Menurut apa yang dilaporkan, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Mustafar Ali memberitahu, daripada sejumlah 790,186 orang rakyat Malaysia yang disenarai-hitamkan untuk ke luar negara, lebih separuh daripadanya adalah peminjam PTPTN atau Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara.
Jumlah sebenar peminjam PTPTN yang mengalami sekatan meninggalkan negara itu ialah seramai 447,890 orang.
Mereka dihalang daripada pergi ke luar negara kerana tidak menjelaskan bayaran semula pinjaman yang pernah diperolehi sebelum ini.
Wowww…ramainya dan kenapakah ini berlaku?
Sementara kita mengakui mungkin ada segelintir peminjam PTPTN yang sengaja tidak mahu membayar semula hutang mereka, tetapi realitinya majoriti yang berbuat demikian adalah kerana mereka tiada kemampuan dari segi kewangan.
Sudah tentu ketidakmampuan itu ialah kerana mereka belum mendapat pekerjaan yang bersesuaian dengan kelulusan serta tiada lebihan dalam gaji yang diterima setiap bulan.
Sebahagiannya pula ada yang sudah berumahtangga dan mempunyai beberapa anak serta dengan pekerjaan sementara itu mereka juga menolong keluarga atau adik-adik lain yang masih bersekolah.
Maka, dengan gaji yang tidak sepadan, pekerjaan yang belum sesuai dengan kelulusan dan adanya tanggungan-tanggungan lain, bagaimanakah mereka mahu membayar hutang PTPTN itu?
Adalah sukar untuk mempercayai mereka sengaja tidak mahu membayar hutang PTPTN, sedangkan sejak awal lagi sudah pun disedari ia perlu dibayar semula bila tiba masanya nanti.
Adakah logik, jika mempunyai pekerjaan dan pendapatan yang baik, mereka tidak mahu membuat bayaran semula dalam kadar serendah RM50 atau RM100 setiap bulan?
Kiranya mereka belum ada pekerjaan tetap dan pendapatan juga masih tidak stabil, sekatan perjalanan ke luar negara itu adalah suatu penganiayaan dan ketidakadilan kepada mereka.
Dalam hal ini, PTPTN seharusnya hanya mengenakan sekatan ke luar negara kepada peminjamnya yang benar-benar degil tidak mahu menjelaskan hutang saja, bukan kepada mereka yang belum mendapat pekerjaan atau pendapatan yang sesuai dengan kelulusan.
Selain kerana kegagalan kerajaan sendiri menyediakan ruang pekerjaan yang mencukupi serta ketidakmampuan kepimpinan negara yang ada untuk merangsang pertumbuhan ekonomi yang membolehkan iklim perniagaan bertambah sihat dan syarikat-syarikat tumbuh dengan selesa, kesalahan di pihak PTPTN sendiri yang menyebabkan hutang tidak mampu dibayar tidak boleh dinafikan sama.
Terdapat beberapa kes di mana peminjam yang gagal membuat bayaran semula itu adalah daripada kolej dan universiti swasta yang kebergantungan perniagaan mereka adalah kerana adanya pinjaman PTPTN disediakan oleh kerajaan.
Ini menyebabkan, atas alasan kononnya untuk membantu pelajar mendapat ilmu, tetapi sebenarnya lebih untuk menolong kolej dan universiti swasta meneruskan perniagaan, pinjaman PTPTN itu diberikan dengan sedikit kelonggarah serta tolak ansur tertentu.
Dengan yang demikian, sudah tentu mereka yang terbabit terdedah kepada ketidakmampuan membayar hutang, apatah lagi jika kursus yang mereka ambil tidak memenuhi keperluan pasaran pekerjaan.
Kenapa tidak diletakkan peraturan seperti hutang hanya perlu mula dibayar selepas dua atau tiga tahun selepas mereka mendapat pekerjaan tetap dan bersesuaian dengan kelulusan?
Oleh yang demikian, tidakkah sekatan ke luar negara itu suatu kezaliman yang nyata sebenarnya?
Dalam PRU 14 akan datang, sudah tentu sebahagian besar daripada 447,890 orang yang disekat ke luar negara itu adalah pengundi kali pertama dan adakah perlu mereka mengundi BN untuk mengekalkan lagi kuasa kerajaan sedia ada, sedangkan tawaran Pakatan Harapan adalah pendidikan percuma? (ShahbudinHusin 28/11/2017).