Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

LETAK JAWATAN SAJA TIDAK MEMADAI, PUAD ZARKASHI WAJIB JADI CALON BEBAS LAWAN NAJIB DI PEKAN

Dr. Puad Zarkashi yang kecewa kerana namanya tidak dipilih sebagai calon BN bagi kerusi Parlimen Batu Pahat akhirnya mengambil keputusan meletakkan jawatan sebagai Ketua Pengarah JASA, berkuatkuasa semalam.

Sambil mendakwa sistem pemilihan calon dalam BN sudah rosak, Dr. Puad juga mengatakan tidak berbaloi lagi baginya untuk terus mempertahankan kerajaan melalui JASA.

Dengan itu, tambah beliau, meletakkan jawatan adalah langkah terbaik baginya.

Tetapi apa tindakan Dr. Puad seterusnya?

Apakah beliau masih mahu kekal dalam UMNO sebagai Ahli MT dan Ketua Bahagian Batu Pahat?

Apakah beliau masih mahu duduk dalam UMNO yang diketuai Najib Razak yang telah mengenepikan namanya sebagai calon BN?

Untuk makluman Dr. Puad, bukan saja sistem pemilihan calon dalam parti itu yang telah rosak, bahkan UMNO dan BN itu sendiri sebenarnya telah lama rosak.

Ia rosak kerana dipimpin oleh pemimpin yang rosak iaitu Najib. Titik.

Selagi Najib tidak disingkirkan dan UMNO serta BN tidak ditanggalkan kuasa pemerintahannya, selagi itulah ia akan terus rosak dan merosakkan negara ini.

Sebagai Ketua Pengarah JASA yang kerjanya mempertahankan kerajaan, memang ternampak tidak masuk akal apabila Dr. Puad yang dalam waktu sama merupakan Ahli Majlis Tertinggi dan Ketua Bahagian UMNO, tetapi tidak disenaraikan sebagai calon pilihnaraya.

Jika bukan untuk dipilih sebagai calon, untuk apa beliau dilantik sebagai Ketua Pengarah JASA sebelum ini?

Bukankah lebih baik sejak awal lagi diserahkan saja jawatan itu kepada mana-mana orang pencen lain yang tiada jawatan dalam parti serta tidak berminat lagi untuk menjadi calon?

Apabila diserahkan jawatan Ketua Pengarah JASA kepada Dr. Puad yang ada jawatan penting dalam parti, sudah tentu beliau ada keinginan dan keghairahan untuk dipilih sebagai calon dalam pilihanraya.

Atau sepatutnya diberitahu awal-awal lagi kepada Dr. Puad ketika menerima tawaran sebagai Ketua Pengarah JASA dahulu bahawa jawatan itu semata-mata untuk mempertahankan kerajaan dan tiada ruang sama sekali untuk dipilih sebagai calon dalam pilihanraya.

Gambaran umum sekarang ialah jika ketua sebuah agensi yang mempertahankan kerajaan pun tidak layak dipertimbangkan sebagai calon, bagaimanakah JASA itu sendiri mahu dipercayai dan diyakini oleh rakyat?

Lebih daripada itu, sementara Dr. Puad tidak terpilih dan namanya digantikan dengan Ketua Wanita UMNO Batu Pahat, Haliza Abdullah yang didakwa ada kontroversi tertentu, banyak calon lain yang dipilih di seluruh negara juga jelas memperlihatkan bahawa UMNO dan BN memang sudah rosak.

Antaranya ialah tiga bekas menteri yang pernah digugurkan dan merajuk hati sebagaimana ditulis dalam artikel sebelum ini iaitu Zulhasnan Rafique, Hasan Malek dan Husni Hanadzlah,  namun mereka dipilih semula sebagai calon.

Ahmad Said, bekas Menteri Besar Terengganu yang ada rekod mengusulkan undi tidak percaya terhadap Menteri Besar, Ahmad Razif Abdul Rahman, juga dicalonkan semula untuk bertanding di DUN Kijal.

Tidakkah semua ini menandakan, bukan saja sistem pemilihan, tetapi UMNO dan BN itu sendiri sudah rosak?

Untuk itu, Dr. Puad tiada pilihan lain lagi sekarang ini melainkan perlu meletakkan semua jawatannya dalam UMNO dan meninggalkan terus parti yang sudah rosak itu.

Dr. Puad wajib melangkah lagi dengan lebih berani dengan turut menyertai pilihanraya 9 Mei depan sebagai calon Bebas menentang Najib sendiri di Parlimen Pekan.

Meskipun tidak mungkin menang di Pekan, malah jika bertanding sebagai calon Bebas di Parlimen Batu Pahat atau DUN Senggarang juga mustahil untuk menang, tetapi dengan keberanian beliau  melawan Najib itu, ia  mampu menghantar mesej ke seluruh negara tentang kerosakan yang didakwanya itu.

Kemudian, sepanjang kempen pula,  Dr. Puad harus mendedahkan segala keburukan dan kedurjanaan Najib selama ini yang bukan saja menyebabkan sistem pemilihan parti telah rosak, tetapi juga UMNO, BN dan seluruh negara turut menjadi rosak oleh perlakuannya.

UNTIL I WIN – demikian ayat terakhir dalam surat terbuka Dr. Puad ketika mengumumkan perletakan jawatannya semalam dan perkara itu secara rasionalnya hanya terlaksana jika semua pihak, termasuk Dr. Puad, berani melakukan pelbagai cara dan usaha mengikut kemampuan masing-masing sehingga akhirnya Pakatan Harapan dapat mengambil alih pentadbiran negara ini.

UNTIL I WIN  tidak akan bermakna apa-apa jika Najib lagi menduduki Seri Perdana.   (ShahbudinHusin 26/04/2018)

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

93 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
93
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x