Shahbudin…

Mencatat Hitam Putih Malaysia

MENGHADAM NASIHAT TUN MAHATHIR

Berucap di Konvensyen Pakatan Harapan Pulau Pinang semalam, Tun Mahathir Mohamad memberikan nasihat yang seharusnya difahami dan dihadam oleh semua pihak dalam gabungan pembangkang itu jika menawan Putrajaya dan menyelamatkan negara masih menjadi matlamat perjuangan.

Pertama, beliau menggesa PKR, DAP, Amanah dan Bersatu agar sentiasa bersatu untuk mencapai matlamat menawan Putrajaya dan menumbangkan BN atau jika gagal berbuat demikian, mereka akan kekal sebagai pembangkang untuk selama-lamanya.

Untuk itu, beliau merayu agar mereka menerima siapa saja calon yang mewakili Pakatan Harapan tanpa mengira daripada parti mana ia didatangkan.

Kedua, Tun Mahathir menggesa supaya semua pihak mengurangkan kesetiaan kepada parti masing-masing, sebaliknya mengutamakan Pakatan Harapan demi mencapai matlamat menumbangkan Najib, UMNO dan BN.

“Jika kita tidak menjadi calon, tetapi menyokong siapa saja calon yang dipilih, akan ada peluang lebih besar bagi kita untuk ke Putrajaya .

“Untuk menang, kita mesti menyokong sesiapa sahaja yang dipilih sebagai calon Pakatan Harapan.

“Jika kita terus berfikir ‘kerusi ini saya punya dan jika saya tidak dapat, saya tidak akan menyokong calon lain’, maka itulah cara yang pasti akan membawa kepada kekalahan.

“Saya telah memberitahu parti saya sendiri, Bersatu bahawa ada kerusi yang kita tidak akan dapat, tetapi selagi calon itu daripada Pakatan Harapan, kita akan menyokong sepenuhnya orang itu, “ kata Tun Mahathir lagi.

Nasihat Tun Mahathir ini mudah saja sebenarnya, tetapi barangkali teramat sukar untuk dilaksanakan oleh pihak-pihak tertentu. Tetapi, jika mereka sedia kembali kepada matlamat perjuangan asal iaitu untuk menawan Putrajaya untuk menyelamatkan negara dan tidak mahu lagi berperdana-menterikan Najib, mereka seharusnya sedia bertolak ansur dan berkompromi.

Bertanding dan menjadi calon bukan segala-galanya dalam pilihanraya. Menang dan mencapai matlamat perjuangan jauh lebih utama.

Mengutamakan keinginan menjadi calon dan kerusi semata-mata sehingga enggan bertolak ansur hanya akan menyebabkan tiada kesepakatan dan akhirnya kalah kepada pihak lawan. Jika pihak lawan yang menang, semua akan melepas dan tidak mendapat apa-apa hingga ke sudahnya.

Yang lebih buruk ialah lawan yang terus menang itu ialah Najib yang semua kita tahu dan sedar akan terus melakukan perkara-perkara yang akan menyusahkan rakyat jika kuasa terus diberikan kepadanya.
Sebaliknya, dengan sedia bertolak-ansur dan bersatu untuk memastikan kemenangan Pakatan Harapan, mereka yang tidak terpilih sebagai calon mungkin ada peluang lain untuk terus berjuang dan memberi khidmat bersama-sama calon yang mereka menangkan itu.

Harus difahami bahawa nasihat Tun Mahathir itu kerana beliau pernah menang cemerlang dengan majoriti dua pertiga dalam lima kali pilihanraya sebelum ini. Lebih dari itu, beliau juga pernah menduduki kerusi Perdana Menteri selama 22 tahun lamanya.

Maka, jika Pakatan Harapan ingin menang, mengalahkan Najib, UMNO dan BN serta dapat menunaikan janji untuk menyelamatkan negara, baik siapa dan apa pun kedudukannya, mereka tiada pilihan lain selain menghadam dengan sedalam-dalamnya nasihat Tun Mahathir kali ini.
Lupakan seketika sengketa berebut kawasan dan keghairahan untuk menjadi calon berasaskan kepentingan diri dan parti masing-masing. Utamakanlah Pakatan Harapan dan matlamat perjuangan yang didendangkan sejak bertahun-tahun sebelum ini.

Sokongan pengundi dan keinginan rakyat kepada perubahan yang dilihat sedang mengarus dengan baik sekarang ini tidak cukup untuk mengalahkan Najib, UMNO dan BN kiranya dua nasihat Tun Mahathir itu tidak dipatuhi dengan sebaik-baiknya.

Ramuan untuk menang mesti lengkap dan saling melengkapi. Dengan sokongan pengundi sedia ada, kebencian rakyat kepada Najib dan keinginan mereka kepada perubahan, disertai pula dengan kepatuhan kepada dua nasihat Tun Mahathir itu, tiada sebab Pakatan Harapan tidak boleh menang, biar bergantang wang yang dicurahkan Najib nanti. (ShahbudinHusin 05/02/2018)

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

191 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
191
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x