Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

JANGAN LEMAHKAN SEMANGAT PASUKAN POLIS…..

Di ketika semua pemimpin UMNO hanya mendiamkan diri, malah mungkin menyembunyikan diri, beberapa pemimpin Pakatan Harapan mula bersuara berhubung tindakan pihak polis melakukan penggeledahan selama  lebih 18 jam sejak malam semalam di kediaman Najib Razak, di Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Shah Alam dan Ahli Parlimen Subang, Wong Chen adalah antara pemimpin Pakatan Harapan yang sudah bersuara menyatakan rasa tidak senang mereka dengan tindakan pihak polis itu.

Mereka mempertikakan tindakan menggeledah kediaman Najib yang bermula jam 10 malam sehingga 4 pagi semalam dan bersambung lagi hari ini serta mahukan konsep keadilan dan hikmah turut diambil kira.
Kata mereka juga, kedudukan Najib sebagai Perdana Menteri haruslah juga diambil kira.

Ia lebih mengundang simpati berikutan tersebar pula gambar Najib yang sedang terlentok di atas sofa di ketika pihak polis sedang melakukan penggeledahan itu.

Bagaimanapun, dalam waktu yang sama, masih belum kedengaran ada mana-mana pemimpin UMNO atau Ahli MT UMNO yang bersuara membela atau menyatakan rasa simpati kepada Najib atas siasatan pihak polis itu.

Annuar Musa, Salleh Said Keruak, Rahman Dahlan dan lain-lain pemimpin UMNO yang selama ini paling kuat bersuara apabila saja ada isu berkaitan Najib menjadi bahan perbualan masyarakat, kali ini nampaknya lebih memilih untuk berdiam diri dan tidak lagi membela bekas Perdana Menteri itu.
Malah Zahid Hamidi yang memangku jawatan Presiden UMNO, sepupu Najib, Hishammuddin Hussein, Khairy Jamaluddin dan Shahrizat Jalil juga tidak kedengaran lagi suara mereka.

Apakah salah pihak polis dalam tindakannya terhadap Najib itu?

Sebenarnya, tidak ada apa-apa yang salah dalam tindakan pihak polis itu jika kita dapat memahami rasionalnya, selain tidak melupai hakikat bahawa besarnya skandal 1MDB itu sendiri.

Sebagaimana yang dijanjikan oleh Pakatan Harapan untuk menyiasat skandal 1MDB apabila diberikan kuasa, apa yang berlaku kepada Najib sekarang hanyalah semata-mata untuk menunaikan janji tersebut.

Serbuan pihak polis untuk menggeledah kediaman Najib pada pukul 10 malam adalah dikira munasabah kerana ketika itu Najib sedang berada di rumah setelah kembali daripada menunaikan solat terawih pada malam pertama ketibaan Ramadan.

Tempoh masa yang lama yang terpaksa diambil untuk menggeledah adalah kerana kediaman Najib itu sendiri dikira besar dan banyak barang yang hendak diperiksa oleh pihak polis.

Maka itu, tempoh masa sehingga jam 4 pagi yang bermula dari jam 10 malam dan bersambung lagi hari ini untuk membuat pemeriksaan dan penggeledahan hanyalah untuk memastikan semua kerja-kerja polis itu berjalan dengan sempurna.

Tidak wajar dipertikaikan kerja polis yang membuat pemeriksaan pada waktu malam atau pagi kerana jika ada pemimpin Pakatan Harapan yang pernah didatangi polis pada jam 2.30 pagi sebelum ini atau ketika Najib menjadi Perdana Menteri, maknanya polis adalah profesional dan adil dalam tindakannya kepada sesiapa saja dalam sepanjang masa.

Kedudukan Najib sebagai bekas Perdana Menteri tidak memberinya hak untuk sebarang keistimewaan kerana Tun Mahathir sebagai bekas Perdana Menteri juga pernah disiasat dan didatangi oleh pihak polis beberapa kali sebelum ini.

Cumanya, oleh kerana Tun Mahathir tidak terkait dengan dakwaan berupa penyelewengan, penipuan, penyonglapan wang negara atau penggubahan wang haram, tiadalah serbuan ke kediaman atau bilik tidurnya dilakukan oleh pihak polis pada waktu tengah malam atau awal pagi.

Yang penting, tindakan pihak polis terhadap Najib itu adalah peraturan biasa dalam mereka menjalankan siasatan dan mencari bukti. Jika kita selama ini banyak meluahkan perasaan yang tidak henti-henti mengenai skandal 1MDB dan mahukan ia disiasat, undi kita kepada kemenangan Pakatan Harapan tentulah dengan tujuan mahukan perkara itu dilaksanakan dengan sempurna dan jayanya.

Sekarang Pakatan Harapan sudah menang dan siasatan atau apa juga tindakan pihak polis untuk menyiasat skandal 1MDB, selagi ia dalam batasan undang-undang, hendaklah disokong sepenuhnya.

Janganlah dalam keadaan ini, kita pula menjadi suara yang melemahkan semangat pihak polis dalam kerja-kerja mereka. 
Dalam cuba menzahirkan simpati, jangan kita lupa berapa banyak wang negara yang telah hilang, siapa yang memiliki ribuan juta dalam akaun peribadi, siapa yang berjoli sakan dengan berbelanja dan membeli harta di seluruh dunia serta  siapa yang penuh di tubuhnya dengan intan berlian bernilai ratusan juta daripada wang  yang dipercayai berasal daripada 1MDB. (ShahbudinHusin 17/05/2018)

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

66 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
66
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x