Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

SELAIN BANYAK SALAH NAJIB, SEMUA AHLI MT UMNO PUN BERSALAH SAMA

Setelah BN kalah dan kehilangan kuasa, macam-macam “pahat” mula berbunyi  di sana sini kebelakangan ini.

Bermula dengan Khairy Jamaluddin yang menyatakan rasa kesalnya kerana tidak memberitahu hakikat sebenar tentang sokongan yang makin merosot diterima BN, di samping turut menyalahkan skandal 1MDB, kini seorang lagi ahli MT UMNO, Nur Jazlan Mohamed turut melontarkan nada suara yang  hampir sama bunyinya.

Jika KJ mengimbas kemerosotan sokongan BN bermula dengan pemecatan Muhyiddin Yassin dan Shafie Apdal, Nur Jazlan selain menyalahkan Najib Razak sebagai punca utama kekalahan BN, beliau juga menyatakan adalah mustahil bekas Perdana Menteri itu tidak sedar bahawa BN berada di ambang kekalahan susulan pelbagai isu berkaitan dirinya yang diperkatakan ramai sejak sekian lama.

“Jangan beritahu saya dia tak baca media sosial mengenai isu berhubung diri dan keluarganya. Mustahil,” kata Nur Jazlan.

Hmmmm…esok lusa entah siapa-siapa lagi pemimpin UMNO yang selama ini selalu membodek dan mencium tangan Najib akan turut memilih untuk menyalahkan anak Tun Razak itu.

Memang Najib banyak salah dalam hal ini. Sebagaimana disebut sebelum ini bahawa kira-kira 80 peratus punca kekalahan BN adalah bersabit dengan Najib dan keluarganya, namun pemimpin UMNO terutamanya ahli MT juga harus bertanggungjawab sama.

Mereka juga turut menyumbang dan ada saham kepada kekalahan BN ini. Jangan cuba-cuba lari daripada tanggungjawab yang ada.

KJ misalnya, di sebalik menyatakan kesal tidak memberitahu kebenaran kepada Najib mengenai kemerosotan sokongan BN, beliau melalui Pemuda UMNO malah mengusulkan agar Najib dan Zahid Hamidi tidak dilawan oleh sesiapa dalam pemilihan UMNO tahun 2018 ini.

Tetapi, setelah BN kehilangan kuasa, KJ tanpa rasa malu menyatakan budaya tiada pertandingan bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO adalah punca kekalahan dan parti itu ditolak rakyat.

Apakah jenis pemimpin seperti ini?

Tidak cukup dengan itu, di sebalik sekarang ini beliau menyalahkan Najib atas segala-galanya, KJ bersama barisan Exco Pemuda pada PAU2017 juga, dengan tujuan mengampu dan membodek, telah memberikan suatu tabik berjemaah kepada bekas Perdana Menteri itu sehingga membuatkan Najib ketawa keseronokan.

Tidakkah semua sikap itu menyumbang sama kepada kekalahan BN?

Begitu juga dengan Nur Jazlan, tidak guna beliau menyalahkan Najib sekarang kerana sepatutnya beliau sejak dulu lagi tidak menerima tawaran jawatan timbalan menteri yang diberikan kepadanya.

Bukankah jika Nur Jazlan kekal sebagai Pengerusi PAC dan menolak jawatan timbalan menteri serta mengambil tindakan yang sewajarnya berkaitan 1MDB, malah mengekalkan sikap sebagaimana yang ditunjukkannya ketika itu, beliau dapat memberitahu Najib mengenai kesalahannya, selain menyedarkan lagi tentang arus penolakan rakyat terhadap BN?

Dalam hal ini, dengan baru sekarang beliau mahu menyalahkan Najib, sebenarnya adalah lebih baik Nur Jazlan “hantuk”  saja kepalanya ke dinding terlebih dahulu.

Dalam pada itu, sebelum ramai lagi ahli MT yang tampil bersuara mengenai kekalahan BN dalam pilihanraya yang lalu dan seolah-olah ingin menjadi hero, mereka seharusnya sedar kesalahan masing-masing juga.

Tidak usaha menonjol-nonjolkan diri dengan tujuan untuk merebut jawatan yang lebih tinggi dalam pemilihan UMNO yang bakal menjelma nanti, sebaliknya semua ahli MT yang ada sekarang sepatutnya mengundurkan dan tidak lagi menawarkan untuk memegang apa-apa jawatan dalam parti.

Khidmat mereka seharusnya berakhir bersama dengan Najib yang telah ditolak rakyat. (ShahbudinHusin 21/05/2018)

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

143 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
143
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x