Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

KERAJAAN BN MELAKA SAKIT TENAT?

Apakah yang terlintas di fikiran kita apabila mendapati “seseorang yang sedang berdoa” di hadapan jalan yang berlopak adalah seorang timbalan menteri daripada sebuah kerajaan yang sedang memerintah negara?

Apakah ia aksi yang baik dan normal atau “perangai gila” seorang pemimpin?

Difahamkan jalan yang berlopak dan membahayakan pengguna jalanraya itu segera dibaiki setelah Ahli Parlimen Tangga Batu merangkap Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Innovasi, Dr. Abu Bakar Mohamad Diah memuat naik gambarnya berdoa itu di media sosial sambil mengharapkan ada pegawai daerah, datuk bandar atau ahli majlis turut melalui atau melihat jalan yang berlopak itu.

Jalan itu dikatakan sudah berlopak dan membahayakan pengguna jalan sejak kira-kira sebulan yang lalu.

Kita mungkin tidak hairan jika yang melakukan aksi berdoa itu ialah Ahli Parlimen pembangkang yang tiada kuasa dan peruntukan, itu pun tentunya setelah pelbagai usaha menemui pihak yang berkuasa sudah dilakukan dan tidak mendatangkan apa-apa hasil.

Tetapi, mengapakah Ahli Parlimen parti pemerintah dan berjawatan timbalan menteri pula, sanggup berbuat demikian?

Apakah beliau sudah putus harapan kerana usahanya selama ini agar jalan itu dibaiki tidak diendahkan oleh pihak berkuasa negeri?

Bukankah Abu Bakar adalah Ahli Parlimen Tangga Batu di mana Ketua UMNO Tangga Batu, Idris Haron adalah Ketua Menteri Melaka?

Secara tidak langsung, jalan yang berlopak itu bukan saja dalam jajahan UMNO Tangga Batu, tetapi juga dalan lingkungan kuasa Ketua Menteri untuk bertindak pantas membaikinya?

Kenapa sampai sebulan jalan itu terbiar berlopak dan tidak dibaiki?

Mengapa juga setelah disebarkan dalam media sosial, ia boleh dibaiki hanya dalam masa sehari?

Dalam perbualan spontan dengan beberapa kenalan, diberitakan masalah lambat dan lembab dalam membaiki kemudahan asas yang melibatkan kepentingan rakyat ini turut berlambak-lambak berlaku di banyak kawasan lain di seluruh negara.

Ia dikatakan tidak saja berlaku di kawasan yang diwakili oleh pihak pembangkang, tetapi juga turut terjadi apabila seseorang pemimpin atau wakil rakyat itu tidak sebulu atau mempunyai hubungan tidak baik dengan pemimpin atasan di peringkat negeri.

Tindakan Abu Bakar berdoa di atas jalan sebenarnya tidak lebih merupakan gimik sahaja dan walaupun ia berhasil membuatkan pihak berwajib segera membaikinya, ia juga adalah gambaran kelemahan dan ketidakpedulian kerajaan negeri Melaka terhadap permasalahan semasa rakyat.

Ia dengan sendirinya mengesahkan BN negeri itu kini adalah sebuah kerajaan yang sakit tenat dan perlu segera diganti. (ShahbudinHusin 20/02/2018)

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

233 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
233
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x