Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

HENTIKAN POLITIK DENDAM, MAHFUZ TEGUR PAS KELANTAN

1. Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Nazran Muhamad menafikan beliau berkata arahan untuk menghalang Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Husam Musa dan Pengerusi Amanah Negeri, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah daripada memasuki istana dan premis kerajaan negeri datang dari pihak istana. Sebaliknya, beliau menjelaskan arahan itu diterima daripada ‘pihak atasan’.
2. Beliau tidak pula menjelaskan siapa ‘pihak atasan’ terbabit. Sepatutnya beliau berterus terang agar rakyat jelas siapa yang memberikan arahan. Jika ia datang daripada istana, maka istana Kelantan berhak berbuat demikian terhadap mana-mana individu memasuki kawasan Istana. 
Namun kedua-kedua tokoh ini tidak wajar dihalang untuk memasuki mana-mana premis kerajaan atas apa juga urusan kerana premis kerajaan seperti wisma Darulnaim adalah tempat rakyat berurusan dengan kerajaan.
3. YAB Menteri Besar Kelantan sebagai ketua kerajaan boleh menasihati Duli Yang Maha Mulia Pemangku Sultan Kelantan agar bersikap terbuka terhadap kedua-dua tokoh ini kerana mereka bukan ancaman terhadap kerajaan negeri. 
Sebagai sebuah negeri di dalam sebuah negara demokrasi, hak dan kebebasan rakyat mesti dipertahankan selagi tidak melanggar peraturan atau perlembagaan negara.
4. Sebaliknya, jika arahan itu datang dari pentadbiran kerajaan Kelantan, adalah malang jika sikap sebuah kerajaan negeri yang mahu menegakkan syariah Islam tetapi mengambil pendekatan yang sangat berbeza terhadap kedua pemimpin ini. 
Hanya kerana kelantangan mereka, mereka dinafikan hak untuk bersuara dan masuk ke pejabat kerajaan seumpama pesalah besar. Kedua mereka hanya melaksanakan kaedah menasihat kerajaan agar kerajaan Kelantan berjalan di atas landasan yang lurus. 
Bukankah nasihat dan peringatan itu dituntut dalam Islam sebagai hadis Nabi Muhammad SAW bahawa “Agama Itu adalah Nasihat?”
5. Adalah diharapkan, kerajaan negeri Kelantan bersikap telus dan terbuka dalam pentadbirannya. Husam Musa dan Wan Abdul Rahim Wan Abdullah adalah tokoh pembangkang di Kelantan dari parti yang memerentah negara. 
Tindakan menghalang mereka seperti kerajaan Kelantan memulakan permusuhan dengan kerajaan pusat dan menolak sistem demokrasi. Sebagai rakyat yang sayangkan negerinya, mereka bertindak sebagai penyemak dan pengimbang (check and balance) dengan kritikan agar kerajaan negeri berjalan di atas landasannya. 
Kritikan mereka membina agar rakyat terbela dengan kerajaan menjauhi  amalan rasuah, korupsi, salah guna kuasa dan penyelewengan. 
6. Kerajaan Kelantan juga dinasihat agar tidak mengulangi kesilapan dan keangkuhan pentadbiran UMNO-BN di bawah rejim Datuk Seri Najib Tun Razak. Sikap tidak mahu mendengar pandangan dan nasihat, serta mengambil tindakan keras terhadap musuh politik termasuk tekanan, sekatan, halangan daripada bersuara dan lain-lain adalam sinonim dengan gaya UMNO-BN di era pemerintahannya. 
Mana-mana musuh politik yang kuat mengkritik, dan mendedahkan skandal penyelewengan cepat mereka ambil tindakan melalui kuasa yang ada. Akhirnya rakyat sendiri yang menghukum mereka melalui PRU ke 14.  
7. Sudah nampak bunga-bunga pemerintahan ala UMNO-BN di kerajaan Kelantan. Ust Nik Omar Nik Abdul Aziz telah dihalang daripada menyampaikan ceramah dan kuliah di masjid di kampungnya sendiri oleh pemimpin Pas walaupun berlindung atas nama masaalah dalaman keluarga. 
Kini Husam Musa dan Wan Abdul Rahim pula menjadi mangsa. Selepas ini siapa pula yang mengikuti jejak mereka, diharamkan daripada menjejakkan kaki di mana-mana premis tertentu di tanah tumpah mereka sendiri.
8. Pasca PRU ke 14, diharapkan kerajaan Kelantan berhenti daripada berpolitik demi kemakmuran dan kemajuan rakyat negeri Kelantan. Tidak ada gunanya politik dendam dan kebencian disemai dalam diri meskipun mereka berlainan parti politik dan pandangan. 
Sekarang masanya kita bekerja dengan mengajak seluruh lapisan rakyat bersama-sama tidak kira pegangan politik demi kebaikan negeri dan negara tercinta.
DATO’ HJ MAHFUZ OMAR
Naib Presiden AMANAH
Ahli Parlimen Pokok Sena
1 Jun 2018/16 Ramadzan 1439H.
0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

57 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
57
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x