Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

SIAPA DATIN INI? WAJARKAH HANYA HUKUMAN BON BERKELAKUAN BAIK SEDANGKAN KECEDERAAN MANGSA AMAT SERIUS?

Pagi ini saya ingin lari daripada isu politik buat seketika berikutan fikiran agak terganggu setelah membaca berita mengenai seorang Datin yang hanya dihukum dengan bon berkelakuan baik kerana mendatangkan kecederaan serius kepada seorang pembantu rumah.
Datin yang bernama Rozita Mohamad Ali itu pada mulanya didakwa atas kesalahan cubaan membunuh Suyanti  Sutrinso, tetapi dipinda dengan didakwa di bawah Seksyen  326 iaitu dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah.
Berikutan beliau menukar pengakuan kepada bersalah, hakim Mahkamah Sesyen kemudian hanya menjatuhkan hukuman dengan bon berkelakuan baik sebanyak RM20 ribu untuk tempoh 5 tahun kepada Rozita.
Mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan, seseorang yang didapati bersalah boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun.
Meskipun  Datin itu mengaku bersalah, wajarkah hukumannya hanya dengan bon berkelakuan baik saja?
Pasti bukan saya seorang, bahkan ramai lagi yang turut terganggu dengan hukuman yang diterima oleh Datin tersebut, lebih-lebih lagi berdasarkan cara penderaan dan kecederaan yang dialami oleh mangsa.
Ketika kejadian pada Disember 2016  itu, media pernah melaporkan bahawa Datin berkenaan didakwa menggunakan pisau, sebatang mop, sekaki payung dan penyangkut baju sehingga menyebabkan kecederaan pada bahagian tangan, kaki dan organ dalaman kepada mangsa.
Video Suyanti yang cedera parah dan terbaring berdekatan longkang di satu kawasan perumahan di Mutiara Damansara kemudian menjadi viral di media sosial sehingga menyebabkan pelakunya dapat ditangkap dan didakwa di mahkamah.
Siapakah sebenarnya Datin tersebut?
Mengapakah hukuman seringan itu dijatuhkan kepadanya sedangkan mangsa mengalami kecederaan yang amat serius?
Lihatlah kecederaan yang dialami mangsa dan bayangkan jika mangsa itu adalah adik beradik, saudara mara atau ahli keluarga kita sendiri, apakah kita reda dan boleh berdiam diri andai pelakunya tidak dihukum dengan setimpal?
Demi keadilan sesama manusia, Peguam Negara seharusnya segera membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen itu agar perbicaraan semula dapat diadakan di Mahkamah Tinggi.
Beberapa peguam telah pun bangun bersuara dalam hal ini, tetapi sudah tentu suara mereka saja tidak memadai.
Pihak kerajaan, pemimpin politik, NGO, persatuan wanita, malah seluruh rakyat juga seharusnya bangun mendesak supaya keadilan dapat benar-benar ditegakkan dalam kes  ini. (ShahbudinHusin 17/03/2018)
0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

170 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
170
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x