Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

LUPAKAN PAS DALAM PRU 14 INI….

Semakin dekat tarikh pilihanraya, tindak-tanduk Pas terlihat semakin karut dan mengarut. 

Di sebalik mengatakan ingin menjadi kerajaan dengan menjadikan BN dan PH sebagai musuh yang mesti dikalahkan, tetapi perbuatan dan kata-kata serangan para pemimpinnya jelas tertumpu hanya kepada satu musuh saja iaitu PH.

Begitu juga, walaupun turut menyebut ingin menjadi kuasa penentu dan penasihat kerajaan jika gagal memperolehi majoritip, tumpuan serangan Pas hanyalah kepada PH dan pemimpin gabungan itu semata-mata.

Dalam waktu yang sama, jika diperhatikan akhir-akhir ini, Hadi Awang turut begitu rajin menulis mengenai harapan dan keyakinan masa depan parti itu, meskipun intipati banyak tulisannya bertentangan sama sekali dengan perlakuan serta kata-katanya pada masa lalu.

Lebih daripada itu, tumpuan Hadi dalam meluahkan buah fikirannya juga lebih menjadikan PH sebagai sasaran kecamannya. Tiada lagi kata-kata mengkritik atau membalun UMNO dan BN.

Najib Razak sudah begitu suci di mata Hadi dan Pas. Hadi sendiri barangkali sudah lupa bila kali terakhir beliau mengkritik dan membalun Najib, meskipun sosok itu diperkatakan di seluruh dunia berhubung skandal kewangan 1MDB yang dikaitkan secara jelas dan nyata kesalahannya.

Dalam semua serangan yang dilakukan oleh Pas itu seolah-olah PH yang sedang menguasai serta mentadbir Putrajaya ketika ini dan bukannya BN. 

Dalam semua orang sedang mengatakan kebobrokan ekonomi zaman Najib daripada pelbagai aspek, Hadi dengan santai mengatakan ia adalah tinggalan pemimpin terdahulu yang kini berada dalam PH.

Tidak sukar memahami bahawa Hadi masih cuba membela Najib dan menyalahkan Tun Mahathir atas apa yang dihadapi negara kebelakangan ini.

Entah kerana apa, barangkali hanya Hadi yang tahu sebab-sebabnya, beliau kini bagaikan sudah tertutup pintu hati untuk melihat dan menyedari bahawa kebobrokan ekonomi dan hutang negara yang berganda hanyalah bermula pada 2009 apabila Najib mula mengambil alih kerusi Perdana Menteri.

Semalam pula, Pas mengadakan himpunan serta solat hajat sambil mendoakan kehancuran pakatan lawannya dengan cuba menyogok berita palsu kepada Tuhan bahawa Islam di Selangor telah terabai sejak 10 tahun yang lalu.

Bukankah Pas menjadi sebahagian kerajaan negeri sekarang ini dan sejak 10 tahun yang lalu?

Jika benar Islam terabai, kenapa Pas masih mahu berada dalam kerajaan yang didakwa mengabaikan Islam itu, mengambil gaji serta elaun dan tidak mengundurkan diri dengan segera?

Di manakah maruah dan harga diri Pas atas tindakannya mengecam dan mendokan kehancuran kerajaan PH di Selangor, sedangkan nikmat dan habuan daripada kerajaan yang sama tetap dirembat dan ditelan setiap bulan?

Selain itu, kenapa  Pas tidak berani mengadakan solat hajat dan berdoa sama kepada Tuhan bahawa Najib, UMNO dan BN yang mentadbir Malaysia turut mengabaikan Islam sejak lebih 60 tahun yang lalu?

Apakah Najib begitu mulia di sisi Pas dan apakah yang menyebabkan tiba-tiba Pas melihat Perdana Menteri ada kemuliaan, walhal lebih kurang 53 media di seluruh dunia dan lapan negara memperkatakan mengenai skandal kewangannya?

Bagi yang tidak sedar atau belum menyedarinya, Pas sebetulnya sedang bersekongkol secara sulit dengan Najib dan UMNO bagi memastikan kemenangan BN dalam pilihanraya akan datang ini.

PH sebenarnya dalam PRU 14 nanti akan berdepan dua musuh iaitu BN dan Pas, manakala BN sebagai kerajaan yang sedang mempertahankan kuasanya pula saling berpegangan tangan dengan Pas untuk berlawan dengan musuh yang sama iaitu PH.

Walaupun bernama pembangkang sama seperti PH, Pas bukanlah mahu menumbangkan BN, sebaliknya mempunyai tujuan yang sama dengan BN iaitu untuk mengelakkan PH daripada memenangi pilihanraya dan mengambil alih Putrajaya.

Dengan sama niat dan sama tujuan dengan BN untuk mengalahkan PH, bermakna Pas 100 peratus mahu Najib terus kekal lagi sebagai Perdana Menteri.

Maka itu, pada PRU 14 akan datang, selain penting untuk memastikan tumbangnya Najib, UMNO dan BN, pilihan bagi pengundi juga ialah wajib melupakan Pas daripada sebarang pemberian undi.

Jangan berikan walau satu undi kepada Pas dan haramkan sama sekali tangan kita untuk mengundi parti itu. Satu undi untuk Pas akan memberi ruang lebih terbuka kepada BN untuk kekal berkuasa, malah jika melalui satu undi itu menyebabkan Pas memperolehi kerusi, ia akhirnya akan digunakan untuk menjadi tongkat penyelamat kepada Najib mengekalkan kedudukannya.

Secara mudahnya, satu undi untuk Pas samalah dengan satu undi untuk UMNO dan BN, satu untuk mengekalkan Najib, satu undi untuk kleptokrasi kekal berkuasa dan satu undi untuk melesenkan Jho Low terus merompak kekayaan kita. (ShahbudinHusin 18/03/2018)

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

65 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
65
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x