam mengendalikan skandal 1MDB dan mahukan kerajaan baru ini menguruskannya dengan penuh tanggungjawab.

Dalam hal ini, Tommy nampaknya faham tentang kehendak rakyat itu dan ikrar beliau untuk mendakwa mereka yang terlibat dalam skandal 1MDB sebagai keutamaan, sambil memberi jaminan tiada sesiapa akan terlepas daripadanya, ia adalah ibarat suluhan cahaya yang akan menerangi pentadbiran kerajaan pimpinan Tun Mahathir Mohamad ini dalam fas-fasa seterusnya.

Ikrar itu juga menggambarkan Perdana Menteri amat yakin dengan kemampuan serta kebolehan Tommy dan sebab itulah beliau dipilih untuk memikul tugas dan tanggungjawab sebagai Peguam Negara yang baru ini.

Mengimbas kembali skandal 1MDB, ia bukan saja berkaitan banyaknya jumlah wang yang disonglap, tetapi juga tentang sekian ramai yang terlibat dan percubaan menutup serta membersihkan mereka yang bersalah secara terang-terangan tanpa ada perasaan mahu kepada kuasa rakyat yang sedang memerhati.

Dengan mandat rakyat menolak BN dan memberi kuasa kepada Pakatan Harapan, kerajaan baru ini tidak boleh sama sekali mengabaikan kehendak rakyat itu.

Rakyat memberi undi kerana mereka mahu semua yang terlibat dalam skandal 1MDB, kecil atau besar, makan duit berjuta atau berbilion, bersubahat, cuba menutup, melindungi atau bersama-sama dalam semua kecurangan lain berkaitan dengannya, hendaklah didakwa dan dihukum dengan sewajarnya.

Mengabaikan keinginan rakyat itu bermakna memberi risiko kepada kelangsungan kerajaan Pakatan Harapan dalam pilihanraya yang seterusnya.

Bersama jaminan dan ikrar Tommy ini, rakyat kini semakin tidak sabar menanti episod atau perkembangan seterusnya selepas ini. (ShahbudinHusin 07/06/2018)

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

99 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
99
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x