Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

TUMBANGKAN BN SEKALI INI, KITA SEBAGAI RAKYAT AKAN BAHAGIA SELAMA-LAMANYA

PRU 14 ini yang disebut ibu segala pilihanraya bukan sekadar untuk memberi kemenangan kepada Pakatan Harapan, menyingkirkan Najib Razak dan menjadikan Tun Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri buat kali kedua, tetapi yang jauh lebih penting ialah untuk menjamin masa depan rakyat dan generasi seterusnya.
Semua kita tahu Najib sedang terkait dengan skandal kewangan terbesar dalam dunia, di mana sekurang-kurangnya 8 negara telah dan sedang menyiasat 1MDB yang ditubuhkannya dan kekalnya beliau di kerusi Perdana Menteri sehingga sekarang hanyalah semata-mata kerana kuasa masih di tangannya.
Dengan kuasa di tangannya, Peguam Negara dipecat dan digantikan dengan individu pilihannya, proses siasatan polis dan SPRM dilambatkan tanpa kesudahan, laporan audit 1MDB diOSAkan, soalan tidak boleh ditanyakan di Parlimen dan semua menteri akhirnya hanya jadi pengampu dan tukang angguk sahaja.
Di negara lain, jika pemimpinnya dikaitkan dengan skandal sebegini rupa, sama ada mereka sendiri akan meletakkan jawatan atau rakyat akan menjatuhkannya.
Keinginan Najib untuk menang pilihanraya akan datang tidak lain ialah untuk memastikan beliau kekal berkuasa dan tiada fail siasatan dibuka terhadapnya buat selama-lamanya. Sebab itu kemenangan BN adalah amat penting baginya.
Untuk tujuan itu, Najib sedang menggunakan pelbagai cara “cash is king” untuk mencapai matlamatnya. Beliau kini sedang membeli jiwa rakyat dengan tujuan mengaburi mereka terhadap skandal yang melingkari dirinya.
Peruntukan pembangunan, taburan projek segera, pemberian tunai, agihan barangan keperluan harian, janji bulan bintang, manipulasi media dan sebaran berita palsu melalui media arus perdana dan media berbayar sedang giat dilakukan di seluruh negara.
Semuanya dilakukan hanya semata-mata untuk kekal berkuasa. Najib tidak peduli kesusahan rakyat, kos sara hidup yang terus meningkat, cukai yang membebankan, pengangguran, lepasan universiti tiada pekerjaan dan segala macam kekangan lainnya.
Jika BN terus menang, bukan saja tiada jaminan masalah rakyat dapat diselesaikan, bahkan juga tiada jaminan tiada cukai dan kos sara hidup tidak  dinaikkan. Malah seperti kata Dr. Dzulkifli Ahmad dari Amanah, dengan gaya kepimpinan Najib yang mengamalkan 4B – bolot, bocor, boros dan bazir – gunung pun boleh rata sebenarnya.
Yang pasti selesai ialah Najib akan terus bermaharajalela dengan kuasa yang ada padanya dan tidak akan didakwa buat selama-selamanya. Jho Low juga bebas merdeka dengan wang kita sebanyak-sebanyaknya. Fail 1MDB akan tersimpan dalam kabinet besi atau dikunci buat selama-lamanya, kalau pun tidak dihapuskan sama sekali.
Yang tinggal hanyalah hutang-hutang 1MDB yang terpaksa kita bayar bersama kos sara hidup yang kian meningkat dan harga barang yang semakin mahal. Perbelanjaan yang Najib hari ini lakukan untuk membeli jiwa rakyat juga kitalah yang akan membayarnya di kemudian hari.
Sebab itu, adalah penting untuk rakyat dan pengundi melakukan perubahan. Memang perubahan akan menjadikan Pakatan Harapan sebagai kerajaan baru dan Tun Mahathir pula Perdana Menteri buat kali kedua, selain Najib akan kehilangan kuasanya.
Tetapi, baik Pakatan Harapan atau pun Tun Mahathir, mereka hanyalah alat kepada rakyat. Pakatan Harapan sebagai kerajaan baru tidaklah sama seperti BN yang menjadikan pemegang jawatan Perdana Menteri berkuasa dalam segala-segala dan sebebas-bebasnya.
Mereka juga ada janji, komitmen dan manifesto yang perlu ditunaikan. Jika gagal dilaksanakan, rakyat boleh menyumpah dan menjatuhkannya dalam pilihanraya yang seterusnya.
Janji pemansuhan cukai GST, mengembalikan subsidi, menstabilkan harga minyak, perumahan, peluang pekerjaan, mengurang dan seterusnya menghapuskan rasuah adalah antara komitmen yang tidak dinafikan akan memberi kebaikan kepada rakyat.
Bermakna dengan perubahan kerajaan,  bukan Pakatan Harapan atau Tun Mahathir yang penting, tetapi untuk menyaksikan bagaimana janji dan komitmen yang penuh kebaikan itu dapat ditunaikan demi kesejahteraan rakyat.
Namun, jika Najib, UMNO dan BN menang lagi, bagaimanakah mereka dapat dijatuhkan dalam pilihanraya yang seterusnya?
Ia hampir mustahil sebenarnya. Mereka akan terus berkuasa dengan berleluasa, mengekang pelbagai peraturan serta undang-undang untuk memastikan tiada siapa lagi mampu bangkit untuk melawan. 
Lebih dari itu, untuk PRU yang seterusnya juga, kita tiada lagi sosok yang kuat dan berpengaruh seperti Tun Mahathir untuk terus merangsang perubahan.
Ketika itu, selain Tun Mahathir mungkin sudah tiada, Anwar, Muhyiddin, Lim Kit Siang dan lain-lain pemimpin pula barangkali sudah terlalu tua untuk terus berjuang bagi menumbangkan Najib, UMNO dan BN.
Akibatnya, UMNO dan BN akan berkuasa buat selama-lamanya. Apa yang pun yang mereka lakukan seperti menaikan cukai, berbelanja mewah atau memperkenalkan undang-undang baru yang mengekang hak rakyat, tiada siapa lagi mampu melawannya.
Lantaran itu, PRU 14 adalah medan terbaik melakukan perubahan. Singkirkan Najib dan tumbangkan BN untuk sekali ini, kita sebagai rakyat akan bahagia buat selama-lamanya kerana ia langkah permulaan akan memberi kesedaran bahawa rakyatlah kuasa sebenar dalam negara ini. 
BN boleh dipilih semula dalam pilihanraya berikutnya kalau Pakatan Harapan didapati gagal menunaikan janji-janjinya. Tetapi, BN ketika itu sudah tentu BN yang baru yang tiada lagi Najib,  Salleh Said Keruak, Nazri Aziz, Puad Zarkashi dan mereka yang setaraf pemikiran dengannya.

Selepas jatuhnya BN, tiada lagi mana-mana kerajaan boleh sesuka hati bermain dengan kuasa, mencipta skandal dan memperkayakan diri sendiri. Baik Pakatan Harapan atau BN, daulat dan keutamaan mereka adalah rakyat macam kita. (ShahbudinHusin 15/03/2018)

153 responses to “TUMBANGKAN BN SEKALI INI, KITA SEBAGAI RAKYAT AKAN BAHAGIA SELAMA-LAMANYA”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *