Kegembiraan menyambut penurunan harga minyak sebanyak 8 sen semalam, barangkali sedikit terganggu bagi majoriti rakyat negara ini apabila dalam masa yang sama, isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor mengumumkan beliau tidak berhasrat untuk bertanding dalam pilihanraya umum akan datang.
Pengumuman beliau itu adalah berita sedihnya sebenarnya, malah difahamkan ramai yang menitiskan airmata dan hilang selera makan dibuatnya.
Ia adalah sesuatu yang tidak dijangka kerana hanya beberapa hari sebelum ini beliau ada mendedahkan bagaimana Najib sendiri meminta pandangannya mengenai tarikh yang sesuai untuk mengadakan pilihanraya.
Meskipun Rosmah menjawab, “I don’t knowlah, I don’t know politik” kepada pertanyaan Najib itu, tetapi itu adalah kerana sifat merendah diri dan tidak mahu menunjuk-nunjuk kepada umum akan kecerdikannya dari segi memberi pandangan.
Logiknya, jika tentang tarikh pilihanraya pun, Najib bertanyakan kepada Rosmah untuk meminta pandangan, tidak mustahil banyak perkara lain juga dirujuknya kepada isteri kesayangannya itu.
Maka, siapakah kita mahu menafikan peranan Rosmah selama ini?
Dengan wibawa membangunkan Permata, berwatak tahan uji, sabar dan daya intelektual yang lebih tinggi berbanding kebanyakan menteri-menteri yang ada, keputusan Rosmah tidak mahu bertanding itu tentu saja suatu kerugian yang besar kepada UMNO dan negara.
Rosmah dipercayai bukan saja mampu menang di kawasan Parlimen yang sukar atau milik Pakatan Harapan, malah jika diberikan tanggungjawab menerajui kementerian pun….perghhh…..pasti jauh tertinggal menteri-menteri lain dibuatnya.
Lebih dari itu, dengan kesediaan Wanita UMNO sendiri menjemput beliau meraikan dan berucap di Majlis Tahunan Skuad Sayang, ia adalah gambaran jelas bahawa sayap wanita UMNO itu juga tidak ragu-ragu dalam mengiktiraf kemampuan dan kewibawaan Rosmah.
Sudah tentu, jika Rosmah bertanding dalam pilihanraya akan datang, seluruh kekuatan Wanita UMNO akan digerakkan untuk memastikan kemenangan cemerlangnya.
Tetapi, meskipun Rosmah telah membuat keputusannya sendiri, majoriti rakyat akan melonjak dan menangis gembira jika beliau sedia menimbang semula keputusannya itu.
Fikirkanlah semula ya Kak Ros!!
We Love Kak Ros…we love Kak Ros….we love Kak Ros!!
Hakikatnya, jika Rosmah bertanding dan BN kekal lagi berkuasa, beliau adalah paling layak menerajui Kementerian Kewangan selepas itu untuk negara menuju lebih kecemerlangan dari segi membangunkan ekonomi dan memberi kesejahteraan kepada rakyat.
Bayangkan betapa hebatnya ekonomi negara melonjak tahun depan selepas saja Rosmah membentangkan buat pertama kalinya Bajet 2019 yang pastinya pakar-pakar ekonomi pun tersentak dengan idea-idea luar kotak dan tidak terjangkau dek fikiran mereka selama ini.
Tun Mahathir Mohamad, Tun Daim Zainuddin dan Anwar Ibrahim pun jadi kelu lidah ketika itu.
Kiranya UMNO dan BN kalah pula, kebarangkaliannya ialah Najib dan Zahid Hamidi lebih selesa untuk berundur dan bersara terus daripada dunia politik. Tiada apa lagi yang perlu mereka kejar dalam hidup ini.
Ketika itu, Rosmah adalah paling sesuai untuk menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen untuk berlawan dengan kerajaan baru Pakatan Harapan.
Bermakna, sama ada BN kalah atau menang, Rosmah adalah permata yang kekal bergemerlapan dalam politik negara ini.
Oleh itu, bertandinglah Kak Ros dalam PRU 14 nanti….janganlah kecewakan kami hamba rakyat di bawah ini. (ShahbudinHusin 23/11/2017)