Shahbudin…

Mencatat Hitam Putih Malaysia

SIAPA PUNYA ANGKARA TAKTIK KOTOR DAN JIJIK INI?

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Dzulkifli Ahmad akhirnya tampil bersuara berhubung dakwaan mempunyai hubungan sulit dengan seorang wanita yang dikatakan sudah bersuami sebagaimana yang terkandung dalam video yang telah tersebar luas sejak lebih seminggu yang lalu.
Menyifatkannya sebagai taktik kotor dan jijik, Dzulkifli sebaliknya bertegas tidak akan tunduk kepada serangan berkenaan.
Katanya, beliau akan kekal tegas dalam usaha memerangi rasuah dan salah guna kuasa serta tidak akan membenarkan taktik kotor dan jijik berkenaan mengganggu tugas yang telah diamanahkan kepadanya.
Tindakan-tindakan kami tidak akan terjejas dengan serangan kotor dan jijik seperti ini, ujarnya.
Alhamdulillah, semua pihak tentunya menyokong usaha SPRM memerangi rasuah sebagaimana yang ditegaskannya itu, dengan syarat ia mestilah dilakukan dengan jujur, ikhlas dan tanpa memilih bulu.
Tetapi, ada dua perkara dalam isu yang melibatkan Dzulkifli dan penjelasan yang ditampilkannya itu.
Pertama, sementara menyifatkan penyebaran video berhubung dirinya itu sebagai taktik kotor dan jijik, beliau sebenarnya masih tidak menjawab persoalan-persoalan yang sedang bermain di fikiran masyarakat ketika ini.
Antaranya, beliau masih  tidak menjelaskan sama ada benar atau tidak dirinya mempunyai hubungan intim dengan wanita berkenaan yang didakwa ketika itu masih lagi bersuami dan betulkah juga  gambar-gambar yang tersebar mengenai percutiannya ke Bali itu?
Daripada satu segi, mendedahkan keaiban orang lain memanglah suatu perbuatan yang tidak baik, tetapi mempunyai hubungan terlarang dengan wanita lain, apa lagi jika benar sudah bersuami dan dalam wibawa sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang disanjung tinggi oleh masyarakat sehingga diberi penghormatan menyampaikan khutbah Jumaat mengenai rasuah, tentulah juga suatu tingkah laku yang kotor dan jijik.
Oleh yang demikian, tampilnya Dzulkifli hanya dengan mengatakan serangan terhadapnya itu sebagai taktik kotor dan jijik belum lagi memadai sehinggalah beliau berterus-terang mengenai hubungannya dengan wanita berkenaan.
Kalau “ya”, katalah “ya” dan kalau “tidak”, katalah “tidak” berserta dengan hujah dan bukti-buktinya sekali. 
Kiranya Dzulkifli hanya lelaki biasa dan tidak memegang apa-apa jawatan penting dalam kerajaan, menjalin hubungan dengan siapa pun barangkali adalah hal peribadinya, tetapi memandangkan jawatan dan kedudukannya ialah untuk “membersih dan menanggalkan kekotoran” dalam masyarakat, dari segi moralnya beliau mestilah juga seorang yang bersih dan dilihat bersih terlebih dahulu.
Jika tidak, bukan saja tugasnya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM tidak lagi dihormati, malah tentu saja tiada mana-mana akan mengundangnya membaca khutbah Jumaat lagi selepas ini.
Yang kedua, jika benar penyebaran video berkenaan merupakan taktik kotor dan jijik untuk membunuh karektornya sebagai panglima dalam memerangi rasuah di negara ini, siapakah yang paling mungkin melakukan perbuatan itu?
Adakah ia dilakukan oleh parti-parti pembangkang seperti dakwaan sesetengah pihak yang kononnya mulai gentar atas ketegasan Dzulkifli dan SPRM dalam memerangi rasuah sejak kebelakangan ini?
Jika demikian, antara pemimpin UMNO dan kerajaan, pegawai-pegawai awam, mereka dalam GLC, orang yang dekat dengan menteri dan dibandingkan dengan pemimpin-pemimpin pembangkang, siapakah yang lebih ramai disiasat dan ditangkap oleh SPRM?
Parti manakah yang diketahui pernah menyuarakan kebimbangan mengenai ketegasan Dzulkifli dalam menangkap orang-orang tertentu dan dikaitkan dengan keputusan pilihanraya akan datang dalam mesyuarat tertingginya, selain daripada UMNO?
Jika diteliti juga, tidakkah pemain media sosial pro UMNO sendiri yang mula-mula menyebarkan video berkenaan sambil menuntut Dzulkifli agar tampil memberi penjelasan dan kemudiannya menyarankan beliau supaya bercuti buat sementara untuk menyelesaikan kes peribadinya itu?
Akhirnya, jika benar penyebaran video itu merupakan taktik kotor dan jijik, apakah tidak mustahil ia turut boleh dikaitkan dengan SPRM yang sebenarnya masih perlu menghantar laporan kepada Jabatan Peguam Negara berhubung dana RM42 juta daripada SRC International yang mengalir masuk ke akaun peribadi Perdana Menteri? 

Atau video berkenaan disebarkan oleh pihak-pihak lain yang tiada kaitan dengan SPRM atau usaha memerangi rasuah, tetapi lebih bersifat peribadi? 
(ShahbudinHusin 18/10/2017).
0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

190 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
190
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x