Kerusi Parlimen Titiwangsa adalah salah satu kerusi yang berpotensi besar untuk dimenangi oleh Pakatan Harapan dalam pilihanraya akan datang ini.
Bukan saja kerana majoriti kemenangan Johari Ghani hanya 866 undi pada pilihanraya 2013 lalu, tetapi juga disebabkan banyak isu persekitaran yang tidak memihak kepada UMNO dan BN dalam pengundian kali ini.
Selain Johari yang akan mengekalkan kedudukannya buat kali kedua di Titiwangsa, calon yang akan bertanding menentangnya ialah daripada Bersatu yang mewakili Pakatan Harapan dan juga calon Pas.
Dengan komposisi pengundi Melayu 68 peratus dan bukan Melayu 32 peratus, pertandingan tiga penjuru di mana undi Melayu akan berpecah kepada tiga, manakala pengundi bukan Melayu lebih memihak kepada Pakatan Harapan, harapan calon Bersatu untuk menewaskan Johari pada hakikatnya adalah cerah sekali.
Ditambah dengan Johari mempunyai konflik dalaman dengan pihak tertentu dalam UMNO bahagiannya sendiri dan ada pula sesetengah kelompok pengundi yang tidak berpuas hati terhadapnya, isu lain yang akan menyumbangkan kepada kesukarannya mengekalkan jawatan ialah mengembangnya beban kenaikan sara hidup rakyat, perumahan dan rata-rata pengundi kawasan itu yang lebih celik dengan maklumat.
Di samping UMNO terlalu sarat dengan banyak masalah yang tidak selesai, khususnya yang melibatkan Najib, Johari dengan kedudukan sebagai Menteri Kewangan Kedua tidak mustahil akan terpalit sama dengan semua bebanan tersebut.
Sebab itu, kerusi Titiwangsa dilihat sangat berpotensi untuk dimenangi oleh Pakatan Harapan melalui calonnya daripada Bersatu untuk menewaskan Johari.
Bagaimanapun, jika perkhabaran ini tidak berubah dan Bersatu kekal mahu meletakkan Ketua Wanitanya, Rina Harun sebagai calon di situ, harapan untuk menang pasti akan lenyap begitu saja.
Rina bukanlah calon yang berpotensi untuk mengalahkan Johari dan menyumbang kemenangan kepada Pakatan Harapan, lebih-lebih lagi dengan kedudukan calon BN itu memegang jawatan sebagai menteri kabinet.
Bersatu harus memilih calon lain yang ada nama besar yang dikenali ramai di kalangan pengundi Titiwangsa jika benar ingin menewaskan Johari. Jika calon tersebut merupakan anak tempatan atau setidak-tidaknya anak jati Kuala Lumpur, ia adalah suatu bonus tambahan lagi.
Sebaliknya Rina yang sebelum ini aktif dalam UMNO Bahagian Sepang, mungkin tidak dikenali ramai di kawasan Titiwangsa, malah di mana kedai makanan yang sedap-sedap di kawasan Kampung Baru pun barangkali tidak diketahuinya atau pernah dikunjunginya.
Bukan saja ramai, mungkin juga tidak ada pengundi Titiwangsa yang mengenalinya dan dengan itu pencalonannya tidak saja akan memudahkan Johari mengekalkan kemenangannya, bahkan tidak mustahil majoriti beliau yang sebelum ini sekitar 800 undi akan meningkat kepada 8,000 undi.
Rina sebaiknya diletakkan untuk bertanding di Selangor saja atau diberikan jawatan senator apabila Pakatan Harapan berjaya membentuk kerajaan nanti.
Untuk kerusi Titiwangsa, Bersatu mesti berlapang dada dengan memilih calon lain yang lebih berwibawa dan dikenali ramai, tidak kira sama ada bekas pegawai tinggi kerajaan, bekas menteri atau di kalangan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu atau daripada barisan kepimpinan Bersatu Wilayah Persekutuan yang dirasakan sesuai dan layak untuk bertanding di situ.
Sebelum ini, Bersatu Wilayah Persekutuan dikhabarkan pernah mencadangkan agar Tun Mahathir bertanding di Titiwangsa dan telah pun mengemukakan cadangan itu kepadanya, namun Pengerusi Pakatan Harapan itu lebih memilih Langkawi berbanding Titiwangsa.
Memang disedari jika Tun Mahathir bertanding di Titiwangsa, harapan untuk beliau menang jauh lebih cerah lagi. Ini kerana berbanding Johari yang hanya Menteri Kewangan Kedua, pengundi tentunya jauh lebih teruja untuk memilih wakil rakyat yang akan menjadi Perdana Menteri akhirnya.
Tetapi berbanding kekal meletakkan Rina untuk bertanding dengan Johari dan seorang lagi calon Pas yang disedari ramai tidak mungkin menjadi apa-apa, kelebihan tidak diragui lagi akan memihak kepada UMNO dan BN untuk mengekalkan kerusi Titiwangsa itu.(ShahbudinHusin 15/04/2018)