Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

INI LAWAK JENAKA ATAU LAKONAN MEMPERBODOHKAN RAKYAT?

Satu pesta menjual barang keperluan harian pada harga murah yang dinamakan Jualan Sentuhan Rakyat diadakan semalam di kawasan Parlimen Putrajaya.

Banyaklah barang yang dijual dengan harga lelong, antaranya ayam RM5 seekor, beras 10kg berharga RM5, daging lembu antara RM15 hingga RM20 sekilogram, selain barangan lain seperti telur, kentang, bawang, ikan, milo, susu pekat dan pelbagai lagi.

Pendeknya, semua yang dijual adalah murah-murah belaka.

Turut sama menjadi “jurujual” dan “pembantu kedai” kepada pesta jualan harga murah itu ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Hamzah Zainuddin, Menteri Wilayah Persekutuan merangkap Ahli Parlimen Putrajaya, Tengku Adnan Tengku Mansor, Ketua Setiausaha Negara, Ali Hamsa dan Pengerusi Tetap UMNO, Badruddin Amiruldin.
Kehkehkeh….dekat-dekat nak pilihanraya ini macam-macam perangai pelik pemimpin UMNO dan BN boleh menjadi santapan kita.

Adakah ini suatu lawak jenaka  atau lakonan untuk memperbodohkan rakyat?

Kenaikan kos sara hidup yang antara lainnya adalah disebabkan cukai GST, penarikan beberapa subsidi serta kegagalan kerajaan menstabilkan harga minyak, adalah perkara nyata yang dialami setiap hari oleh rakyat di seluruh negara.
Ia bukanlah perkara main-main yang hadirnya secara bermusim.

Oleh itu, kenapa pesta jualan murah seperti ini hanya diadakan menjelang pilihanraya saja?

Apakah di ketika dekat pilihanraya saja rakyat memerlukan barangan pada harga murah, manakala di waktu yang lain mereka tidak memerlukannya?

Apakah memadai menyuapkan rakyat dengan jualan harga murah selama sehari saja dalam tempoh lima tahun?

Bagaimana dengan hari-hari yang lain, baik lima tahun sebelum ini atau lima tahun akan datang?

Jika benar ingin menolong rakyat menangani kos sara hidup yang kian meningkat, kenapa tidak diadakan jualan lelong atau harga murah ini setiap minggu dan di seluruh kawasan Parlimen serta DUN seluruh negara?

Mengadakan jualan harga murah hanya selama sehari dalam tempoh lima tahun dan kemudian membiarkan rakyat terkapai-kapai menanggung bebanan kos sara hidup selama beribu-ribu hari selebihnya, adakah ini cara pemimpin-pemimpin BN menolong rakyat dan berlagak kononnya mereka prihatin dengan kesusahan rakyat?

Tidakkah ini hanya lawak jenaka dan tidak lebih bertujuan memperbodohkan rakyat semata-mata? 
Yang para menteri dan KSN sibuk-sibuk mahu jadi “jurujual” dan ” pembantu kedai” kepada jualan murah ini  untuk apa?
Itukah kerja dan peranan mereka dengan gaji puluhan ribu yang diperolehi daripada cukai wang rakyat? 
Atau sebaiknya pemimpin seperti itu dijadikan “penjual ayam” yang kekal saja selepas pilihanraya nanti? (ShahbudinHusin 12/04/2018)

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

87 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
87
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x