Shahbudin…

Mencatat Hitam Putih Malaysia

JIKA JAMAL JADI CALON, PEMIMPIN2 UMNO AMPANG SENDIRI AKAN PASTIKAN KEMENANGAN AZMIN ALI

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Jamal Md Yunus yang sebelum ini pernah menyatakan tiada keinginan untuk bertanding dalam pilihanraya akan datang, kini nyata sudah berubah fikiran.
Beberapa hari lalu beliau secara terbuka membuka mulut mengenai hasrat mahu bertanding itu, tetapi bukan di kawasannya sendiri, sebaliknya di DUN Bukit Antarabangsa yang sekarang diwakili oleh Menteri Besar Selangor, Azmin Ali.
Jamal dilaporkan ingin bertanding menentang Azmin kerana ianya lebih mencabar, selain mendakwa Timbalan Presiden PKR itu tidak membantu rakyat di DUN Bukit Antarabangsa yang diwakilinya sejak dua penggal lalu.
Sehingga ini, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Noh Omar nampak bersetuju dan tiada masalah dengan keinginan Jamal itu atas alasan Ketua Gerakan Baju Merah itu sudah banyak terlibat dalam program membantu rakyat di seluruh Selangor.
Bermakna, Jamal kini hanya memerlukan persetujuan Najib Razak saja lagi untuk membolehkan hasratnya bertanding di Bukit Antarabangsa itu benar-benar menjadi kenyataan.
Jika Najib akhirnya tiada masalah mengenainya, maka meloponglah pemimpin-pemimpin UMNO dalam Bahagian Ampang untuk menjadi calon dan terpaksalah mereka memberi laluan kepada orang luar iaitu Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar bertanding di situ.
Berdasarkan Jamal selalu ke depan dalam mempertahankan Najib berbanding pemimpin-pemimpin UMNO Ampang dan semalam pula Perdana Menteri sudi mengunjungi restorannya yang menyediakan makanan percuma di ibu negara, tidak mustahil beliau akan memperolehi apa yang dicita-citakannya itu.
Kiranya ia menjadi kenyataan, Jamal bukan saja akan menjadi lebih popular dan diburu media setiap hari, malah dedak untuk bekalan berkempen juga tentunya tambah berguni-guni lagi keperluannya. 
Maklumlah, nak berlawan dengan Menteri Besar, tentulah modal yang diperlukan juga besar.
Kalah memang dalam tangan buat Jamal berdasarkan kedudukan Azmin sebagai ketua kerajaan negeri, tetapi andainya menang, tentulah akan bertambah-tambah lagi melonjaknya sahamnya.
Lebih-lebih lagi jika BN dapat menawan kembali Selangor dan menumbangkan Pakatan Harapan. Nak dibiarkan Jamal jadi Adun biasa saja memang tak patut kerana yang dikalahkannya ialah ketua kerajaan negeri. 
Silap-silap jawatan Exco kanan menanti sebagai habuan buat Jamal.
Namun demikian, sebelum Jamal benar-benar ingin bertanding di Bukit Antarabangsa, beliau harus menyedari sistem politik UMNO dan perangai pemimpin-pemimpin parti itu yang hampir semuanya begitu taksub untuk bertanding di kawasan sendiri.
Jarang benar pemimpin sesebuah bahagian sedia memberi laluan kepada pemimpin bahagian lain bertanding di kawasan mereka. Bagi pemimpin UMNO, bahagian mereka adalah milik mereka saja.
Yang mereka takuti jika pemimpin luar bertanding dan menang, maka terlepaslah peluang mereka untuk bertanding pada masa depan di kawasan tersebut. Siang malam berjaga dan mengukuhkan kedudukan, pantang sekali jika calon diberikan kepada orang luar kawasan.
Dalam kes Jamal dan Bukit Antarabangsa, berdasarkan hubungannya yang akrab dengan Noh Omar serta Najib mungkin kalah dengan ampu dan bodeknya, memang tidak mustahil beliau akan diberi watikah bertanding di kawasan tersebut.
Tetapi, untuk berlawan Azmin, Jamal bukan saja bakal dicabar oleh jentera PKR dan Pakatan Harapan, tetapi juga terpaksa berdepan dengan sabotaj dan karenah pemimpin-pemimpin UMNO Ampang sendiri yang lebih mahu melihatnya kalah berbanding menang.
Kalau Jamal kalah, terbukalah semula peluang untuk mereka menjadi calon dalam pilihanraya seterusnya, tetapi jika menang, tertutuplah semua peluang itu.
Maka,  pemimpin UMNO bahagian Ampang saja pun sudah cukup untuk mengalahkan Jamal dan memenangkan Azmin. (ShahbudinHusin 28/11/2017)
0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

201 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
201
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x