Saya tidaklah perlu melayan komen sebegitu kerana saya bukan pengerusi Felda yang dibayar gaji untuk menjaga harta Felda. Saya boleh sahaja tidur dan tidak ambil tahu langsung mengenai Felda kerana saya tidak memikul amanah itu.Apabila Tan Sri Shahrir yang diberikan amanah tersebut tidak merasa terpanggil untuk menerangkan isu yang paling penting iaitu siapa sebenarnya pemilik hotel tersebut (kerana siasatan SPRM yang dilaporkan hanyalah berkisar kepada bayaran lebih yang dibuat oleh Felda, bukan soal Felda ditipu sedemikian), saya serahkan kepada rakyat untuk menghakimi Tan Sri Shahrir dalam PRU14 nanti.
Projek Hartanah Terbesar Felda di Wembley, London
Sejak tahun 2015, Felda di bawah kepimpinan Tan Sri Isa Samad mula terlibat di dalam sektor hartanah secara besar-besaran. Jika sebelum itu Felda hanya membeli hartanah-hartanah yang sudah siap di bina, melalui sebuah lagi syarikat iaitu FIC Global Limited, Felda mula terlibat di dalam pembinaan bangunan-bangunan pula.Nota 44 dari penyata kewangan diaudit Felda bagi 2015 menyenaraikan FIC Global Limited sebagai anak syarikat milik penuhnya yang ditubuhkan di United Kingdom:Pembabitan Felda di dalam projek-projek yang membina bangunan kediaman untuk disewakan kepada pelajar ini dilaporkan secara besar-besaran di media tempatan.Laporan-laporan berita mengesahkan projek-projek berikut:1. Disiapkan dalam bulan Julai 2015, projek pertama yang dinamakan Felda House Wembley itu bernilai RM380 juta dan beralamat di 575 North End Road, Wembley HA9 0UU (rujuk maklumat mengenai Felda di laman www.crm-students.com iaitu ejen yang menyewakan unit-unit kediaman kepada pelajar).
Hakmilik Felda House Bukan Anak Syarikat Felda
Maka saya mengambil inisiatif untuk menyemak geran hakmilik Felda House (projek pertama bernilai RM380 juta) untuk memastikan ia benar-benar di daftarkan atas nama anak syarikat Felda setelah penemuan mengenai geran hakmilik Hotel Grand Plaza Kensington yang didaftarkan atas nama sebuah syarikat BVI yang tidak diketahui pemiliknya.Sekali lagi, syarikat yang memiliki hakmilik Felda House ialah sebuah syarikat yang namanya sama dengan nama anak syarikat Felda yang diisytiharkan di dalam penyata kewangannya yang diaudit iaitu Felda Global Limited, tetapi ia syarikat berlainan kerana didaftarkan di BVI yang merahsiakan siapa pemilik sebenar syarikat ini.Semakan ke atas rekod Felda yang boleh disemak orang awam setakat ini juga tidak menunjukkan apa-apa anak syarikat bernama FIC Global Limited yang didaftarkan di BVI.Bukan sahaja hotel berharga RM330 juta yang dibeli menggunakan wang Felda hakmiliknya didaftarkan di atas nama sebuah syarikat rahsia, kini pelaburan besar Felda di London iaitu projek Felda House berharga RM380 juta juga didaftarkan di atas satu lagi syarikat rashia.Felda House Digadai Bank, Siapa Yang Ambil Pinjaman RM60 Juta?Geran hakmilik di atas ada menunjukkan “harga” yang didaftarkan sebanyak £10 juta (atau RM60 juta). Saya tidak yakin itu harga sebenar Felda House dan membuat beberapa semakan lain untuk mendapatkan maklumat apakah RM60 juta yang didaftarkan bersama-sama dengan hakmilik Felda House itu.Semakan saya mendapati Felda House telah dicagarkan kepada bank yang sama iaitu Bangkok Bank Public Company Limited dan cagaran ini telah dimasukkan ke dalam dokumen hakmilik. Saya beranggapan RM60 juta itu adalah jumlah yang dipinjam dari Bangkok Bank Public Company Limited dan sebab itulah jumlah itu didaftarkan bersama geran hakmilik Felda House.Walau bagaimana pun, ada sedikit keraguan kerana sijil cagaran yang didaftarkan untuk membuat tuntutan ke atas hakmilik Felda House memasukkan nama FIC Management Houses Pte Limited kerana perjanjian pinjaman itu adalah di antara FIC Management Houses Pte Limited dan Bangkok Bank Public Company Limited.Semakan ke atas FIC Management Houses Pte Limited menunjukkan ia adalah anak syarikat milik penuh FIC (dan Felda):
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN
Ulasan – Dalam tempoh seminggu ini, sudah dua pendedahan dibuat oleh Rafizi Ramli mengenai aset-aset Felda di luar negara. Kali pertama pada Jumaat lalu dan kali keduanya ialah semalam.Kedua-dua pendedahan itu, jika ianya terbukti benar, tentu saja mengejutkan kita semua dan boleh dikira suatu pengkhianatan kepada peneroka Felda, rakyat dan juga negara.Tentu saja kita semua, termasuk makcik-makcik Felda, ingin benar tahu siapa sebenarnya pemilik syarikat yang memiliki aset-aset Felda tersebut?Adakah ia dipunyai oleh Felda atau pihak-pihak yang lain?Jika aset tersebut memang benar kepunyaan Felda, apa perlunya menggunakan syarikat “offshore” yang didaftarkan di British Virgin Island yang pemiliknya adalah rahsia?Mengapa tidak menggunakan syarikat yang didaftarkan di London saja?Apa yang hendak dirahsiakan mengenai pemilik syarikat jika sudah dihebohkan memang Felda yang membeli dan mengeluarkan wang untuk pembeliannya?Dalam hal ini, Felda tidak ada pilihan lain selain wajib bersikap jujur dan berterus-terang mengenai pemilikan aset-aset tersebut. Felda, Shahrir Samad selaku Pengerusi sekarang dan Isa Samad, atas kapasiti sebagai bekas Pengerusi terdahulu, secara sepakat dan bersama mesti tampil dengan penjelasan yang kukuh, meyakinkan serta dengan bukti-bukti yang ada untuk mengesahkan segala aset yang dibeli itu adalah milik Felda.Najib Razak, selaku Perdana Menteri dan pihak yang bertanggungjawab terhadap Felda, seharusnya juga pantas mengarahkan pihak-pihak terbabit agar tidak berlengah-lengah dalam memberikan penjelasan.Semuanya adalah mudah dan tidak perlu memakan banyak masa kerana semua fail dan rekod seharusnya ada dalam simpanan Felda.Kalau tidak, kesianlah dengan makcik-makcik Felda, mereka pun ingin tahu juga sama ada harta-harta yang dibeli dengan titik peluk mereka itu masih kepunyaan Felda atau sudah jatuh ke tangan “buaya-buaya tembaga” yang sentiasa tamak dan haloba. (ShahbudinHusin 17/10/2017).