Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

PILIHAN BUAT KETUA PESURUHJAYA SPRM – AMBIL CUTI, LETAK JAWATAN, TERUS BERTAHAN ATAU KAHWIN?

Berikutan pengesahan Ketua Polis Negara, Mohamad Puzi Harun bahawa Ketua Pesuruhjaya SPRM, Dzulkifli Ahmad ketika ini sedang disiasat oleh PDRM berhubung dakwaan mempunyai hubungan sulit dengan seorang wanita yang dipercayai masih bersuami, kedudukan beliau sekarang nampaknya tidak lagi “cantik” di mata umum.

Daripada sosok yang digeruni kerana melakukan tangkapan demi tangkapan berkaitan rasuah, beliau kini sebaliknya menjadi cemuhan terbuka di mana-mana saja berhubung dakwaan yang dikaitkan dengannya itu.

Bermula dengan tersebarnya video mengenai hubungan beliau dengan wanita berkenaan dan kemudian beberapa video lain yang menunjukkan mereka bercuti bersama serta aksi berpeluk dan berpegangan tangan di Bali, Dzulkifli kini hanya ada empat pilihan untuk pertimbangannya.

Pertama, beliau sebaiknya mengambil cuti sementara sehingga pihak polis selesai menyisatnya di bawah Seksyen 498 Kanun Keseksaan yang merujuk kepada kesalahan menggoda wanita yang sudah bersuami untuk tujuan mengadakan hubungan haram.

Hukuman bagi kesalahan berkenaan akan berdepan hukuman penjara dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Berdasarkan video yang tersebar itu, Dzulkifli dipercayai bercuti bersama dengan pasangannya di Bali pada Julai lalu, sementara wanita berkenaan baru berpisah dengan suaminya pada hujung September.

Maklumat di media sosial juga menghebahkan wanita berkenaan adalah rakan setugas Dzulkifli ketika di Jabatan Peguam Negara dahulu, tetapi kini dikatakan sudah berpindah kerja di sebuah syarikat minyak sebagai Pengurus Undang-undang.

Maka, sementara siasatan terhadapnya dijalankan, Dzulkifli harus mengambil cuti bagi membolehkan siasatan menyeluruh dijalankan serta demi menjaga wibawa dan nama baik SPRM yang sedang diterajuinya.

Ruang seluas-luas dan seadil-adilnya harus diberi kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan, dan sekiranya setelah siasatan selesai dan didapati tidak bersalah, beliau bolehlah kembali semula kepada jawatan asalnya.
Tetapi, sementara siasatan sedang berjalan, adalah tidak molek sama-sekali Dzulkifli terus ada di SPRM.

Kedua, tindakan paling terpuji dan terhormat ialah Dzulkifli mesti meletakkan jawatan secara serta-merta sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM. 

Dengan kapasiti mengetuai SPRM yang memerlukan penerajunya mempunyai wibawa dan intergriti yang tidak dipersoalkan, meletakkan jawatan menunjukkan beliau lebih mengutamakan SPRM berbanding dirinya sendiri.

Selagi Dzulkifli berada di tempatnya sekarang, selagi itulah kerjanya akan sentiasa dipersoalkan, malah melangkah keluar daripada rumahnya saja beliau sudah berdepan dengan konflik dalaman terhadap dirinya sendiri.

Atas keadaan sebegitu, bagaimanakah beliau mampu menjalankan tugasnya dengan baik dan cemerlang?

Maka, meletakkan jawatan dengan segera akan serta-merta membersihkan nama SPRM daripada terkait dengan dakwaan yang dikaitkan dengannya. 

Ia juga membolehkan siasatan yang seadil-adilnya dijalankan dan sekiranya Dzulkifli didapati bersalah kemudiannya, setidak-tidaknya nama SPRM tidak terpalit sama.

Ketiga, memandangkan wanita yang dibawanya bercuti itu sekarang ini sudah berpisah dengan suaminya, Dzulkifli sebagai lelaki sejati harus memikul beban pertanggungjawaban moral dengan menjadikannya sebagai isterinya yang sah.

Jika beliau ketika ini sudah ada satu isteri, jadikanlah sebagai isteri kedua dan sekiranya sudah dua isteri, jadikannya yang ketiga.

Melihat kepada pendedahan dalam video yang tersebar, Dzulkifli dengan wanita berkenaan bukan saja menaiki penerbangan bersama, bahkan rekod juga menunjukkan pendaftaran bersama bilik hotel di Bali.

Sekiranya semua yang terpapar dalam video itu adalah benar, termasuk aksi berpeluk dan berpegangan tangan, perbuatan itu bukan saja salah sebagai seorang muslim, tetapi juga memusnahkan intergitinya sebagai penjawat awam yang mengetuai SPRM yang semestinya ada intergriti, moral, bersih serta kelihatan bersih.
Itu belum dikira lagi apa terjadi di dalam bilik hotel yang hanya Tuhan saja yang tahu apa berlaku.

Mudah-mudahan dengan berkahwin dan kemudian bertaubat kepada Tuhan, kiranya benar dosa-dosa itu telah terlanjur dilakukan, Dzulkifli dan keluarganya akan mendapat keampunan dan keredhaan di baki-baki usianya yabg tinggal.

Keempat, tindakan paling teruk  dan terburuk yang boleh dilakukan oleh Dzulkifli ialah terus bertahan dengan jawatannya sekarang. Beliau boleh saja mengatakan ianya sebagai taktik kotor, jijik, usaha untuk membunuh karektornya atau apa saja dalih yang lain.

Tetapi, persoalan yang perlu beliau jawab dengan jujur dan ikhlas ialah, apakah benar atau tidak beliau mempunyai hubungan terlarang dan melakukan perkara-perkara seperti yang terkandung dalam video  berkenaan?
Jika perbuatan itu sendiri gagal dinafikan, apakah wajar menuding seluruh kesalahan kepada pihak yang melakukan serangan?

Dalam pada itu, risiko paling parah yang bakal dihadapi dengan Dzulkifli terus ingin bertahan ialah kepercayaan dan penghormatan orangramai sudah tiada lagi terhadapnya. 
Apa saja yang dilakukan untuk mencegah rasuah atau menangkap sesiapa, akan dilihat sebagai percubaan untuk menutup kesalahannya sendiri.

Melihat kepada apa yang terpampang dalam video berkenaan, sukar bagi sesiapa pun menafikan kebenaran atau setidak-tidaknya ada fakta kebenaran di sebaliknya.

Lalu, sampai bilakah kerajaan mampu mempunyai seorang Ketua Pesuruhjaya SPRM yang sedemikian rupa, jika Dzulkifli tetap berkeras untuk bertahan dengan jawatannya?

Kepada Dzulkifli, jika sebelum ini beliau pernah melontarkan amaran bahawa “rakyat memerhati” berikutan ada parti-parti politik yang menolak untuk mengemukakan senarai calon PRU 14 untuk ditapis terlebih dahulu oleh SPRM, kini beliau harus sedar bahawa seluruh rakyat juga sedang dan lebih memerhatikannya.

Buatlah pilihan dengan segera kerana lagi lama bertangguh, mungkin lebih buruk keadaan dan nama SPRM sendiri akan terus terbeban. (ShahbudinHusin 19/10/2017)

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

206 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
206
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x