Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

LAGI DUA HARI SEBELUM 9 MEI, JANGAN BERHENTI MENGGERAKKAN TSUNAMI

Hari ini sudah hari Isnin dan hanya dua hari saja lagi sebelum tibanya detik pengundian 9 Mei yang ditunggu-tunggu oleh pencinta perubahan.

Secara tersurat, mahupun tersirat, perubahan kerajaan daripada BN kepada Pakatan Harapan tidak diragui semakin nyata dan barangkali terlalu sukar untuk dielakkan lagi.

Keinginan rakyat kepada perubahan sudah mencapai kemuncaknya sekarang ini. Bukan saja program-program anjuran Pakatan Harapan semakin hari semakin mendapat limpahan kehadiran yang tidak pernah terfikirkan sebelum ini, bahkan perbualan rakyat di mana-mana juga memperlihatkan situasi yang sama.

Semua ini tidak lain menandakan keinginan rakyat kepada perubahan dan majoritinya tidak sabar lagi mahu menolak UMNO serta BN ke kotak simpanan sejarah.

Melihat semua perkembangan yang sedang berlaku,  UMNO bukan tidak sedar mengenainya. Najib Razak sendiri tahu tempoh hayatnya sebagai Perdana Menteri kian menemui detik penamatnya.

Teori RAHMAN ternampak ada kebenarannya. Oleh kerana ia sudah lengkap dengan Najib mengakhiri huruf N itu, bermakna berakhirnya hayat UMNO juga adalah paling mungkin ditangan Najib yang merupakan Perdana Menteri paling banyak terpalit dengan skandal dan kekotoran dalam pentadbiran negara.

Cuma, UMNO masih cuba menafikan kebangkitan rakyat yang sedang berlaku itu semata-mata untuk meredakan keresahan dalam hati mereka.

Sementara Najib mengatakan kehadiran yang ramai dalam program ceramah Pakatan Harapan kerana mereka diangkut dengan bas, terdapat juga pemimpin lain mengatakan kehadiran yang ramai itu tidaklah menjanjikan undi serta ada juga yang mengatakan gambar-gambar yang tersebar yang memperlihat kebanjiran hadirin itu kononnya merupakan gambar yang sudah diedit.

Sungguh kelakar semua hujah itu, terutama kata-kata Najib yang mengatakan kehadiran puluhan ribu itu diangkut dengan bas.

Bagi yang biasa hadir di mana saja program ceramah Pakatan Harapan, mereka tentu sedar bahawa tiada sebiji pun bas terdapat di sekitar program itu diadakan. Semua yang datang adalah dengan keikhlasan untuk menukar kerajaan.

Sebaliknya, bukan saja dalam pengetahuan umum sejak dulu, malah malaikait pun tahu bahawa menggunakan bas, membayar elaun, memberi duit makan dan baju T adalah budaya UMNO yang sudah menjadi amalan sejak sekian lama dahulu.

Pakatan Harapan tiada wang sebanyak UMNO kerana mereka tiada projek, tiada 1MDB dan tiada sokongan negara China untuk semua itu. Mereka hanya ada semangat dan keazaman untuk memulih dan menyelamatkan negara.

Semangat itulah yang kini semakin meresap dalam hati dan sanubari rakyat. Rakyat kini percaya hanya perubahan kerajaan dapat memberi kebaikan kepada masa depan mereka, manakala kekalnya lagi UMNO dan BN hanyalah suatu lanjutan keistimewaan tanpa batasan buat Najib dan Jho Low semata-mata.

Meskipun kebangkitan rakyat dan kemungkinan tsunami berlaku tidak lagi dapat dielakkan, tetapi dua hari terakhir sebelum detik pengundian pada 9 Mei ini adalah detik penting dan kritikal yang harus diberi tumpuan sepenuhnya oleh semua orang.

Semua kita ada peranan masing-masing untuk memastikan tsunami itu bukan saja pasti berlaku, bahkan kalau boleh biarlah gelombang serta gegarannya benar-benar kuat sehingga tidak mampu dipertahankan lagi dengan kuasa wang yang ada pada Najib, UMNO dan BN.

Siapa pun kita, sementara pimpinan di atas terus dengan peranan mereka meneruskan rangsangan dan mengajak kebangkitan rakyat, setiap kita juga perlu memainkan peranan masing-masing ke arah itu. 

Jika kita ada saudara-mara, jiran tetangga, kawan-kawan, grup Whatsapp,  persatuan atau apa saja, inilah masanya kita perlu menyebarkan fakta-fakta kebenaran kepada mereka itu. Blogger pula pastilah lebih banyak memerah otak dan bersengkang mata untuk menghidangkan tulisan-tulisan yang berfakta.
Jangan kita mudah berpuas hati dan berhenti daripada terus berusaha, meskipun kebangkitan rakyat boleh dikata sudah ditahap menggembirakan. Terus dan terus kita sama-sama berusaha.

Jika setiap kita dapat memainkan peranan itu mulai sekarang, tidak dapat tidak, selain tsunami tentu akan berlaku, malah kelahiran Malaysia baru pada 10 Mei nanti pasti akan menjadi hadiah terindah buat kita semua.  (ShahbudinHusin 07/05/2018).

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

194 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
194
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x