Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

TUN DAIM YAKIN PAKATAN HARAPAN BERJAYA AMBIL ALIH KERAJAAN

Selepas muncul dalam satu program kempen di Langkawi minggu lalu, bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin membuat kemunculan kedua di tengah-tengah bahang pergelutan PRU 14 yang makin membara panasnya.  

Kali ini beliau membuat kejutan dengan muncul dalam program kempen yang dihadiri oleh Menteri Besar Selangor, Azmin Ali di Pelabuhan Kelang.

Tun Daim dikatakan hadir lebih awal di kawasan Kampung Teluk Gong malam semalam dan kemudian turut serta dalam majlis ceramah yang dihadiri oleh Azmin itu.

Apakah signifikannya kehadiran Tun Daim dalam program Azmin itu?

Kehadiran Tun Daim membantu Tun Mahathir Mohamad di Langkawi barangkali tidaklah mengejutkan kerana mereka berdua mempunyai hubungan yang rapat sejak sekian lama.

Dalam konteks pilihanraya kali ini, meskipun Tun Daim tidak diketahui dengan jelas sama ada sudah menjadi ahli Bersatu atau sebaliknya, namun kehadirannya di Langkawi itu tentulah tidak lain untuk membantu dan memastikan kemenangan Tun Mahathir pada pilihanraya 9 Mei nanti.

Sama ada menjadi ahli Bersatu atau tidak, Tun Daim nampaknya tetap ada rasa tanggungjawab untuk melihat kejayaan Tun Mahathir di Langkawi yang mana dengan kemenangan itu akan memberi laluan untuk beliau menjadi Perdana Menteri buat kali kedua selepas ini.

Berkaitan hal ini, kehadiran Tun Daim bersama Azmin juga tentunya dengan maksud serta tujuan yang sama iaitu mahu melihat Menteri Besar itu kekal lagi mengetuai pentadbiran negeri Selangor.

Sudah tentu dengan kehadiran Tun Daim bersama dalam program kempen Azmin itu mampu menambahkan lagi keyakinan rakyat terhadap perlunya kerajaan Pakatan Harapan dikekalkan di Selangor ini.

Harus diakui Tun Daim adalah tokoh berpengaruh di kalangan rakyat dan komuniti perniagaan serta juga dipercayai mempunyai rangkaian politiknya yang tersendiri di seluruh negara.

Sebelum pilihanraya 2008, Tun Daim pernah meramalkan beberapa negeri seperti Perak dan Selangor bakal jatuh kepada pembangkang, namun seperti biasa kepimpinan negara ketika itu tidak mengambil berat ramalan tersebut, tetapi hanya setelah jangkaan itu ternyata benar, barulah pandangan beliau lebih dihormati.

Pada pilihanraya 2013, ketika Tengku Adnan Tengku Mansor diasak kuat di Putrajaya oleh calon Pas ketika itu, Husam Musa, Tun Daim adalah antara penyelamat kepada kedudukan Menteri Wilayah Persekutuan itu dengan beberapa kali turun berkempen bersama Tun Mahathir.

Maka, dengan kali ini Tun Daim turun membantu Azmin di Selangor, ia juga adalah gambaran bahawa kerajaan Pakatan Harapan di negeri itu tidak mudah untuk digugat oleh UMNO dan BN.

Tun Daim dipercayai bukan saja turun untuk menonjolkan dirinya bersama Azmin, tetapi juga pastinya akan menggunakan segala rangkaiannya yang ada untuk memastikan kemenangan Pakatan Harapan di negeri tersebut.

Berhubung pilihanraya kali ini, seorang bekas Ahli Parlimen turut menceritakan tentang pertemuannya dengan Tun Daim kira-kira seminggu sebelum hari penamaan calon yang lalu.

Kata bekas Ahli Parlimen tersebut, dalam perbualannya itu, Tun Daim tidak saja menaruh keyakinan Tun Mahathir mampu menang di Langkawi, bahkan juga sangat yakin Pakatan Harapan dapat membentuk kerajaan di peringkat Pusat.

Kita menang….demikian kata Tun Daim tanpa ragu-ragu tentang peluang Pakatan Harapan pimpinan Tun Mahathir untuk menumbangkan BN apabila ditanya oleh bekas Ahli Parlimen itu.

Tun Daim juga, tambah bekas Ahli Parlimen tersebut, menjangkakan Perak dan Kedah akan jatuh ke tangan Pakatan Harapan dalam pilihanraya kali ini, selain Pahang dan Melaka dikatakannya berada dalam kedudukan 50-50.
Seterusnya, tanpa keraguan, kata bekas Ahli Parlimen itu lagi, Tun Daim penuh yakin Selangor serta Pulau Pinang akan terus berada dalam genggaman Pakatan Harapan.

Dengan kata-kata daripada Tun Daim itu, kita tentunya semakin tidak sabar menunggu tarikh 10 Mei di mana sebuah kerajaan baru bakal terbentuk di bumi bertuah Malaysia ini. (ShahbudinHusin 01/05/2018)

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

96 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
96
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x