Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

TANDA KEIKHLASAN HATI TUN MAHATHIR KEPADA ANWAR

Sebagaimana yang sudah diketahui umum, Lembaga Pengampunan Diraja sah akan bermesyuarat Rabu ini untuk tujuan khusus membebaskan Anwar Ibrahim yang kini sedang dipenjarakan.

Bermesyuaratnya lembaga tersebut adalah susulan kenyataan Tun Mahathir Mohamad selepas majlis angkat sumpah jawatan Perdana Menteri Khamis lalu bahawa Yang Dipertuan Agong bersedia untuk membebaskan Ketua Umum PKR itu dengan lebih awal.

Mengikut jadual, Anwar sepatutnya dibebaskan pada 8 Jun depan.

Kesediaan Lembaga Pengampunan Diraja mengadakan mesyuaratnya sehari sebelum Ramadan ini bukan saja merupakan perkembangan menggembirakan buat Anwar dan keluarganya, tetapi juga bagi seluruh pendokong serta pencinta perubahan.

Ini kerana setelah beberapa tahun berada di penjara, beliau tahun ini akan dapat menyambut puasa dan seterusnya Hari Raya bersama keluarga dan isterinya, Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang kini berjawatan Timbalan Perdana Menteri serta Pakatan Harapan yang sudah pun menjadi kerajaan baru di Putrajaya.

Tetapi, pantasnya Tun Mahathir membuka mulut mengenai pembebasan Anwar dengan Yang Dipertuan Agong ketika  jamuan ringan selepas majlis mengangkat sumpah jawatan Khamis lalu dan kemudian disusuli dengan Lembaga Pengampuan Diraja bermesyuarat esok, ia tidak lain adalah memperlihatkan keikhlasan hati Perdana Menteri terhadap Anwar.

Ini bermakna langkah pembebasan Anwar dilakukan sebelum pun menteri-menteri Pakatan Harapan mengangkat sumpah jawatan masing-masing serta mesyuarat kabinet yang pertama juga belum diadakan lagi.

Di ketika hanya beliau seorang diri saja mentadbir kerajaan baru sekarang ini dengan beberapa tindakan pentadbiran diambil terhadap mereka yang ada kaitan atau cuba melindungi skandal 1MDB, keutamaan Tun Mahathir tetap untuk menyegerakan pembebasan Anwar – dahulu rakan, kemudian musuh dan kini kembali menjadi kawan sejatinya.

Allahu Akbar…

Setelah berehat untuk beberapa ketika, Anwar selepas ini tiada halangan lagi untuk kembali aktif dalam politik dan bersama-sama membantu Tun Mahathir memulihkan negara ini.

Gandingan semula Tun Mahathir dan Anwar kini adalah harapan menjadi kenyataan bagi seluruh rakyat Malaysia.

Setelah proses pemulihan dilakukan dan tindakan-tindakan tertentu diambil terhadap mereka yang terkait skandal dan merosakkan negara, hakikatnya tiada masalah lagi untuk Tun Mahathir menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar. 

Yang penting, bersama-samalah terlebih dahulu membina negara ini dan berilah peluang secukupnya kepada Tun Mahathir menjalankan tugasnya demi negara tercinta ini. (ShahbudinHusin 15/05/2018)

79 responses to “TANDA KEIKHLASAN HATI TUN MAHATHIR KEPADA ANWAR”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *