Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

DUA PERTUDUHAN BAKAL MENANTI, SELASA INI AKAN MENJADI SELASA YANG MALANG BUAT NAJIB

Walaupun kita sedia maklum bahawa siasatan pihak polis terhadap Najib Razak adalah berkaitan skandal 1MDB, tetapi penemuan sejumlah wang tunai yang agak banyak, barang kemas dan ratusan beg tangan mewah, tentu saja mengejutkan umat Islam yang baru tiga hari menjalani ibadah puasa.
Kekalahan BN dan hilangnya jawatan Perdana Menteri akhirnya memungkinkan semua ini menjadi tatapan kita semua. Jika tidak, hari ini kita akan terus disajikan dengan keangkuhan, keegoaan, kepura-puraan dan gaya ucapan Najib yang memual serta menjengkelkan, terutama dalam menyindir dan mempersenda Tun Mahathir Mohamad.

Di sebuah kondo mewah di ibu negara, sejumlah 72 beg yang mengandungi sejumlah wang tunai dan barangan berharga telah diangkut oleh polis malam semalam.

Itu baru penemuan di sebuah kondo dan menurut apa yang disebut oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Amar Singh Ishar Singh, keseluruhan tempat yang disasarkan untuk pemeriksaan adalah enam kediaman.

Sebuah peti besi lama yang kononnya sudah hilang kuncinya dan tidak pernah diusik sejak 20 tahun lalu, sudah pun berjaya dibuka melalui kepakaran tukang kunci dan di dalamnya ditemui lagi sejumlah wang serta beberapa dokumen peribadi.

Difahamkan, di Seri Perdana yang pernah didiami Najib dan Rosmah ketika menjadi Perdana Menteri, terdapat 8 peti besi ditemui serta belum diketahui apa isinya.

Menurut sebuah akhbar berbahasa Cina, penemuan di kondo di ibukota malam semalam itu saja adalah melibatkan wang tunai lebih RM100 juta serta emas seberat 100 kilogram. 

Bagaimanapun dakwaan itu enggan disahkan lagi oleh pihak polis dengan menyifatkannya sebagai pramatang dan terlalu awal untuk berbuat demikian.

Jika setelah selesai semua serbuan dan penggeledahan ke atas keenam-enam premis sebagaimana yang disebut polis sebelum ini, berapakah agaknya jumlah wang tunai, barang kemas dan beg tangan mewah yang akan ditemui?
Dalam hal ini, barangkali ada benarnya seperti yang diungkapkan oleh Anwar Ibrahim, nilai rampasan  harta yang dikaitkan dengan Najib mungkin mengatasi aset Marcos, bekas diktator Filipina yang digulingkan pada 1986 dahulu.

Sementara penyiasatan berkaitan semua yang ditemui itu mahu disahkan kaitannya dengan skandal 1MDB, penemuan wang tunai yang banyak itu tentu saja bakal “menjerut leher”  Najib di bawah kesalahan akta penggubahan wang haram.

Untuk apa beliau menyimpan sejumlah tunai yang banyak di kediamannya?

Daripada mana dan untuk apakah wang tersebut dikumpulkan?

Bolehkah Najib menjelaskan daripada mana beliau memperolehi semua wang tersebut?

Dengan itu, untuk waktu yang singkat ini, Najib sebenarnya sudah pun boleh didakwa di bawah kesalahan akta penggubahan wang haram.

Serentak dengan itu, hari Selasa ini juga Najib telah diarahkan untuk hadir ke pejabat SPRM untuk diambil keterangannya berhubung siasatan terhadap SRC International, anak syarikat 1MDB.

Hari Selasa yang sepatutnya Najib mengambil tindakan saman terhadap WSJ nampaknya akan bertukar menjadi Selasa yang malang buatnya.

Dalam kes SRC International, Najib mengakui ada menerima wang RM42 juta selepas syarikat itu memperolehi pinjaman RM4 bilion daripada KWAP, tetapi mengatakan beliau tidak mengetahui ia berpunca daripada SRC kerana menyangka semua wang yang diiterimanya melalui akaun peribadi Ambank adalah datangnya daripada derma kerabat Diraja Arab Saudi.

Tidak mustahil, selepas keterangannya diambil Selasa ini, Najib akan terus ditahan reman selama beberapa hari sebagaimana hal yang sama pernah berlaku kepada Isa Samad dan Shafie Apdal sebelum ini.

Maka itu, untuk waktu terdekat ini, Najib paling mungkin akan berdepan dua pertuduhan iaitu berkaitan penggubahan wang haram dan penglibatan dalam rasuah.

Selepas itu, jika penyiasatan berhubung skandal 1MDB menunjukkan kemajuan yang memberangsangkan dan diselaraskan dengan bukti serta tindakan yang telah diambil di Singapura dan Switzerland terutamanya, lebih banyak pertuduhan lagi pasti akan menyusul terhadap Najib. (ShahbudinHusin 19/05/2018)

59 responses to “DUA PERTUDUHAN BAKAL MENANTI, SELASA INI AKAN MENJADI SELASA YANG MALANG BUAT NAJIB”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *