Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

KENAPA PAS BERKECUALI LAGI?

Rang Undang-Undang Perbekalan atau Bajet 2018 diluluskan di peringkat dasar selepas undian belah bahagi dijalankan di Parlimen, petang tadi.

Keputusan pengundian menyaksikan 107 Ahli Parlimen menyokong, 59 membantah dan 11 berkecuali.

Dengan itu, Bajet 2018 lulus untuk dibawa bagi bacaan kali kedua.

11 Ahli Parlimen yang berkecuali ialah daripada Pas, kecuali Mahfuz Omar, wakil dari Pokok Sena, manakala seperti yang dimaklumi, yang menyokong sudah tentu daripada BN dan yang menentang ialah Pakatan Harapan.

Kenapa Pas masih berkecuali?

Pas sebelum ini ada menyatakan mereka sedia bekerjasama dengan kerajaan BN pimpinan Najib Razak atas perkara-perkara kebaikan dan demi kepentingan rakyat.

Apakah Bajet 2018 bukan perkara baik dan tidak untuk kepentingan rakyat?

Sampai bila Pas mahu terus berkecuali dalam pendirian mereka?

Tidak bolehkah, menjelang PRU 14 yang dikatakan ibu segala pilihanraya dan Bajet 2018 pula dianggap ibu segala bajet, Pas tampil menggembirakan hati Najib dengan menyokong bajet kali ini?

Lagi pula, bukankah Najib sudah banyak bersikap baik hati kepada Pas?

Bila lagi Pas mahu membalas sikap baik hati Najib itu?

Walaupun diakui tindakan Pas bersendirian dan menjadikan pertandingan tiga penjuru sedikit-sebanyak menerbitkan bunga-bunga gembira di hati Najib, tetapi kegembiraan itu tentu lebih mekar kiranya dapat dizahirkan secara terbuka di dalam Parlimen.

Pas pun pastinya tahu tentang kegembiraan Najib itu jika mereka tampil menyatakan sokongan secara terbuka dan tidak lagi bersikap berkecuali.

Lalu, kenapa Pas masih bertangguh-tangguh untuk menggembirakan rakan sendiri? (ShahbudinHusin 13/11/2017)

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

296 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
296
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x