Shahbudin…

Mencatat Hitam Putih Malaysia

YANG PENTING UNTUK MEMIMPIN NEGARA BUKAN TUA ATAU MUDA, TAPI TAHAP PEMIKIRAN

Antara sebab usia Tun Mahathir Mohamad menjadi isu ialah kerana Najib Razak sendiri terlalu kerap menyebut dan membangkitkannya, malah kadang-kadang mempersendakannya.
Beliau bukan saja menyebut usia 93 tahun itu sudah terlalu tua untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia, bahkan mengatakan tiada negara lain di dunia ini yang masih mahu memilih pemimpin dalam usia sebegitu sebagai Perdana Menteri.
Perkara itu kemudian dijadikan serangan yang bersambung-sambung oleh pelbagai pihak lain dalam UMNO sehingga Zahid Hamidi juga turut menyindir bahawa beliau tidak akan kekal dalam politik sehingga ke usia 93 tahun.
Harus difahami bahawa serangan berhubung usia Tun Mahathir itu ialah kerana Najib, UMNO dan BN sudah kehabisan  isu lain untuk menyerang dan melemahkan Pengerusi Pakatan Harapan itu.
Tun Mahathir terbukti tiada skandal terbuka yang boleh menghakis sokongan rakyat terhadapnya. Rakyat lebih menyanjung sumbangan dan jasanya kepada negara selama beliau menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun sebelum ini.
Percubaan Najib untuk mengaitkan Tun Mahathir dengan urusniaga tukaran wang asing atau forex misalnya sehingga ditubuhkan sebuah Suruhanjaya Diraja, ternyata tidak menghasilkan apa-apa, melainkan suatu pembaziran sumber dan wang kerajaan semata-mata akhirnya.
Hasil siasatan forex bukan saja gagal kerana Nor Mohamed Yakcop mengakui itu merupakan tanggungjawabnya dan beliau yang sepatutnya dipersalahkan, lebih  daripada itu, meskipun ada laporan polis dibuat agar siasatan segera dijalankan, tetapi difahamkan sehingga ini keterangan Tun Mahathir masih lagi belum diambil.
Ini dengan sendirinya mengesahkan bahawa Najib, UMNO dan BN tiada keyakinan untuk mengaitkan Tun Mahathir dalam kerugian urusniaga forex itu, apalagi untuk mengheretnya ke muka pengadilan.
Begitu juga dengan isu Memali dan sekian banyak dakwaan lain yang cuba dikaitkan dengan Tun Mahathir, semuanya hanyalah ibarat  “sembang-sembang tepi jalan”  tanpa bukti dan tiada keberanian untuk diketengahkan ke muka pengadilan.
Lantaran itu, satu-satunya isu yang dianggap mudah untuk melemahkan sokongan rakyat terhadap Tun Mahathir ialah menimbulkan keraguan terhadap kemampuannya kerana faktor usia.
Itulah sebabnya Najib sudah beberapa kali mengulang-ulang faktor usia Tun Mahathir itu dalam ucapannya.
Hendaklah disedari bahawa untuk menjadi Perdana Menteri atau ketua kerajaan, yang penting ialah sihat tahap pemikiran. Tua atau muda tidak berapa penting. Kalau muda tapi berfikir macam Ahmad Maslan atau seperti pensyarah yang terkucil dalam wacana baru-baru ini, sudah tentu lebih tidak berguna juga jadinya.
Atau tidak berapa muda dan tidak juga terlalu tua seperti Najib, tetapi terlalu banyak kerosakannya kepada negara, parah juga rakyat akhirnya.
Walaupun sudah berusia lebih 90 tahun, cuba lihat bagaimana Tun Mahathir menyelesaikan satu persatu masalah atau kekusutan dalam Pakatan Harapan sehingga ia mampu menjadi gabungan yang kuat, bersatu dan diyakini untuk menjadi kerajaan.
Beliau terbukti mampu menyelesaikan beberapa perkara seperti mengukuhkan kerjasama, pembahagian kerusi, calon Perdana Menteri, penggunaan satu logo ( sudah dipersetujui untuk menggunakan hanya satu logo, cuma pilihan logo parti mana yang mahu digunakan saja belum diputuskan lagi), menarik rakan kerjasama dari kalangan NGO dan pelbagai usaha yang lain lagi.
Sudah tentu hanya dengan kecekapan berfikir dan mengawal keadaan saja yang membuatkan beliau mampu menyelesaikan semua masalah itu.
Meski sudah berusia, tahap pemikiran Tun Mahathir sebenarnya sentiasa muda dan tidak pernah tua.
Dalam waktu yang sama, Tun Mahathir juga tetap konsisten dalam perjuangannya untuk menumbangkan Najib, UMNO dan BN serta menyelamatkan negara daripada terus dimusnahkan jika tiada perubahan dilakukan.
Memang dalam proses berkempen dan menjelajah itu memerlukan banyak tenaga dan menyebabkan mudah keletihan. Tetapi, itu adalah proses biasa bagi manusia. Keletihan dan batuk-batuk bukan saja dialami oleh manusia yang berusia lebih 90 tahun, kadang-kadang yang berusia 50-an pun biasa mengalami masalah yang sama.
Bagaimanapun, semua itu hanyalah proses sementara. Apabila Pakatan Harapan berjaya menubuhkan kerajaan dan Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri nanti, semua itu akan dapat diatasi kerana beliau tentulah tidak perlu sesibuk seperti sekarang untuk pergi ke merata-rata tempat lagi.
Tugas itu sudah boleh diambil alih atau dibahagi-bahagi bersama dengan pemimpin yang lain dalam Pakatan Harapan. Ketika itu fokus utama Tun Mahathir, berdasarkan pengalaman dan rekodnya selama ini ialah untuk mencurahkan idea serta pemikiran untuk proses menyelamatkan ekonomi dan memberi kesejahteraan kepada rakyat sebagaimana yang terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan.
Tidak lupa, tugas penting lain bagi beliau ketika itu ialah menangkap MO1 dan membawa balik Jho Low bagi dihadapkan ke muka pengadilan atas skandal 1MDB yang telah memalu dan mencemar nama baik Malaysia.
Untuk semua tugas itu, siapa lagi kalau bukan lelaki berusia 93 tahun yang masih sihat pemikirannya itu yang mampu melakukannya?(ShahbudinHusin 23/03/2018)
0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

117 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
117
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x