Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

APAKAH SPR JUGA MAHU JADI SEPERTI ROS, PENGGUNAAN SIMBOL PKR PERLU KEBENARAN PRESIDEN PKR, BUKAN KELULUSAN SPR?

Peraturan berhubung penggunaan simbol untuk calon-calon yang bertanding dalam pilihanraya sebenarnya sudah cukup jelas. Ia terkandung dalam peraturan SPR sendiri.
Dalam peraturan di bawah tajuk “Simbol Untuk Calon Parti Politik dan Calon Bebas” perkara 4.1 ada menyebut:
“Tiap-tiap  Calon dikehendaki menggunakan simbol dalam pilihanraya. Simbol itu akan dicetak bersebelahan dengan nama Calon dalam kertas undi.  Simbol yang akan digunakan adalah simbol yang telah diluluskan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya. Seseorang Calon daripada mana-mana parti politik yang telah didaftarkan  akan dibenarkan menggunakan  simbol parti yang telah diluluskan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya. Jikalau Calon itu mewakili parti politik, Calon itu hendaklah mengemukakan  kepada PP suatu surat kuasa  yang ditandatangani oleh seorang pegawai parti  yang bertanggungjawab membenarkan Calon itu menggunakan simbol berkenaan dalam pilihanraya.”

Berdasarkan peraturan itu, dengan mudah difahami bahawa penggunaan simbol parti yang hendak digunakan oleh mana-mana calon dalam pilihanraya mestilah mendapat kebenaran atau surat kuasa atau watikah daripada parti yang berkenaan.
Jika sudah ada kebenaran atau surat kuasa atau watikah itu, soal sama ada perlu mendapat kebenaran daripada SPR atau sebaliknya, tidak lagi berbangkit.
Atas dasar itulah, maka dalam beberapa pilihanraya sebelum ini, contohnya Ibrahim Ali yang tidak berparti pernah menggunakan simbol Pas untuk bertanding di Pasir Pasir, Dr Jeyakumar dan Nasir Hashim, kedua-duanya daripada PSM tiada masalah menggunakan lambang PKR untuk bertanding di Sungai Siput dan Kota Damansara.
Hakikatnya, tiada kebenaran atau kelulusan daripada SPR diperlukan untuk seseorang itu daripada menggunakan mana-mana simbol, asalkan mereka ada kebenaran, surat kuasa atau watikah daripada parti yang berkenaan untuk berbuat demikian.
Dalam konteks calon-calon DAP, Amanah dan  Bersatu mahu menggunakan simbol PKR dalam pilihanraya akan datang ini, apa yang diperlukan sebenarnya hanyalah kebenaran, surat kuasa atau watikah daripada Presiden PKR saja.
Asalkan ada surat kebenaran, surat kuasa atau watikah itu, berdasarkan peraturan SPR sendiri, bermakna tiada masalah bagi calon-calon DAP, Amanah dan Bersatu  daripada menggunakan simbol PKR dalam pilihanraya.
Jadi, bagaimana Pengerusi SPR, Hashim Abdullah boleh menyatakan Pakatan Harapan perlu mendapat kebenaran SPR jika mereka mahu menggunakan simbol PKR?
Peraturan mana yang digunakannya?
Perlu juga Hashim ketahui bahawa Pakatan Harapan belum lagi diluluskan kerana Najib takut untuk berdepan secara anak jantan dengan Tun Mahathir.
Oleh yang demikian, soal Pakatan Harapan mahu menggunakan simbol PKR tidak berbangkit sama sekali kerana yang mahu menggunakan simbol PKR ialah calon-calon daripada DAP, Amanah dan Bersatu.
DAP, Amanah dan Bersatu (hanya dibubarkan sementara oleh ROS) pada hakikatnya masih merupakan parti yang sah, begitu juga dengan PKR adalah parti yang sah dan simbol parti itu sudah pun sedia diluluskan untuk digunakan dalam pilihanraya.
Masalah apa lagi sebenarnya?
Apakah setelah ROS selesai memainkan peranannya untuk membantu dan sebagai perkakas kepada Najib, UMNO dan BN untuk memenangi pilihanraya akan datang dengan tidak memberi kelulusan kepada Pakatan Harapan dan kemudian membubarkan Bersatu sehari sebelum Parlimen dibubarkan, maka kini giliran SPR pula memainkan peranan yang sama?
Tidak cukupkah lagi dengan SPR melakukan lakaran baru kawasan pilihanraya yang kontroversi dan dilihat tidak adil serta condong kepada BN sebelum ini? (ShahbudinHusin 08/04/2018)

51 responses to “APAKAH SPR JUGA MAHU JADI SEPERTI ROS, PENGGUNAAN SIMBOL PKR PERLU KEBENARAN PRESIDEN PKR, BUKAN KELULUSAN SPR?”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *