Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

DEMI ISLAM DAN PALESTIN, SEDIAKAH NAJIB BATALKAN PEMBELIAN BOEING SERTA TARIK BALIK BANTUAN KUKUHKAN EKONOMI AMERIKA?

Meskipun Najib Razak dalam ucapan perasmiannya di Perhimpunan Agung UMNO semalam menolak perisytiharan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel sebagaimana yang diumumkan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, langkah itu sebenarnya langsung tidak memadai.
Juga tidak memadai ialah dengan sekadar menghantar nota bantahan ke Kedutaan Amerika oleh Pergerakan Pemuda UMNO yang diberitahu oleh Khairy Jamaluddin direstui sepenuhnya oleh Najib.
Turut tidak memadai ialah pengumuman Ahmad Zahid Hamidi bahawa UMNO akan turut menghantar wakil daripada kalangan anggotanya yang tidak terlibat dalam PAU 2017 untuk menyertai demostrasi anjuran Pas di Kedutaan Amerika selepas solat Jumaat, hari ini.
Semua tindakan UMNO dan kerajaan itu terlalu kecil dan minima berbanding pengumuman Trump mengumumkan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel yang tentunya mengguris hati umat Islam di seluruh dunia.
Apa yang Najib, UMNO dan kerajaan harus lakukan ialah menggerakkan suatu demonstrasi besar-besaran di Kedutaan Amerika dan seterusnya membakar patung Trump sebagai tanda bantahan yang serius terhadap pengumuman berkaitan Baitulmaqdis itu.
Kalau patung orang lain boleh dibakar oleh UMNO dalam isu lain yang tidak menyentuh maruah agama Islam, apakah perbuatan Trump itu lebih kecil, remeh dan dianggap tidak penting?
Jika ianya benar-benar perkara besar, malah Najib sendiri yang sepatutnya membakar patung Trump, rakan baiknya itu.
Kemudian, Najib juga harus membatalkan segera pembelian pesawat Boeing yang diumumkannya di hadapan Trump sendiri ketika berkunjung ke Amerika, baru-baru ini.
Tiada gunanya lagi Malaysia meneruskan pembelian itu jika maruah Islam sendiri dicincang lumat oleh Trump melalui tindakannya yang angkuh, sombong dan tidak sensitif kepada maruah Islam itu.
Selainnya, Najib juga wajib menarik balik pengumuman bantuan untuk mengukuhkan ekonomi Amerika dengan menggunakan dana KWSP yang turut diumumkannya di hadapan Trump bersama pembelian pesawat Boeing itu.
Apa gunanya Najib membantu mengukuhkan ekonomi Amerika dengan nilai berbilion-bilion ringgit jika akhirnya dibalas dengan sikap kurang ajar oleh Trump yang menghina Islam?
Soalnya, beranikah Najib melakukannya?
Jika benar Malaysia bersama dengan perjuangan rakyat Palestine, itulah yang sebenarnya wajib Najib lakukan terhadap Trump dan Amerika Syarikat.
Tindakan lain tidak memberi makna apa-apa, malah menunjukkan Najib masih menganggap Trump itu kawan baiknya. (ShahbudinHusin 08/12/2017).
0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

260 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
260
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x