Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

KALAU BEGINI, LEBIH BAIK MCA TIDAK BERTANDING SAMA SEKALI

Belum pun selesai dan tidak diketahui apa kesudahannya perbalahan MCA dengan Nazri Aziz berhubung isu Robert Kuok, parti itu kini dikritik pula secara terbuka oleh Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi.
Puncanya ialah ketidakhadiran wakil MCA dalam program persiapan pilihanraya di Parlimen Rembau dan kekurangan gerak kerja yang ditunjukkan parti itu di kawasan Bandar Tun Razak.
Kedua-dua program yang diadakan di kawasan itu dihadiri oleh Zahid Hamidi sendiri.
Ketika di Bandar Tun Razak, Zahid Hamidi berkata, “dua kali kita beri MCA kerusi di sini, tapi siapa yang buat kerja?
“UMNO…,”kata beliau.
Di Rembau pula, Zahid Hamidi mengkritik MCA dengan berkata, “tolong tunjuk muka di Parlimen Rembau walaupun kita beri kerusi bertanding di tempat lain. 
“Bantu calon kita, kerusi hendak, tetapi program tidak hadir,”  katanya lagi.
Tak malukah MCA dengan tempelakan oleh pemimpin nombor dalam BN dalam kerajaan itu?
Memang semua orang sedar MCA semakin ditolak oleh pengundi Cina dan  kerusi-kerusi yang mereka menang sekarang adalah dengan bantuan serta sokongan pengundi Melayu semata-mata.
DAP sebaliknya lebih diterima oleh pengundi Cina sebagai parti yang boleh diharapkan untuk memperjuangkan nasib mereka dan sebab itu semua kawasan majoriti pengundi Cina menjadi milik parti itu.
Jika MCA ada perasaan malu, bukan saja kerana semakin ditolak oleh pengundi kaumnya sendiri, tetapi juga berikutan kritikan terbuka oleh Zahid Hamidi itu, ada baiknya parti itu memilih untuk tidak bertanding sama sekali dalam PRU 14 akan datang ini.
Serahkan saja semua kerusi yang ditandinginya sebelum ini kepada UMNO sepenuhnya untuk meletakkan calon-calon mereka.
Sekurang-kurangnya MCA tidak lagi semudahnya dijadikan bahan perlecehan oleh UMNO sebagai “abang besar” dalam BN atau sentiasa terbeban dengan kekalahan yang bakal berlaku dalam pilihanraya akan datang nanti. 

Biarkan saja UMNO dan Najib Razak menanggung semua beban kekalahan BN nanti, lagi pun sebahagian besar masalah dalam negara sekarang adalah berpunca daripada kesilapan dan “dosa” Perdana Menteri semata-mata. (ShahbudinHusin 14/03/2018).
0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

71 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
71
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x