Apakah kejayaan sebenar Pas di sebalik penganjuran Himpunan Fastaqim 2.0 di Terengganu yang berakhir malam semalam?
Itu adalah persoalan yang tentunya menjadi tanda tanya kebanyakan orang sebaik saja berakhirnya himpunan yang didakwa Pas dihadiri 200 ribu penyokong itu.
Apakah himpunan itu suatu isyarat bahawa Pas mampu menduduki Putrajaya, dapat merampas kembali Terengganu atau mudah mengekalkan kuasanya Kelantan?
Yang mana satu mampu dicapai atau ketiga-tiga sasaran itu dapat digapai oleh Pas?
Secara jujur, satu-satunya kejayaan perhimpunan itu bagi Pas ialah ia akhirnya dapat membuktikan secara luaran partinya lebih besar berbanding Amanah. Itu saja, tiada kejayaan lain sebenarnya.
Tetapi perkara itu bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana pernah disebut oleh Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan sebelum ini bahawa keahlian Pas telah merosot sebanyak 20 peratus berikutan krisis kepimpinan sehinggalah kepada tertubuhnya Amanah.
Bermakna, jika keahlian Pas ada sejuta, sejak tertubuhnya Amanah, ia kini hanya tinggal 800 ribu saja lagi. Ia masih lagi boleh dikata sebagai parti yang besar, tetapi kehilangan 20 peratus juga merupakan jumlah yang besar.
Bagaimanapun, dalam waktu yang sama Pas mungkin kehilangan lebih banyak penyokong atas pagar dan tidak berparti, lebih-lebih kerana kecondongannya kepada UMNO dan BN sejak kebelakangan ini.
Mereka yang selama ini mengundi Pas kerana inginkan pahala dan percaya perjuangan Islam Pas ialah untuk menentang kemungkaran, pasti berubah hati kerana keadaan parti itu kini umpama “pak haji kampung yang tiba-tiba sering minum-minum kopi dengan seseorang yang diketahui dan disebut ramai di kampung yang sama sebagai pencuri atau maling yang dikenali.”
Pencuri atau maling tentu saja dipandang sedikit mulia apabila dapat berdampingan dengan pak haji, tetapi pak haji yang kerap berdampingan dengan pencuri atau maling, malah tidak kisah dengan kecurian yang banyak dirungutkan oleh orang kampung, dengan sendirinya telah tercemar imejnya dan jika menjadi imam, barangkali ramai yang akan beralih ke masjid atau surau lain untuk bersembahyang.
Hanya yang kekal menjadi makmum kepada pak haji berkenaan ialah anak-beranak dan saudara-mara dekatnya saja, itu pun barangkali kerana mereka sekali dua turut dibelanja minum oleh orang yang diketahui sebagai pencuri atau maling yang dikenali tadi.
Di sebalik itu, meskipun Pas tetap kelihatan lebih besar berbanding Amanah, ia sebenarnya menjadi lebih kecil dari segi gabungan. Ini kerana Pas melalui Gagasan Sejahtera hanya berkawan dengan Ikatan, Berjasa dan Parti Cinta Malaysia.
Ketiga-tiga parti yang menjadi rakan baru Pas itu bukan saja jauh dan tersangat kecil, malah jumlah keahlian sebenarnya pun tidak ketahuan berapa ramainya.
Berbeza dengan Amanah, meskipun ia hanya mewakili 20 peratus daripada Pas yang sebelumnya, tetapi rakan-rakannya dalam Pakatan Harapan iaitu PKR, DAP dan Bersatu adalah parti yang besar, berpengaruh dan mempunyai aura yang sukar dinafikan.
Sokongan daripada mereka yang tidak berparti juga mungkin lebih besar, terutama daripada mereka yang selama ini mengundi Pas tetapi sudah hilang kepercayaan terhadap parti itu.
Di sini saja Pas sudah nampak kerugian dan ketinggalan. Lebih dari itu, jika sebelum ini Pas berbangga kononnya jentera merekalah yang paling kuat dan paling besar ketika bersama Pakatan Rakyat, namun melalui Gagasan Sejahtera tidak mustahil 100 peratus jentera dalam PRU 14 akan datang adalah terdiri daripada orang-orang Pas belaka.
Akhirnya, selain undi dan sokongan yang dapat disumbangkan oleh Ikatan, Berjasa dan Parti Cinta Malaysia barangkali hanya boleh dibilang dengan jari, sumbangan dari segi tenaga kerja dan jentera pilihanraya pun hampir pasti tidak sampai satu peratus.
Setidak-tidaknya, kiranya Pas selama ini mendabik dada jentera mereka selalu dipergunakan oleh parti lain ketika pilihanraya, tetapi kerana sokongan pengundi PKR dan DAPlah yang menyebabkan mereka parti itu mampu menang banyak kerusi di Selangor, Perak, Johor dan kawasan campuran yang lain.
Apakah pula jaminan Ikatan, Berjasa dan Parti Cinta Malaysia kepada kejayaan Pas?
Sekali lagi, secara jujurnya juga, jangankan untuk menawan Putrajaya atau merampas kembali Terengganu atau menambah jumlah kerusi, untuk mempertahankan kuasanya di Kelantan pun tiga rakan baru Pas itu tidak mampu menyumbang apa-apa.
Ikatan, Berjasa dan Parti Cinta Malaysia tidak lebih macam orang kampung di tengah-tengah kondo mewah – mereka hanya mampu tengok saja. (ShahbudinHusin 01/10/2017).